Perkahwinan bina generasi ke syurga - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Perkahwinan bina generasi ke syurga


Manusia sering diingatkan agar sentiasa memohon ditunjukkan jalan yang lurus bersama-sama golongan nabi, siddiqin, syuhada dan orang salih untuk menuju syurga Allah. Malah merebut peluang yang disediakan Allah untuk berkeluarga yang bakal membina jalan ke syurga melalui proses perkahwinan.

Islam mengajar umatnya yang meniti usia dewasa agar berkahwin, bukan hanya untuk menundukkan nafsu semata-mata tetapi ia sunnah yang baik, dibentuk oleh Rasulullah SAW. Menjadi kesilapan kepada manusia yang tidak mahu berkahwin melainkan sekiranya mereka menghadapi masalah kesihatan.

Sekiranya berkemampuan, mempunyai kekuatan dan sudah tiba masa yang sesuai untuk berkahwin, disarankan agar 'berhijrah' daripada hidup berseorangan kepada hidup berumahtangga dan mempunyai matlamat untuk memiliki zuriat yang ramai.

Dengan berlakunya ijab kabul bererti mereka sudah membina generasi untuk ke syurga. Elakkan daripada beranggapan apabila berumahtangga akan menyebabkan mereka menanggung bebanan, sedangkan perkahwinan itu satu fitrah kepada manusia.

Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani menerusi slot Mau'izati di radio IKIMfm turut berkongsi pesanan Rasulullah SAW kepada pemuda dan pemudi, "Kalau sekiranya kalian sudah cukup kemampuan dalam hidup, maka berumahtanggalah. Kerana dengannya akan menundukkan pandangan kamu, terjaga kemaluanmu. Dan sekiranya kamu tidak mampu untuk berumahtangga disunatkan dan dituntut agar kamu berpuasa, kerana sesungguhnya puasa itu menjadi pelindung kepada hidupmu."

Allah SWT menciptakan lelaki dan wanita dengan mempunyai tarikan antara satu sama lain sebagai pasangan hidup. Keengganan untuk berkahwin ialah perbuatan yang melawan fitrah, malah tarikan dan perhubungan terhadap jantina sama juga dilarang sama sekali dalam Islam.

Adalah tidak wajar untuk mencari alasan tidak berumahtangga sekiranya pemuda sudah tiba masanya untuk berkahwin kerana ia akan turut memudaratkan orang lain, terutama golongan pemudi yang menunggu lamaran.

🔥Dicipta berpasangan🔥

Akhirnya masalah ini akan berlanjutan disebabkan akhlak pemuda yang sombong dan menganggap dirinya sudah sempurna tanpa perkahwinan. Selain itu melalui perkahwinan, akan terjaga kemaslahatan di kalangan masyarakat dan terbina dengan cara terbaik. Tanpa keluarga dan anak, mereka akan terdorong untuk melakukan perkara lain bagi mengisi kekosongan hidup seperti memelihara haiwan tetapi mempunyai masa terbatas untuk bermasyarakat.

Perkahwinan akan melahirkan zuriat salih dan salihah, malah Rasulullah sangat berbangga dan Bagindalah yang paling gembira kerana memiliki umat ramai pada Hari Akhirat kelak.

Allah menjadikan manusia mempunyai pasangan masing-masing dan akan lahirlah anak, cucu-cicit dan keturunan hasil daripada perkahwinan itu. Sesungguhnya dengan berumahtangga akan memudahkan manusia untuk menuju kepada syurga Allah dan dapat memelihara keturunan yang berterusan.

Dengan perkahwinan juga ia dapat mengatasi masalah sosial dalam masyarakat seperti penularan penyakit AIDS, dan penyakit kelamin akibat perbuatan zina serta jenayah yang merosakkan manusia.

Mereka yang berkeluarga akan beroleh doa daripada anak yang salih terutama apabila kembali menghadap Allah. Namun sebaliknya harta benda dan kemewahan di dunia tidak akan menjamin kebahagiaan di dunia dan akhirat tanpa kehadiran keluarga di dalam kehidupan manusia.

Melalui perkahwinan juga dapat mendatangkan ketenteraman hati dan jiwa manusia. Di antara kebesaran Allah SWT ialah menciptakan isteri kepada golongan pemuda tanpa diduga oleh mereka sendiri kerana sudah tertulis dan ditakdirkan siapakah pasangan mereka.

Allah menciptakan perasaan kasih-sayang dan belas kasihan terhadap pasangan hidup masing-masing kecuali perasaan benci yang dihasut oleh syaitan untuk memecah-belahkan manusia. Malah melalui penciptaan inilah mengajak manusia agar berfikir dan tidak mensia-siakan masa muda mereka.

🔥Menambah rezeki🔥

Selain itu Allah akan menambah rezeki kepada mereka yang berumahtangga berbanding mereka hidup berseorangan kerana setiap daripada ahli keluarga dikurniakan rezeki masing-masing.

Sudah tertulis segala rezeki bagi setiap manusia di langit atau Arasy-Nya, dan segala apa yang sudah dijanjikan Allah kepada diri mereka. Dengan bertambahnya anak dan ahli keluarga, akan menambahkan rezeki di dalam keluarga tersebut.

Asas utama untuk membina rumah tangga ialah agama, maka persiapkanlah diri dengan bekalan ilmu agama yang baik, sesungguhnya wanita yang salihah layak mempunyai pasangan di kalangan lelaki yang salih.

Malah ia juga mendorong kelahiran zuriat dan keturunan yang baik. Allah tidak memandang rupa paras dan kemewahan pasangan tetapi memandang hati yang baik dan amalan agama masing-masing untuk membina rumah tangga yang sejahtera dan dirahmati.

Oleh Fairuz Noordin
Penulis adalah Pengurus Hubungan Strategik Radio IKIMfm

https://www.bharian.com.my/rencana/agama/2018/03/394326/perkahwinan-bina-generasi-ke-syurga
0 Komentar untuk " Perkahwinan bina generasi ke syurga "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ