KAJANG: Amalan poligami tidak sepatutnya menjarakkan perhubungan dan mencetuskan konflik membabitkan pasangan suami isteri dan anak-anak.
Pensyarah Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS), Zainuddin Che Seman, berkata konsep dan konteks poligami perlu difahami oleh masyarakat Islam dengan betul.
"Hikmah poligami amat murni kerana ia sepatutnya mendekatkan lagi hubungan, sekali gus mengukuhkannya dan bukan menjarakkan hubungan kekeluargaan.
"Jadi dalam proses membina keluarga yang lebih besar ini saya berpandangan suami perlu mendapatkan persetujuan isteri pertama kerana hanya dengan cara itu matlamat poligami yang dianjurkan Islam dapat dicapai.
"Bahkan, ia amat penting dalam memupuk persefahaman dan mengurangkan konflik di antara pasangan," katanya pada Seminar Poligami Pilihan Atau Takdir di KUIS di sini, hari ini.
Zainuddin turut berpandangan, merahsiakan status poligami biasanya memberikan impak negatif kepada institusi rumah tangga.
"Antaranya mengakibatkan peningkatan kes perceraian dengan kebanyakannya cuma mampu bertahan dalam tempoh masa singkat," katanya.
Sementara itu, peserta seminar, Rogayah Jaafar, 42 berpandangan kebanyakan persepsi buruk dan fitnah terhadap amalan berpoligami yang dibenarkan Islam dicetuskan oleh kaum wanita sendiri.
Beliau yang berkongsi pengalamannya bermadu sejak lapan tahun lalu berkata, wanita tidak sepatutnya menolak hukum disyariatkan Allah SWT sehingga meletakkan kesalahan atau memandang serong kepada lelaki yang memilih untuk berpoligami.
Katanya, kaum wanita sepatutnya perlu berlapang dada kerana ia adalah fitrah dan hak untuk berkahwin lebih daripada seorang isteri.
"Sebagai isteri yang melamar sendiri isteri kedua untuk suami, saya sarankan lebih baik kita redha dan janganlah sengaja mencari kesalahan pasangan sekiranya mereka memilih untuk berpoligami.
"Saya anggap isteri kedua suami sebagai hadiah kepadanya dan ini semua digerakkan oleh Allah SWT," katanya.
Mengulas soal keadilan dalam amalan poligami, beliau berkata, tidak tepat jika ia cuma dilihat berasaskan cara layanan yang dianggap berat sebelah di antara isteri.
Katanya, cara layanan tentu saja berbeza kerana suami perlu menyesuaikannya mengikut karakter, keperibadian dan gaya hidup berbeza diamalkan setiap isterinya.
Seminar anjuran Jabatan Undang-undang, Fakulti Syariah dan Undang-undang KUIS itu bertujuan mendedahkan poligami dari aspek undang-undang dan fiqh kepada masyarakat, selain memperbetulkan persepsi dalam menghadapi realiti sebenar hidup berpoligami.
https://www.bharian.com.my/rencana/agama/2018/02/391970/persetujuan-isteri-dapat-capai-hikmah-berpoligami
0 Komentar untuk " 'Persetujuan isteri, dapat capai hikmah berpoligami' "