Agama: Perlakuan ibu bapa cermin peribadi anak - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Agama: Perlakuan ibu bapa cermin peribadi anak

Anak adalah anugerah Tuhan dan sebagai amanah kepada ibu bapa untuk mengenalkan kepada Pencipta. Anak yang terdidik dengan acuan Pemberi amanah tidak akan menderhaka. Ustaz Pahrol Mohd Juoi turut menekankan keikhlasan ibu bapa dalam mendidik anak menerusi program Islam itu Indah. Kisah yang pernah berlaku pada zaman Khalifah Umar al Khattab, menunjukkan besarnya peranan mendidik anak. Riwayat masyhur itu bermula apabila seorang lelaki mengadukan hal anaknya yang derhaka. Lalu Umar memanggil anak lelaki itu dan memarahinya kerana derhaka kepada bapanya serta lupa kepada hak bapanya. Anak itu menjawab, "Wahai Amirul Mukminin, tidakkah anak mempunyai hak ke atas bapanya?" Umar menjawab: "Ya." Dia bertanya lagi, "Apakah ia wahai Amirul Mukminin?" Jawab Umar, "Memilih ibunya, memberikan nama yang baik dan mengajarnya al-Kitab (al-Quran)." Anak itu berkata: "Wahai Amirul Mukminin! Sesungguhnya bapaku tidak pernah melakukan satu pun perkara itu. Mengenali ibu saya, dia dahulunya seorang hamba berkulit hitam dan tuannya seorang Majusi. Saya pula dinamakan 'Ju'olan' iaitu sejenis kumbang biasa berwarna hitam. Dia juga tidak pernah mengajarkan aku walau satu huruf daripada al-Quran". Umar lantas berkata kepada lelaki itu, "Kamu datang mengadukan kederhakaan anakmu, walhal kamulah yang telah menderhakainya. Kamulah yang telah berlaku jahat sebelum dia berlaku demikian terhadapmu." Begitulah, Saidina Umar meletakkan kesalahan kepada si bapa, lantaran kecuaiannya dalam mendidik anaknya. Didikan, tarbiah seumpama akar atau nyawa generasi Sungguh besar peranan mendidik ini sehingga digambarkan oleh Ustaz Pahrol Mohd Juoi menerusi Islam Itu Indah minggu lalu bahawa didikan dan tarbiah seumpama akar atau nyawa bagi generasi. Bahananya, generasi yang berdiri tanpa didikan memang masih mampu berdiri, tetapi dalam keadaan lemah dan sentiasa terjajah oleh musuh-musuhnya. Setiap individu ada peranan dalam mendidik. Menjadi kewajipan ibu bapa mengenalkan anak kepada Rasulullah SAW dan cinta terhadap Baginda. Ia hanya akan terlestari jika ibu bapa terlebih dahulu kenal dan cinta kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW. Mengenali dan mencintai tidak hanya terletak kepada pengetahuan salasilah Baginda SAW, tetapi ia sangat berkait rapat dengan rasa dan tindakan. Seni memindahkan rasa cinta kepada diri anak bukan sekadar menerusi lisan, malah perbuatan yang hadir dari hati dan dilakukan sepenuh hati. Anak adalah cermin dan pantulan daripada pelakuan ibu bapanya. Setiap yang terzahir daripada sifat dan tabiat anak seharusnya menjadi musabab buat ibu bapa dan bukannya modal melampiaskan marah. Sebagaimana ingatan Umar kepada si ayah, sesungguhnya anak derhaka itu hanyalah produk hasil ibu bapa yang derhaka terlebih dahulu. Tidak dapat dinafikan, terkadang kita tergelincir dalam mendidik anak. Maka, perbanyakkan taubat dan memohon keampunan kepada Allah SWT. Bersungguh dalam memohon keampunan menerusi keinginan dan kemahuan untuk terus belajar dalam mendidik tanpa mengira faktor usia dan status dalam masyarakat dan keluarga. Anak adalah anugerah, tetapi ia tidak terhenti sekadar itu. Ia juga adalah amanah. Kita perlu sentiasa ingat bahawa anak itu dipinjamkan Allah untuk diusahakan kerana pada akhir nanti anugerah itu akan kembali kepada Penciptanya. Disebabkan anak itu amanah, wajib bagi ibu bapa mendidik mereka mengikut acuan Pemberi amanah. Acuan yang ditetapkan berupa tujuan hidup anak itu iaitu menjadi hamba Allah dan menjadi khalifah yang memberi manfaat kepada yang lain. Menjadi anak yang baik dan memberi kebaikan. Oleh itu, penting bagi anak ini diterapkan dari awal lagi berkenaan ilmu wahyu untuk mengenal Penciptanya dan perlu juga menguasai ilmu fardu kifayah bagi memudahkan matlamat kedua iaitu untuk memberi manfaat pada yang lain. Anak cinta Allah akan kenal ibu bapa Ibu bapa perlu yakin, anak yang kenal dan cinta Allah secara tidak langsung akan kenal dan cinta ibu bapanya. Anak yang lupa Allah, bukan sekadar lupa ibu bapanya bahkan akan lupa dirinya. Hilang cinta pada diri ini menuju kepada kebinasaan. Apabila anak itu sedar mengenai cinta Allah, sekali gus terdidik bahawa reda Allah terletak pada reda ibu bapanya. Disamping, cinta Allah akan merapatkannya dengan al-Quran yang terkandung di dalamnya berkenaan berbuat baik dan mendoakan ibu bapa. Sesungguhnya, apabila ada cinta Allah, individu itu memiliki segala-galanya, tetapi jika dia miliki segala-galanya tanpa cinta pada Allah nescaya dia hilang segala-galanya. Kiraannya mudah, jika kita mengajar anak mengenali Allah tanpa mengharapkan sebarang balasan, nescaya Allah akan memberi ganjaran lebih banyak. Selagi jasa selaku ibu bapa perlu dikenang oleh anak, selagi itu juga anak akan melupakan jasa baik ibu bapanya berpunca daripada terlepas didikan wajib yang utama iaitu mengenal Pencipta mereka yang juga Pencipta kepada kedua ibu bapanya. Didik anak seikhlasnya tanpa menjangkakan sebarang balasan. Proses didikan sewajarnya bermula dari hati. Didik anak itu amanah bukannya jasa. Sebelum mendidik orang lain ada baiknya terlebih dulu didiklah hati sendiri. Penulis ialah Penerbit Rancangan Kanan IKIMfm

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/49220
0 Komentar untuk " Agama: Perlakuan ibu bapa cermin peribadi anak "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ