Selesaikan isu Rohingya - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Selesaikan isu Rohingya

KETUA-ketua kerajaan Asean yang berhimpun di Langkawi pada 27 April 2015 untuk Sidang Kemuncak Asean dan meluluskan Deklarasi Langkawi tentang Gerakan Kesederhanaan Global tentu tidak menjangka bahawa, tidak sampai sebulan selepas itu, tempat yang sama menggamit perhatian dunia, malah lebih daripada sidang mereka, atas isu yang selama ini mereka diamkan.

Pada 11 Mei 2015, 1,100 orang migran mendarat di pulau itu. Empat ratus daripadanya adalah pelarian Rohingya. Pada masa yang sama, kira-kira 8,000 lagi masih hanyut di laut. Mereka adalah migran dan pelarian Rohingya dari Myanmar dan Bangladesh.  

Untuk beberapa hari, kerajaan Thailand, Malaysia dan Indonesia tidak begitu membantu. Mereka mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang mereka akan
menghukum, contohnya, menghantar semula kapal ke laut setelah diberikan makanan, tidak membenarkan pendaratan, dan menghantar pulang migran dan pelarian.

Seperti biasa, dalam keadaan begini, CSO seperti Majlis Peguam, Amnesty International Malaysia, Migration Working Group dan aktivis seperti Datin Paduka Marina Mahathir, yang ke hadapan. Mereka menyeru Asean, dan terutamanya ketiga-tiga kerajaan tersebut untuk segera menyelamatkan pelarian itu.

Contohnya, Amnesty International Malaysia menggariskan perkara-perkara berikut:

-    Koordinasi operasi mencari dan menyelamat.
-    Benarkan kapal-kapal itu mendarat           di negara terdekat.
-    Sediakan bantuan kemanusiaan yang diperlukan.
-    Pastikan setiap yang memohon suaka menerima prosedurnya.
-    Pastikan mereka tidak dihantar pulang   ke negara asal di mana nyawa dan kebebasannya terancam.
-    Pastikan mereka tidak dipersalahkan, ditahan dan dihukum atas dasar bagaimana mereka tiba di sini.

Pada 19 Mei 2015, Parlimen Malaysia kehilangan peluang untuk memainkan peranan penting dalam menangani isu ini apabila usul membahaskannya daripada Ahli Parlimen Dr Jeyakumar Devaraj ditolak Speaker Dewan Rakyat.

Pada masa yang sama, Persatuan Mempromosi Hak Asasi Manusia (PROHAM) dan Gerakan Kesederhanaan Global (GMM) telah menghantar jemputan kepada Wisma Putra, Pesuruhanjaya PBB untuk Pelarian (UNHCR) dan CSO ke perbincangan meja bulat (PMB) tentang isu ini yang diadakan pada 22 Mei 2015 di pejabat GMM.

Ini adalah PMB yang kedua oleh Proham dan GMM atas isu ini. Yang pertama ialah pada 16-17 April lalu, iaitu dengan kerjasama Institut Kajian Etnik, Universiti Kebangsaan Malaysia (KITA-UKM).

Mujurlah, pada 20 Mei 2015, Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman mengumumkan yang Malaysia dan Indonesia akan membantu selama setahun, pelarian yang sedang berada di lautan berhampiran dengan kedua-dua negara.

Beliau juga akan ke Myanmar berunding dengan rakan sejawatnya. Menurutnya lagi, sebagai Pengerusi Asean 2015, Malaysia mungkin mengadakan Sidang-Mini Asean semasa Mesyuarat Khas Migrasi Luar Biasa di Lautan India yang bakal diadakan di Bangkok pada 29 Mei ini.

Kini, Asean kelihatan bersegera menangani isu ini. Tetapi, kalau tidaklah kerana kes yang terbaru ini, akal mengatakan yang Asean belum tentu seserius ini.

Justeru, sekiranya Asean benar-benar tulen, ia mesti menyelesaikan punca masalah ini, iaitu masalah yang dihadapi Rohingya.

PBB telah menyatakan bahawa Rohingya ialah golongan minoriti yang paling ditekan. Dua laporan terkini, iaitu “Kebebasan Beragama di Asean” oleh Kumpulan Hak Asasi Manusia dan Gabungan NGO Indonesia untuk Advokasi Hak Asasi Manusia Antarabangsa, dan “Memelihara Keimanan: Kajian tentang Kebebasan Berfikir, Berkeyakinan dan Beragama di Asean” oleh Pusat Sumber Hak Asasi Manusia, Universiti Indonesia, juga menyatakan perkara yang sama.

Asean mesti membezakan antara migran tanpa izin dengan Rohingya yang memohon suaka politik, dan menekan Myanmar supaya menyelesaikan masalah ini.
Kalau tidak, Langkawi akan dikenang bukan kerana deklarasi kesederhanaannya, tetapi kerana kegagalan tindakannya.

* Datuk Saifuddin Abdullah ialah CEO Gerakan Kesederhanaan Global. Beliau aktif di twitter: @saifuddinabd.

0 Komentar untuk " Selesaikan isu Rohingya "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ