Krisis multikultural dalam dakwah - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Krisis multikultural dalam dakwah

BARU-BARU ini seorang bekas pelajar saya yang bernama Ustaz Haziki telah mencabar saya dengan soalan kritis, “Bolehkah kita walak pada kerajaan bukan Muslim?” Walak secara kasarnya bermakna taat setia. Beliau adalah ustaz yang peka dengan dakwah multikultural. Tidak ramai ustaz yang faham isu dalam konteks multikultural.

Saya pun jawab selamba, “Haram kerana mereka itu kaafiruun!” Ustaz Haziki tanya lagi, “Kalau macam tu, kita pergi ke negara kafir dan bolehlah langgar je semua undang-undang dan lampu trafik di sana kerana semua ini adalah arahan kerajaan kaafiruun!”

Wow! Tercabar minda saya. Yang paling menggembirakan seorang guru ialah bila pelajarnya menjadi lebih bijak daripadanya. Apakah sebenarnya takrif walak?

Isu walak (taat setia) perlu dilihat dalam konteks politik yang bersifat multikultural. Perbalahan antara Pas dan DAP sebenarnya berkisar pada isu walak. Saari Sungip tidak setuju dengan keputusan Presiden Pas yang memihak kepada keputusan Majlis Syura Ulama dalam isu pemilihan MB Selangor.

Beliau berhujah atas premis bahawa Pas Pusat yang dipilih oleh rakyat dan kepimpinan pusat PR yang juga dipilih oleh rakyat telah pun membuat keputusan tentang isu MB Selangor. Majlis Syura yang terdiri daripada beberapa kerat ulama tidak mewakili rakyat secara umum.

Haji Hadi pada mulanya juga telah bersetuju dengan keputusan pusat dan berpihak pada rakyat. Tetapi setelah berbincang dengan Majlis Syura Ulama, beliau telah mengubah fikiran. Kini, rakyat di suruh walak (taat) pada Majlis Syura Ulama pula, bukan pada keputusan majoriti AJK Pusat yang dipilih oleh rakyat sendiri. Senario di atas berulang lagi dalam isu hudud. Ini menghasilkan konflik antara ulama dan rakyat. Islam melihat taraf ulama seperti kasta Brahmin?

Kepimpinan pusat PR adalah bersifat multikultural tetapi Majlis Syura Ulama Pas bersifat monokultural. Bila keputusan mutlak diletak di tangan Majlis Syura Ulama, sudah pasti ia memenuhi kehendak monokultural, bukan multikultural.

Maksud monokultural di sini ialah pentafsiran maksud syariah berdasarkan kehendak satu budaya sahaja. Saya tidak merujuk kepada perlunya kehadiran bukan Muslim dalam Majlis Syura Ulama di sini. Saya ingin menarik perhatian bahawa tiada Cina Muslim, India Muslim, Iban atau Kadazan Muslim dalam Majlis Syura Ulama Pas. Tiada syura Muslim tertinggi yang bersifat multikultural.

Pas yang sudah ditubuhkan melebihi 50 tahun tidak nampak dari dulu lagi tentang krisis multikultural ini. Mengapa tidak mencungkil potensi dari pelbagai budaya yang beragama Islam untuk menjadi ulama sejak 50 tahun yang lalu? Saya yakin kalau Majlis Syura Ulama Pas terdiri daripada ulama multikultural, sudah tentu keputusan dan penjelasan akan lebih meyakinkan lagi rakyat multikultural di Malaysia tentang kewibawaan Islam sebagai rahmat dunia.

Kita lihat Majlis Syura tertinggi pada zaman Nabi SAW terdiri daripada pelbagai qabilah hatta qabilah kelas kedua pun menjadi ahlinya seperti qabilah Bani Adi iaitu qabilah Umar al-Khattab. Bila Umar dipilih sebagai ahli Majlis Syura tertinggi, taraf qabilah Bani Adi yang selama ini dipandang rendah oleh qabilah Bani Umayyah naik mendadak. Islam membuktikan bahawa agama Tuhan yang sebenar mampu melahirkan tokoh-tokoh multikultural.

Imam keempat-empat mazhab kesemuanya bukan Arab kecuali Imam Shafi’i sahaja yang berbangsa Arab. Bahkan Imam al-Bukhari dan Imam Muslim pun bukan Arab. Salahuddin Ayyubi yang menakluki Palestin juga bukan berbangsa Arab. Bahkan pemimpin-pemimpin tertinggi dalam khilafah Uthmaniyyah juga bukan berbangsa Arab!

Saya doakan pilihan raya Pas yang akan datang ini menghasilkan kepimpinan yang sekurang-kurangnya faham Islam sebagai rahmat multikultural, bukan monopoli segolongan kecil ulama monokultural yang kononnya seperti yang didakwa oleh Bendahari Dewan Ulama Pas, Mohd Asri Daud bahawa “dari sudut amalan dan rohani pula, dia (ulama/presiden) telah mencapai tahap tidak melakukan dosa dengan sengaja.” Bagaimana kita tahu hakikat rohani? Premis ini telah digunakan untuk menjawab persoalan kenapa Presiden Pas tidak boleh dicabar.

0 Komentar untuk " Krisis multikultural dalam dakwah "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ