Politik satukan Islam & ummah - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Politik satukan Islam & ummah

SEJAK kebelakangan ini, sebahagian pemimpin Islam dan Melayu bercakaran dan membuat teguran sesama sendiri secara terbuka sehingga bangsa Melayu dan umat Islam dilihat berpecah.

Suasana perbalahan ummah yang berlaku dalam sejarah Islam menyumbang kepada kejatuhan agama ALLAH SWT ini dan sukar untuk bangun semula, wajar dijadikan iktibar.

Bangsa Melayu sepatutnay mengingati sejarah ini dengan mengeratkan silaturahim bagi mengekalkan perpaduan agar menjadi bangsa yang kuat, disegani, bermaruah dan diberkati-Nya.
Politik kepartian

Islam agama tauhid meletakkan gagasan kesatuan ummah sebagai asas penting bagi mempertahankan lima maqasid syariah iaitu mempertahankan agama, nyawa, keturunan, akal dan harta.

Jika di negara Timur Tengah punca perpecahan biasanya disebabkan perbezaan pegangan aliran kepercayaan misalnya Sunni dan Syiah. Tetapi di negara kita sejak merdeka, kerenggangan antara sesama Islam disebabkan perbezaan pegangan politik kepartian.

Perpaduan ummah ditekankan dalam Islam, umat Islam dihormati dan tidak mudah diperlekehkan kerana berselisih faham sesama sendiri. Parti politik didokongi bangsa Melayu wajar mencari titik persamaan dan mengurangkan perbezaan isu politik yang merugikan Islam dan ummah.

Soal perpaduan ummah adalah asas kepada ketahanan ummah berdepan berbagai cabaran dari dalam dan luar termasuk musuh umat Islam. Mulai sekarang, bangsa Melayu dan Islam wajar berjihad dengan menyebut dalam hati kecil agar sesiapa atau kumpulan yang menjadi penghancur perpaduan ummah, kita doakan agar mereka bertaubat dan dilembutkan hati.

Orang Melayu bermuzakarah atas beberapa asas. Sesiapa yang mengucapkan kalimah syahadah adalah saudara kita. Kita bertemu dan berkumpul atas dasar kasih sayang ALLAH dan melaksanakan perintah-Nya. Semua pertemuan atau gabungan hanya untuk mendekatkan diri kepada ALLAH dan melakukannya kerana-Nya semata-mata.

Langkah seterusnya ialah satu tahap yang tinggi iaitu kita bersedia bersama-sama untuk berjihad dengan berbagai cara, lebih daripada luahan hati demi memartabatkan Islam dan ummah di muka bumi ini.


Bangsa Melayu leka?

Senario politik negara ketika ini membuktikan bangsa Melayu tidak boleh lagi leka atau memandang usaha penyatuan sesama mereka adalah sesuatu yang tidak relevan. Perpaduan Melayu secara langsung mengukuhkan Islam.

Sejarah negara sudah membuktikan apabila bangsa Melayu yang bersatu dan kuat juga akan memberi manfaat kepada kaum lain. Golongan yang tidak mahu melihat bangsa Melayu berada dalam kedudukan tersebut sebenarnya sudah terhakis semangat kemelayuannya atau kelompok yang bimbang mereka tidak boleh mengambil kesempatan apabila bangsa Melayu kuat dan bersatu.

Kita wajar merenung dan berfikir sejenak mengapa keadaan ini berlaku. Keadaan ini berlaku bukan kerana orang lain tetapi bangsa Melayu itu sendiri. Mereka yang membuka ruang dan peluang kepada orang lain untuk mengambil kesempatan atau 'Menangguk di air keruh'.

Apabila umat Melayu sendiri tidak bersatu dan semakin lemah dari segi kuasa politik sehingga mengharapkan orang lain untuk mengekalkan kuasa atau mahu berkuasa, maka sudah pasti ada pihak yang akan mengambil kesempatan.

Negara kini berjaya melahirkan graduan dan golongan profesional, namun masih belum dapat untuk mengukuhkan perpaduan ummah. Kematangan dan kecemerlangan kita dalam bidang profesional belum dapat dimanfaatkan sepenuhnya.

Kita mungkin melahirkan ramai cendekiawan, namun kita masih mengharapkan ramai yang bijaksana yang dapat membuat pertimbangan dengan teliti terutamanya dalam agenda memperkasakan perpaduan ummah.

Hancurnya perpaduan dalam kalangan ummah dengan sendirinya lemahlah Islam. Seterusnya runtuhlah pembangunan ikhtisas dan usahawan Melayu itu. Antara sebabnya ialah kerana kehilangan landasan utama untuk berjuang secara berterusan untuk pembangunan ummah itu sendiri.

Jika kita bersatu, Islam dan Melayu kuat dan kukuh, jika berpecah, kita akan roboh. Dengan adanya perpaduan Islam dan Melayu, rakyat negara ini akan bekerja sebagai satu pasukan untuk menjadikan negara ini maju dan progresif yang mementingkan keadilan dan kebajikan rakyat.

Ini kerana Islam itu sendiri adalah agama yang mementingkan keadilan dan kebajikan masyarakat dilaksanakan sepanjang masa.

Wadah dan maslahat Islam serta Melayu perlu terus diperjuangkan sampai bila-bila. Justeru itu, semua pemimpin Islam dan Melayu yang diberi tanggungjawab menjaga agama Islam, semua pertubuhan politik, badan profesional dan badan bukan kerajaan yang dipimpin oleh orang Islam dan Melayu perlu berganding bahu dan memainkan peranan masing-masing bagi memperkasakan ummah. Gabungan kepimpinan Islam dan Melayu yang ikhlas berjuang bersama rakyat yang cintakan perpaduan akan menjadikan penyatuan ummah yang unggul.

Kita mahu melihat Islam sebagai agama yang difahami dan dihormati. Amalan politik yang menyatukan ummah menjadikan orang Melayu sebagai bangsa yang disegani dan bermaruah di negara tercinta ini.


DR MUHAMMAD ARIF MOHD HASHIM
(Yang Dipertua Gabungan Ikhtisas dan Usahawan Bumiputra Anak Selangor (GIBS)

0 Komentar untuk " Politik satukan Islam & ummah "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ