Adil dalam segala hal - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Adil dalam segala hal

ISLAM memerintahkan umatnya supaya sentiasa berlaku adil dan menegah segala bentuk kezaliman, ketidakadilan dan pencerobohan hatta terhadap orang kafir.

Maka ALLAH memerintahkan manusia agar bertindak adil secara umumnya dan menyatakan Dia mencintai orangnya.

Erti keadilan ialah meletakkan sesuatu pada tempatnya. Ia adalah sifat yang menuntut orangnya supaya menjauhi apa jua yang boleh menjejaskan reputasinya.

Sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud: "Sesungguhnya orang yang adil ditempatkan di sisi ALLAH di atas menara cahaya; mereka adalah golongan yang bersikap adil dalam hukum mereka, terhadap keluarga dan dalam melakukan tugasan." (Riwayat Muslim)

Kedudukan keadilan adalah tinggi dalam Islam. Pahalanya juga besar di sisi ALLAH SWT.

Terdapat pelbagai bentuk keadilan di mana setiap seorang wajib melaksanakan keadilan itu bergantung kepada kedudukan dan tanggungjawab yang dipikulnya dalam dunia ini.

Bagi seorang pemerintah, dia wajib berlaku adil ke atas rakyatnya. Firman ALLAH yang bermaksud: "Sesungguhnya ALLAH menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya) dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia hendaklah kamu menghukum dengan adil." (Surah An-Nisa’: 58)

Sabda Nabi Muhammad SAW lagi: "Tujuh golongan yang akan bernaung di bawah bayang-bayang ALLAH pada hari tiada bayang-bayang kecuali bayang-bayang-Nya." Antara tujuh golongan itu Baginda SAW mengatakan: "Pemerintah yang adil." (Riwayat Bukhari & Muslim)
Keadilan hakim, kadi

Begitu juga dengan kadi atau hakim di mahkamah, dia perlu adil dalam memberikan keputusannya. Sabda Nabi SAW yang bermaksud: "Terdapat tiga jenis golongan hakim; dua masuk neraka dan satu masuk syurga.

- Pertama: Orang yang mengetahui kebenaran lalu berhukum sejajarnya, maka dia masuk syurga.

- Kedua:  Orang yang mengetahui kebenaran tetapi tidak berhukum dengannya dan bertindak zalim dalam keputusannya, maka dia masuk neraka.

- Ketiga: Orang yang tidak mengetahui kebenaran lalu dia memutuskan hukumannya atas manusia berdasarkan kejahilan, maka dia masuk neraka." (Riwayat Abu Daud, sahih)

Cuma jika niat dan tujuan kadi atau hakim memang untuk mencapai kebenaran dan dia berusaha sedaya upaya untuk mencapainya, maka dalam keadaan ini dia tetap dapat pahala di sisi ALLAH walaupun dia tersalah dalam keputusannya. Ini kerana kesalahan itu tidak disengajakan.

Sama rata antara semua

Seorang bapa perlu berlaku adil terhadap anaknya dalam pemberiannya dan juga dalam perkara yang lain. Maka dia tidak boleh memberi kepada sebahagian anaknya dan membiarkan yang lain sama ada anak lelaki atau perempuan.

Sahabat bernama Al-Nukman bin Basyir RA menceritakan bahawa bapanya membawanya kepada Rasulullah SAW dan berkata: "Aku telah memberi anakku ini seorang hamba sahaya milikku.

Baginda SAW bertanya: "Apakah engkau memberi sepertinya kepada setiap anak-anak engkau?" Jawab bapanya: "Tidak." Kata Baginda SAW: "Jika begitu ambil semula." (Riwayat Bukhari & Muslim)

Adapun suami, dia perlu berlaku adil dengan isteri-isterinya sebagaimana firman ALLAH SWT yang bermaksud: "Dan gaulilah mereka dengan makruf." (Surah An-Nisa’: 19)

USTAZ IDRIS SULAIMAN
(Ahli Majlis Syura Pertubuhan Ilmuwan Malaysia)

Maka si suami perlu berlaku adil dalam menyamaratakan antara isteri-isterinya hari dia bermalam, pemberian nafkah dan segala hak isteri.

Firman ALLAH: "Maka janganlah kamu cenderung dengan melampau (berat sebelah kepada isteri yang kamu sayang) sehingga kamu biarkan isteri yang lain seperti benda yang tergantung (di awan-awan)." (Surah An-Nisa’: 129)

Rasulullah SAW mengingatkan suami akan kewajipan berlaku adil terhadap isteri dengan bersabda: "Sesiapa mempunyai dua isteri lalu dia cenderung (melebihkan) seorang daripada mereka, dia akan datang pada hari kiamat dalam keadaan sebelah bahunya condong." (Riwayat Abu Daud, sahih)

Muslim juga perlu berlaku adil dalam kata-katanya. Sebagaimana firman ALLAH SWT yang bermaksud: "Dan jika kamu berkata-kata maka berlaku adillah walaupun terhadap sanak-saudara." (Surah Al-An’am: 152)

Oleh itu, jika kita berkata sesuatu maka hendaklah kita berpada dan tidak melampaui batas. Bahkan, hendaklah berkata benar walaupun pahit. Walaupun kebenaran itu tidak menepati kehendak kita atau orang lain yang dekat dengan kita yang kita sayang.

Firman ALLAH: "Wahai orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang yang menegakkan keadilan kerana ALLAH dan menerangkan kebenaran." (Surah Al-Maa’idah: 8)

Firman ALLAH lagi: "Wahai orang yang beriman! Hendaklah kamu menjadi orang yang sentiasa menegakkan keadilan, dan menjadi saksi (yang menerangkan kebenaran) kerana ALLAH, sekalipun terhadap diri kamu sendiri, atau ibu bapa dan kaum kerabat kamu." (Surah An-Nisa’: 135)

ALLAH SWT memerintahkan supaya kita bertindak adil dalam kata-kata dan perbuatan; atas diri sendiri, orang dekat dan orang yang jauh. Bahkan perlu berlaku adil atas semua orang pada setiap masa dan dalam semua keadaan.

Sehinggakan Muslim tetap perlu bertindak adil dengan musuhnya dalam kalangan orang kafir.

Firman ALLAH: "Dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap suatu kaum kerana mereka pernah menghalangi kamu dari Masjidil Haram itu - mendorong kamu menceroboh.” (Surah Al-Maa’idah: 2)

Oleh itu jangan kerana kamu benci mereka yang menghalang kamu daripada sampai ke Masjidil Haram – kamu melampaui hukum ALLAH atas mereka dan kamu bertindak secara zalim. Sebaliknya hendaklah kamu berhukum sebagaimana yang diperintahkan oleh ALLAH iaitu dengan berlaku adil atas setiap seorang mereka.

Firman ALLAH SWT: "Dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu  tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (terhadap sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada takwa." (Surah Al-Maa’idah: 8)

Iaitu jangan perasaan benci kamu sampai menghalang kamu berlaku adil. Tetap perlu berlaku adil atas setiap seorang dan dalam setiap masa dan keadaan.  Ini kerana dengan keadilanlah langit dan bumi diciptakan dan ia disukai manusia. Dengan keadilan maslahat akan dapat dicapai manakala nyawa, harta benda dan maruah akan dapat dipelihara.

Demi keadilan, penjenayah akan dihukum dengan hukuman yang setimpal dengan jenayahnya tanpa sebarang tambahan atau pengurangan.

Firman ALLAH: "Dan (jika kamu hendak membalas maka) balasan sesuatu kejahatan ialah kejahatan yang bersamaan dengannya" (Surah Asy-Syura: 40).

"Dan jika kamu membalas kejahatan (pihak lawan), maka hendaklah kamu membalas dengan kejahatan yang sama seperti yang telah ditimpakan ke atas kamu." (Surah An-Nahl: 126)

Adapun jika dua kelompok Islam bertelagah, umat Islam yang lain diperintahkan supaya mendamaikan antara dua kelompok yang bertelagah itu dengan bertindak adil atas keduanya.

Firman ALLAH: "Dan jika dua puak dalam kalangan orang beriman berperang, maka damaikanlah antara keduanya; jika salah satunya berlaku zalim terhadap yang lain, maka perangilah puak yang zalim itu sehingga ia kembali mematuhi perintah ALLAH; jika ia kembali patuh maka damaikanlah di antara keduanya dengan adil (menurut hukum ALLAH), serta berlaku adillah kamu (dalam segala perkara); sesungguhnya ALLAH mengasihi orang-orang yang berlaku adil." (Surah Al-Hujuraat: 9)

Inilah Islam. Agama yang berdiri atas keadilan dalam hukum-hakam dan pensyariatannya. Syariat Islam sama sekali tidak akan memperakui apa jua bentuk kezaliman, ketidakadilan mahupun pencerobohan.

Islam juga tidak memilih kasih antara sesiapa. Justeru, Umat Islam dituntut supaya sentiasa berdiri atas kebenaran di mana jua mereka berada.

Segala bentuk perjanjian, amanah dan tanggungjawab perlu dilaksanakan walaupun dengan orang yang tidak disenangi.

0 Komentar untuk " Adil dalam segala hal "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ