PUNCAK perasaan takbur ialah apabila manusia takbur kepada Tuhan. Orang takbur cuba menyaingi Allah SWT. Mungkin tidak ada lagi manusia yang berani mengaku diri Tuhan seperti Firaun dan Namrud, namun tindak tanduk manusia sangat menjurus ke arah itu.
Apabila berlaku kes buang bayi (akibat zina), ramai yang melenting. Apa yang hendak dihairankan kerana zina disuburkan dengan budaya pendedahan aurat dan pergaulan bebas. Jika kita menyemai angin, bersedialah untuk menuai badai.
Apabila riba dibudayakan, berlakulah krisis kewangan di seluruh dunia. Malah, banyak lagi larangan Allah SWT yang terus diamalkan demi mengejar kepentingan duniawi hingga Allah SWT dilupakan.
Lawan takbur ialah tawaduk. Orang yang tawaduk merasakan dirinya tidak dimiliki dan memiliki apa-apa selain Allah SWT. Orang tawaduk tidak akan membanggakan kebaikan dilakukan kerana itu semua dengan izin Allah SWT.
🔥Memuji kebaikan🔥
Ketika diberitahu Saidina Abu Bakar bahawa Allah SWT telah memuji kebaikan yang banyak dilakukannya, Saidina Abu Bakar tidak gembira, sebaliknya menangis. Ketika ditanya mengapa, beliau menjelaskan hakikatnya Allah SWT memuji diri-Nya.
Bukankah semua kebaikan yang dapat kita lakukan bermodalkan kurniaan Allah SWT. Jadi, teladani sifat tawaduk Saidina Abu Bakar.
Hayati apa yang diungkapkan oleh Ibnu 'Athailah dalam kalam hikmahnya, "Dosa yang menyebabkan engkau menangis lebih baik daripada kebaikan yang menimbulkan rasa takbur."
Umat Islam terhina kerana ketakburan kepada Allah SWT. Apabila ditegaskan bahawa kemuliaan itu hanya pada takwa, kenyataan itu dipandang sebelah mata. Berapa ramai menjadikan takwa sebagai buruan dan tujuan dalam hidup? - (Buku Allah Dekat Tiada Gawat)
https://www.bharian.com.my/rencana/agama/2018/01/378736/lebur-takbur-dengan-tawaduk
0 Komentar untuk " Lebur takbur dengan tawaduk "