Agama: 'Hati mati' doa tak makbul - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Agama: 'Hati mati' doa tak makbul

Cepat atau lambatnya doa diperkenankan adalah urusan Allah SWT. Bagaimanapun doa yang tidak dimakbulkan disebabkan jiwa dan hati berprasangka buruk terhadap Allah SWT selain tidak menuruti adab berdoa. Oleh itu, amalan baik menjadi kunci doa dimakbulkan. Ikuti kupasan doa oleh Ustaz Syed Mohd Norhisyam dalam rancangan Tarbiah. Rasulullah SAW bersabda: "Doa seseorang sentiasa akan dimakbulkan selama dia tidak berdoa untuk perbuatan dosa atau pun untuk memutuskan tali silaturahim dan tidak terburu-buru. Seorang sahabat bertanya: Ya Rasulullah, apakah yang dimaksudkan dengan terburu-buru? Rasulullah SAW menjawab: Yang dimaksudkan dengan terburu-buru adalah apabila orang yang berdoa itu mengatakan: Aku telah berdoa dan terus berdoa, tetapi belum juga dikabulkan. Setelah itu, ia berasa putus asa dan tidak pernah berdoa lagi." (Riwayat Muslim) Doa adalah satu bentuk harapan kerana manusia sangat mengharap pertolongan dan bantuan daripada Allah SWT. Rasulullah SAW menjelaskan doa adalah senjata bagi Mukmin. Ini bermakna besarnya peranan dan kedudukan doa pada saat tiada tali kebergantungan selain doa kepada Allah SWT. Menerusi rancangan Tarbiah, Ustaz Syed Mohd Norhisyam Tuan Padang menjelaskan, Allah SWT yang Maha Pengasih dan Penyayang tidak pernah lupa untuk memakbulkan doa hamba-Nya yang ikhlas mengharap ihsan-Nya. Allah SWT tahu apakah perkara baik dan tidak baik untuk setiap hamba-Nya. Doa kita kepada Allah SWT ada yang dimakbulkan-Nya dan ada juga belum diperkenankan. Malah ada doa yang tidak dimakbulkan langsung. Allah berhak tidak makbul doa Allah SWT yang Maha Berkuasa berhak untuk tidak memakbulkan doa hamba-Nya jika perkara yang diminta itu tidak membawa sebarang kebaikan. Hikmah di sebalik setiap doa yang tidak dimakbulkan kerana Allah SWT memberikan apa yang manusia perlu bukan apa yang dia mahu. Berkongsi lebih lanjut mengenai doa yang tidak dimakbulkan Allah SWT, Syed Mohd Norhisyam berkata, sesungguhnya kita perlu yakin dan percaya bahawa Allah SWT telah berjanji tidak akan membiarkan dan menghampakan hamba-Nya yang memohon sesuatu dengan sepenuh hati kepada-Nya. Firman Allah SWT yang bermaksud: "Berdoalah kepada-Ku, nescaya akan aku perkenankan permohonan itu." (Surah Mukmin, ayat 60) Antara ciri-ciri doa yang tidak dimakbulkan adalah doa yang tidak dilakukan secara sepenuh hati. Ertinya, doa yang dimohon kepada Allah SWT, tetapi tidak disertakan dengan keyakinan terhadap kasih sayang dan kekuasaan Allah SWT. Melalui satu riwayat mengenai ulama terkenal iaitu Al-Imam al-Faqih Abu al-Lais yang didatangi satu kumpulan pemuda, ingin menanyakan perihal doa mereka. Selepas berkali-kali mereka berdoa, tetapi tidak pernah dimakbulkan oleh Allah SWT. Lalu mereka mempertikaikan ayat al-Quran mengenai Allah SWT memperkenankan doa mereka. Antara ayat itu ialah firman Allah SWT yang bermaksud: "Apabila hamba-Ku bertanya mengenaiKu, maka jawablah bahawasanya Aku adalah dekat, Aku perkenankan orang yang berdoa." (Surah al-Baqarah, ayat 186) Lalu mereka bertanya lagi, apakah ayat al-Quran itu silap atau salah? Al-Imam al-Faqih menjawab: "Ayat itu tidak ada yang silap atau salah. Tetapi yang berdoa itu tidak pernah ambil tahu mengenai kesalahan atau kesilapannya. Oleh itu, wahai orang muda! Jangan pernah ada di hati kamu mempertikaikan ayat al-Quran itu. Seterusnya imam yang mulia itu berkata: Sebab doa tidak disahut oleh Allah SWT kerana hati orang yang berdoa itu mati." Begitu juga dalam satu riwayat lain, kisah seorang ahli sufi yang sangat masyhur bernama Ibrahim Adham. Beliau pernah ditanya oleh orang ramai ketika berada di tengah pasar Basrah di Iraq: "Mengapa doa kami tidak dimakbulkan Allah SWT, pada hal kami selalu berdoa? Lalu Ibrahim Adham menjawab: Doa tidak dikabulkan kerana hati kamu telah buta (mati)." Bersih jiwa daripada prasangka Oleh itu, setiap Mukmin wajib membersihkan jiwa dan hatinya daripada sebarang prasangka buruk terhadap Allah SWT. Sebaliknya, memperbanyakkan istighfar dan amalan yang mendekatkan diri kepada-Nya. Hati yang hidup dengan zikrullah dan selawat kepada Baginda Rasulullah SAW akan sentiasa hidup dan dekat dengan-Nya. Amalan yang baik inilah menjadi kunci kepada mudahnya doa kita dimakbulkan Allah SWT. Menurut Mohd Norhisyam, ada beberapa adab dan peraturan disunahkan supaya mendapat kelebihan dan barakah daripada Allah SWT serta supaya doa dimakbulkan. Berdoalah dengan suara yang lembut, penuh keyakinan terhadap Allah SWT, menghadap kiblat, berwuduk, berdoa pada waktu mustajab dengan merendah diri dan mengharapkan hanya kepada Allah SWT. Doa orang yang tidak dimakbulkan oleh Allah SWT antaranya disebabkan seorang itu mengakui wujudnya Allah SWT, tetapi tidak pernah menunaikan hak dan tanggungjawab kepada Allah SWT. Membaca al-Quran, tetapi tidak pernah mengamalkannya, mengakui umat Nabi Muhammad SAW, tetapi tidak pernah mengamalkan sunahnya, tidak pernah bersyukur terhadap segala nikmat kurniaan Allah SWT, mengakui mati itu adalah benar, tetapi tidak pernah bersedia untuknya. Oleh itu, marilah kita membersihkan hati dengan menjadi Mukmin yang bertakwa kepada Allah SWT dan pada masa sama meyakini ayat suci al-Quran serta hadis Nabi Muhammad SAW. Mudah-mudahan kita menuruti adab berdoa kepada Allah SWT supaya doa kita dimakbulkan-Nya. Diriwayatkan oleh at-Tarmizi, "Rasulullah SAW pernah ditanya: Doa yang manakah yang paling didengar (diterima)? Jawab Baginda: Doa pada akhir malam dan selepas solat wajib." Penulis ialah Penyampai, Penerbit Rancangan Kanan dan Ketua Unit Berita dan Hal Ehwal Semasa IKIMfm

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/49614
0 Komentar untuk " Agama: 'Hati mati' doa tak makbul "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ