Ukhuwah Islamiah atau jamaiah - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Ukhuwah Islamiah atau jamaiah

DEWASA ini ramai yang teruja dan semangat untuk melibatkan diri dalam satu-satu organisasi seperti badan bukan kerajaan yang aktif dalam pelbagai aktiviti dakwah. Malah sudah menjadi fenomena biasa di institusi-institusi pengajian tinggi, wujud pelbagai kelompok dan organisasi sebegini yang aktif merekrut, mengkader dan mentarbiah ahli-ahli demi matlamat perjuangan yang pelbagai.

Selalunya organisasi-organisasi seperti ini menggelar diri mereka dengan istilah ‘jamaah’ atau Jemaah yang membawa maksud satu kelompok manusia yang berhimpun dan menjalankan aktiviti secara kolektif.

Kepelbagaian jemaah yang berorientasikan Islam ini selalunya didasari dengan perasaan kekitaan yang dibina atas dasar ukhuwah Islamiah atau konsep persaudaraan Islam. Namun apa yang sering berlaku ialah ketaksuban kepada kelompok hingga sering kali secara sedar mahupun tidak menafikan persaudaraan dengan orang lain yang tidak bersama dalam kelompok atau jemaah tersebut.

Inilah isu yang ingin penulis bangkitkan dalam penulisan kali ini iaitu antara konsep persaudaraan Islam dengan persaudaraan berasaskan kelompok atau istilah Arabnya ukhuwah Islamiah berbanding dengan ukhuwah jamaiah.

Perkataan ukhuwah dalam bahasa Arab berasal daripada perkataan “akh” bermaksud saudara. Oleh yang demikian, ukhuwah di sini adalah bermaksud persaudaraan. Ukhuwah Islamiah pula bermaksud persaudaraan yang dibina atas dasar Islam atau dengan kata lain, persaudaraan sesama umat Islam. Manakala ukhuwah jamaiah pula bermaksud persaudaraan yang dibina atas dasar persamaan dalam sesuatu jemaah atau kumpulan.

Hakikatnya, ALLAH SWT tidak mengkhususkan ukhuwah jamaiah, tetapi lebih menekankan kepada ukhuwah Islamiah yang dibina atas dasar Islam dan iman, sebagaimana firmanNya dalam Surah al-Hujurat : 10: “Sebenarnya orang-orang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu, dan bertakwalah kepada ALLAH supaya kamu beroleh rahmat”.

Namun, ini tidaklah bermakna Islam menolak ukhuwah jamaiah secara mutlak. Cuma apabila bertembung antara ukhuwah jamaiah dan ukhuwah Islamiah, maka keutamaan adalah kepada ukhuwah Islamiah.

Melihat kepada sejarah awal Islam, Baginda SAW pernah menegur beberapa sahabat yang menyeru kepada taasub dan fanatik terhadap kumpulan masing-masing, sehingga lupa kepada ukhuwah Islamiah yang berlandaskan ajaran dan nilai-nilai Islam, sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari:

Dalam kalangan orang-orang Muhajirin, terdapat seorang lelaki yang suka bergurau, kemudian dia telah menolak seorang Ansar, maka marahlah orang Ansar itu, sehinggakan kedua-dua mereka saling menyeru (kaum masing-masing untuk sama-sama terlibat dalam pergaduhan itu). Orang Ansar itu berkata: “Wahai orang-orang Ansar (datanglah membantuku menewaskan orang Muhajirin ini).” Dan orang Muhajirin itu pula berkata: “Wahai orang-orang Muhajirin, (datanglah membantuku mengalahkan orang Ansar ini).” Kemudian Nabi SAW keluar dan bersabda: “Apa hal seruan ahli jahiliah ini?” Kemudian Baginda bertanya: “Apa keadaan mereka ini?” Kemudian Baginda diberitahu bahawa seorang Muhajirin telah menolak seorang Ansar. Maka Nabi SAW bersabda: “Tinggalkanlah seruan jahiliah itu, sesungguhnya seruan jahiliah itu adalah perkara yang keji”.

Pada zaman jahiliah, orang-orang Arab sangat taksub dan fanatik kepada kabilah dan puak masing-masing. Malah, mereka sanggup berperang semata-mata kerana perkara yang kecil sehingga berkurun-kurun lamanya. Peperangan mereka itu hanyalah atas dasar mempertahankan kabilah masing-masing, tanpa melihat siapa yang benar, mahupun siapa yang salah dalam prinsip keadilan, sebagaimana yang terjadi kepada kabilah Aus dan Khazraj di Madinah sebelum kedatangan Nabi SAW yang mempersaudarakan mereka sebagai orang-orang Ansar.

Perihal jemaah atau kumpulan ini pula, ALLAH SWT jelas menyatakan bahawa setiap kumpulan atau jamaah akan bergembira dengan apa yang ada pada mereka, sebagaimana dua firmanNya dalam Surah al-Mu’minun: 53 dan Surah ar-Rum: 32: “Tiap-tiap golongan bergembira dengan apa yang ada pada mereka”.

Inilah sebenarnya punca yang membawa setiap kumpulan ke arah sikap taksub membuta tuli terhadap kumpulan mereka, sehingga menafikan apa sahaja kebaikan yang datang dari kumpulan lain, terutamanya kumpulan yang menjadi lawan kepada mereka. Malah lebih teruk dan malang, sikap taksub dan fanatik ini akan menjadikan seseorang itu melihat segala keburukan kumpulannya adalah baik, manakala keburukan pihak lawan dianggap terlalu besar seolah-olah hanya keburukan sahaja yang dilakukan oleh pihak lawan.

Justeru sudah tiba masanya umat kembali kepada ajaran Islam yang sebenar dan asli. Persaudaraan yang sejati adalah dengan melihat setiap orang yang melafazkan kalimah syahadah sebagai saudara kita seagama yang perlu dijaga hak dan kepentingan mereka.

0 Komentar untuk " Ukhuwah Islamiah atau jamaiah "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ