Huraian Surah Al-Baqarah: Firman Allah yang bermaksud: "Wahai orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam agama Islam (dengan mematuhi) segala hukum-hukumnya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah syaitan; sesungguhnya syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata." (Surah al-Baqarah, ayat 208) Al-Saadi menyebut dalam tafsirnya bahawa ayat ini adalah perintah daripada Allah SWT kepada orang yang beriman supaya masuk Islam pada keseluruhan syariatnya, tanpa meninggalkannya walaupun sedikit. Tidak menjadikan diri mereka daripada kalangan yang menjadikan hawa nafsu sebagai tuhan, di mana jika perintah agama sesuai dengan kehendaknya maka diikutinya. Jika tidak sesuai dengan kehendak nafsu maka ditinggalkannya. Dua kategori manusia Allah SWT menjelaskan, manusia terbahagi kepada dua kategori apabila dilihat dari segi tindakan membuat kebaikan dan kerosakan. Mereka terdiri daripada golongan yang melakukan kerosakan di atas muka bumi dan golongan yang beramal mencari keredaan Allah SWT serta mentaati-Nya. Masyarakat Islam yang menerima Islam sebagai cara hidup ialah masyarakat yang sedia berdamai kerana menyahut seruan Allah SWT dan sedia berperang juga kerana mempertahankan diri serta akidah daripada digugat musuh kerana menyahut seruan Allah SWT. Umat ini tidak mampu menghadapi cabaran tanpa perpaduan yang kukuh bersatu di bawah payung Islam serta menyerahkan diri kepada hukum Allah SWT. Seruan ini sekali gus adalah pendahuluan kepada hukum perang yang akan dibicarakan berikutnya. Malangnya, umat Islam berpecah-belah, satu golongan bermusuhan dengan golongan yang lain disebabkan perbezaan mazhab. Setiap mazhab fanatik kepada mazhab masing-masing dan menyerang saudara seagama dengan alasan untuk membela agama. Pada hal dia telah mengkhianati agama dengan memporak-perandakan penyatuan kaum Muslimin. Erti keamanan, kesejahteraan Perkataan al-silm dalam bahasa Arab membawa erti keamanan, keselamatan, kesejahteraan dan kedamaian. Mufassirin mempunyai beberapa tafsiran bagi perkataan al-silm. Dalam Tafsir Pedoman Mutaqqin, Dr Abdul Hayie membawa beberapa pandangan Mufassirin erti al-silm. Pertama, sebahagian besar Mufassirin mentafsirkannya dengan erti Islam, Mukminin diseru supaya masuk Islam dan menerima tanggungjawab yang disukai hawa nafsu atau yang tidak disukainya. Kedua, perdamaian di mana umat Islam perlu berdamai dan menghindari krisis serta perbalahan. Sebahagian Mufassirin pula mentafsirkannya dengan istislam ertinya menyerah, tunduk dan patuh kepada perintah Allah SWT. Pengertian yang ketiga ini terkandung dalam tafsiran pertama iaitu Islam, tetapi ertinya lebih mendalam kerana membawa maksud penyerahan yang tidak berbelah bahagi kepada Allah SWT. Kebanyakan kacau-bilau, peperangan dan pecah-belah yang berlaku dalam masyarakat pada masa kini adalah akibat daripada jalan syaitan yang diikuti manusia. Lalu, ukuran baik dan buruknya menjadi keliru, yang batil disangka benar dan yang benar disangka batil. Mungkin akibat daripada salah memilih jalan ini, kita dapati umat Islam masa kini terjebak dalam perangkap perpecahan sama sendiri atas nama iman dan Islam, pada hal apabila diteliti nescaya didapati kepentingan diri masih tebal pada dua pihak yang bertelagah. Jalan penyelamat daripada perangkap ini hanya satu iaitu berwaspada terhadap perangkap syaitan, musuh yang amat nyata. Ini disebabkan apa yang diserukannya mempunyai kebatilan sehingga memudaratkan bagi orang yang memikirkannya. Bagi orang yang belum menerima kemudaratan pada permulaannya pasti dia akan menikmati kepahitan akhirnya. Oleh itu, tidak ada alasan untuk membenarkan orang yang tetap berada dalam kesesatan, selepas diingatkan oleh Allah SWT. Selepas Allah SWT menyeru orang yang beriman supaya masuk ke dalam kedamaian dengan keseluruhan jiwa mereka, maka al-Quran mengingatkan mereka supaya jangan mengikut langkah syaitan. Setiap Muslim tidak seharusnya teragak-agak di tengah-tengah pelbagai jalan. Penulis ialah Perunding Motivasi Islam Fitrah Power Resources
Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/51198
Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/51198
0 Komentar untuk " Hikmah Al-Quran: Salah faham perangkap perpecahan "