Allah SWT sentiasa berpesan supaya kita menjaga silaturahim sesama manusia kerana ia amat dituntut dalam agama. Ikuti kupasan Ustaz Basir Mohamed mengenai pentingnya memupuk kasih sayang terhadap keluarga dalam Usrati di radio IKIMfm. Allah SWT berpesan supaya menjaga hubungan silaturahim sesama manusia. Malah Allah SWT memberi peringatan menjaga silaturahim adalah satu nikmat yang tidak semua orang dapat merasainya, kecuali mereka diberikan hati yang sentiasa berlapang dada terhadap orang lain. Firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah SWT dan ingatlah akan nikmat Allah SWT kepadamu ketika kamu dahulu (masa jahiliah) bermusuh-musuhan, maka Allah SWT menyatukan hatimu, lalu menjadilah kamu kerana nikmat Allah SWT orang yang bersaudara dan kamu berada di tepi jurang neraka, lalu Allah menyelamatkan kamu daripadanya." (Surah al-Hujurat, ayat 103) Jika silaturahim sesama manusia dituntut dalam agama, apatah lagi hubungan silaturahim dalam keluarga yang juga satu tanggungjawab besar. Allah SWT memberi peringatan kepada Nabi Muhammad SAW untuk menjaga dirinya dan ahli keluarganya daripada azab neraka. Firman-Nya yang bermaksud: "Hai orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka." (Surah at-Tahrim, ayat 6) Keluarga adalah perkara utama dalam membina masyarakat harmoni dan berkasih sayang. Keluarga yang baik akan melahirkan masyarakat yang baik dan berakhlak mulia. Oleh itu, dalam melakukan kebaikan, ahli keluarga kelompok paling utama perlu diberi perhatian. Rasulullah SAW adalah model terbaik dalam membina keluarga, seterusnya membina masyarakat dan ummah yang mempunyai keperibadian mulia. Baginda SAW begitu sayang kepada ahli keluarga dan menyantuni bapa saudaranya, Abi Talib yang masih belum beriman dengan agama Allah SWT. Baginda bukan sahaja mengharapkan kebaikan pada dirinya, bahkan mengharapkan kebaikan untuk ahli keluarganya. Dakwahnya tidak terhenti kepada Abi Talib sehinggalah bapa saudaranya itu meninggal dunia. Janganlah kita mengharap untuk memasuki syurga Allah SWT bersendirian, tetapi tanamlah perasaan dalam diri untuk memasuki syurga bersama ahli keluarga kita. Golongan salihin dahulu menghafal nama ahli keluarga mereka sehinggalah pada nasabnya kerana mereka begitu menyayangi ahli keluarga. Contohi Imam Syafie Ustaz Basir Mohamed mengambil contoh kisah Imam Syafie yang pernah ditanya siapakah namanya. Maka dijawab oleh Imam Syafie nama beliau sehinggalah pada nasabnya Nabi Adam. Ini menunjukkan betapa mereka menyayangi dan mengambil tahu berkenaan ahli keluarga mereka. Agak malang jika kita bukan sahaja tidak mengambil berat akan ahli keluarga, malah langsung tidak mengenali mereka. Perkara utama dalam menjaga kebajikan ahli keluarga adalah dengan menasihati, mengajar dan membimbing mereka mengetahui secara jelas perintah serta larangan Allah SWT. Seterusnya mentaati segala perintah itu sebagai usaha berterusan untuk selamat daripada azab neraka. Dua perkara tauhid yang paling besar adalah menyembah Allah SWT dan sekali-kali tidak mensyirikkan-Nya. Suruhan utama yang datang selepas itu adalah berbuat baik dan ihsan kepada ahli keluarga. Firman Allah SWT yang bermaksud: "Sembahlah Allah SWT dan janganlah kamu mempersekutukan-Nya dengan sesuatu pun. Dan berbuat baiklah kepada kedua-dua ibu bapa, ahli keluarga, anak yatim, orang miskin, tetangga yang dekat dan tetangga yang jauh, teman sejawat, ibnu sabil dan hamba sahayamu. Sesungguhnya Allah SWT tidak menyukai orang yang sombong dan membanggakan diri. Sebelum kita melakukan kebaikan kepada orang lain, perlu dilihat adakah kebaikan atau ihsan kita sampai kepada kedua-dua ibu bapa dan ahli keluarga kita terlebih dahulu." (Surah an-Nisaa', ayat 36) Lakukan kebaikan dengan ikhlas Basir mengajak pendengar jangan sekali-kali melakukan kebaikan hanya untuk mendapat pengiktirafan manusia. Tidak kurang manusia yang melakukan kebaikan hanya kepada orang lain untuk diperlihatkan kebaikan itu kepada masyarakat, sehingga mengabaikan tanggungjawab kepada keluarga sendiri. Kebaikan yang dilakukan adalah untuk mendapat keredaan daripada Allah SWT, bukan pengiktirafan manusia. Jika kebaikan yang diberikan kepada orang lain, maka kepada ahli keluarga adalah lebih daripada itu iaitu memberikan ihsan. Ada kala melakukan kebaikan kepada orang lain itu sangat mudah berbanding melakukan kebaikan kepada ahli keluarga. Belum tentu seseorang yang dipandang masyarakat itu baik adalah orang yang baik terhadap ahli keluarganya. Rasulullah SAW bersabda: "Orang Mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang paling baik akhlaknya dan yang berbuat baik kepada ahli keluarganya." (Riwayat Abu Daud dan Tirmizi) Basir memetik firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan di antara tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya (sakinah) dan dijadikan-Nya di antaramu mawaddah dan rahmah. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda bagi kaum yang berfikir." (Surah ar-Ruum, ayat 21) Penulis ialah Penyampai dan Penerbit Rancangan Kanan IKIMfm
Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/49422
Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/49422
0 Komentar untuk " Agama: Kebajikan keluarga patut diutamakan "