Biskut laktasi kini jadi punca rezeki Zarina - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Biskut laktasi kini jadi punca rezeki Zarina

MULANYA hanya sekadar suka-suka memberikan buah tangan kepada rakan-rakan, akhirnya secara tidak sengaja dia terjun ke bidang perniagaan.

Zarina Zul Mukhshar, 32, sendiri tidak menyangka dengan pencapaiannya kini  menceburi bidang berkenaan.

Daripada seorang pengurus jenama dua syarikat kosmetik antarabangsa berpengalaman kira-kira tujuh tahun dalam bidang tersebut, dia kini usahawan biskut laktasi dan brownies laktasi (kudapan mengandungi laktogenik semulajadi bantu ibu menambah susu badan).

Menariknya usaha pengasas dan pemilik syarikat  Mom More Milk ini bermula apabila mendirikan rumah tangga dan berhenti kerja pada awal 2012 untuk fokus kepada anak dan keluarga.

"Asalnya saya rancang fokus berhenti kerja dan hendak dapat anak. Masa awal kahwin dah mengandung tapi keguguran. Konon berhenti kerja nak terus ada anak. Tapi lepas dua tahun baru ada rezeki.

"Jadi masa kosong di rumah, saya gunakan buat pencarian di internet untuk bagi gift pada ibu-ibu yang melahirkan. Kebetulan masa itu ramai rakan-rakan saya melahirkan anak. Saya terbaca pasal biskut laktasi, sebelum saya mula buat biskut laktasi untuk beri hadiah pada kawan-kawan.

"Maklum balas saya terima ia memang berkesan, ibu-ibu hasilkan banyak susu. Daripada itu saya kata lebih baik saya kongsikan kebaikan biskut laktasi ini dengan lebih ramai ibu-ibu lain," katanya yang juga gemar menghadiri kelas-kelas keibuan semasa awal berhenti kerja.

Enam bulan selepas berhenti kerja, Zarina mula mengkomersialkan biskut laktasi dengan membuatnya dari rumah, pada masa sama membina jaringan laman sosial Facebook berkaitan.

Biarpun kini produk itu kian mendapat tempat, tetapi menurutnya pada masa itu, biskut laktasi antara popular di Amerika Syarikat, namun tidak berapa diketahui di negara ini.

Inisiatif diambil isteri kepada konsultan teknologi maklumat (IT), Ja'far Sukor, 31, ini. Jika dahulu hanya ambil resipi daripada internet, namun kini kandungan biskut ditambah dengan resipinya sendiri untuk menambah khasiat laktasi.

Rezekinya, biskutnya menjadi bualan dalam forum mengenai penyusuan ibu dari negara Singapura, sehingga bisnesnya berkembang dengan mendapat permintaan dari situ, walaupun belum bersedia dengan pembungkus rasmi produk.


Ditemani anak

Sambil melayan karenah puteri kecilnya, Haneefah Ja'far, 1 tahun 9 bulan, manakala tempat kerjanya juga 'ditemani' koleksi mainan anak, wanita sarat hamil anak kedua dengan usia kandungan lapan bulan setengah ini, masih betah melakukan kerja.

Menurutnya, pernah pada Ramadan lalu, dia terfikir tidak mahu membuat biskut. Tapi dek permintaan daripada ibu-ibu 'memerlukan', Zarina sedar perniagaannya perlu diteruskan.

"Si kecil saya perlukan perhatian, jadi yang banyak membantu adalah ibu bapa saya ketika itu dari segi bungkusan biskut.

"Asalnya, buat biskut di rumah ibu bapa di Seksyen 7, Petaling Jaya sampai rumah dah tak jadi macam rumah.

"Saya hasilkan biskut laktasi hingga bulan April 2013, sebelum tambah biskut baharu dengan perisa lain dan brownies," kata anak kedua daripada tiga beradik ini.

Walaupun ahli keluarganya bukan berlatarbelakangkan orang kerja berniaga, Zarina akur tanpa bantuan ibu bapanya, usahanya itu tidak akan ke mana.

Ditanya pengalaman manisnya dalam berniaga, menurutnya ia adalah apabila mendapat kunci membuka kedai pembuatan biskutnya di Plaza Kelana Jaya bermula awal tahun ini.
Dalam keadaan anak dan kerja makin bertambah, beliau kini dibantu lima pekerja.

Zarina turut bersyukur belum pernah berdepan pengalaman pahit sepanjang perniagaannya.

"Saya pun masih baru dan sentiasa ambil langkah berhati-hati kerana fokus saya hanya pada anak. Bisnes hanya berkembang ikut kemampuan dan saya tak ambil risiko besar.

"Berkembang pun dari janaan keuntungan sebelum ini. Memang ada nak jadi investor. Tapi keutamaan saya nak besarkan anak. Kalau besarkan bisnes kena fokus. Kalau nak kata risiko paling besar pun bila operasi di kedai ini, tapi itu pun ikut kemampuan ada," kata bekas penuntut bidang pemasaran, UTS, Sydney Autralia ini.
FB & IG: @mommoremilk

0 Komentar untuk " Biskut laktasi kini jadi punca rezeki Zarina "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ