P Ramlee, Tunku & Intan Terpilih - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

P Ramlee, Tunku & Intan Terpilih

NEGARA kini bergelegak dengan pejuang politik negara. Kita memilih pejuang seni negara: P Ramlee.

Jika masih hidup, beliau sudah berusia 86 tahun. Pada 29 Mei 2015, akan genaplah beliau bersemadi 42 tahun. Dalam tahun-tahun itu, P Ramlee mendaki gunung. Berada di mercunya. Lalu melorot.

“Hanya apabila kita berada di lembah barulah kita tahu betapa tingginya mercu gunung,” kata mendiang Presiden AS Richard Nixon.  

Filem Bakti, Juita, Putus Harapan, Antara Senyum dan Tangis, Siapa Salah, Panggilan Pulau, Penarik Beca, Hang Tuah, Ali Baba Bujang Lapok, Antara Dua Darjat dan Ibu Mertuaku, di satu pihak, dan lagu-lagu Semarak Hati, Ibu, Hamidah, Gemala Hati, Tidurlah Permaisuri, Berkorban Apa Saja, Engkau Laksana Bulan, Getaran Jiwa, Jangan Tinggal Daku dan Jeritan Batinku, di pihak lain, terbukti menjadi klasik yang menokohkan P Ramlee.

“Ibu P Ramlee ni… tak berani pindah ke Kuala Lumpur,” P Ramlee berhumor dengan ibunya, Cek Mah, di suatu pagi awal 1966 di rumahnya di Setapak, Kuala Lumpur. Sepupu P Ramlee, Jurid Harun, dan isterinya Ramlah baru tiba. Saya selaku saudara pupu Ramlah turut serta.

Cek Mah ialah seorang yang langsing, sederhana tinggi, berambut lurus bersanggul, terdapat tompok-tompok putih di lehernya, mungkin parut nipis tinggalan sesuatu sakit kulit. Seorang yang dipanggil Sheikh ada sama. Saya tidak ingat sama ada beliau abang atau adik P Ramlee, mungkin bukan satu bapa. Seorang lagi berkaca mata hitam, memanggil Ramlee ‘Ram’ saja.

Sebentar kemudian, Saloma keluar mengalu-alukan kami. Beliau mengaku baru bangun akibat lewat tidur kerana menyanyi sehingga larut malam di sebuah hotel terkenal di Batu Road, kini Jalan Tuanku Abdul Rahman.

Cek Mah menerima gurauan anaknya dengan senyuman bersahaja, bagaikan selalu sangat menerima gurauan begitu.

“I ada rumah di Gombak tapi my beloved mother tak mahu pindah,” tambah P Ramlee, mengenangkan ibunya suka menetap di Pulau Pinang. Percakapan mereka seterusnya menunjukkan satu kemesraan keluarga. Lapan belas tahun sebelum itu, dalam tahun 1948, P Ramlee berpindah ke Singapura dari Pulau Pinang dan menyertai Studio Shaw, sedangkan Jurid ke Kuala Terengganu.

Jurid beristerikan Ramlah pada 1949. Manakala P Ramlee menikahi Junaidah, 1950. Satu-satunya anak tunggal P Ramlee, dan bukan anak angkat, ialah Nasir – daripada perkongsian itu.

Dalam buku Seniman Agung terbitan Arkib Negara 1984, terdapat gambar di halaman 1 yang menunjukkan rumah Raffles menjuarai sukan kriket di Francis Light School, Pulau Pinang, 1938. Duduk bersila di kiri ialah P Ramlee dan di kanan, Jurid. Mereka berusia kira-kira 10 tahun. Jurid juga pulang ke rahmatullah pada 1976. Pemergian mereka berlaku pada usia kurang 50 tahun.

Pada pagi 1966 itu, nama Tunku Abdul Rahman, Perdana Menteri pertama, selalu disebut-sebut. Jelas sekali Ramlee dan Tunku mempunyai satu hobi yang sama: lumba kuda. Dari radio khas, kuda bernama Intan Terpilih kepunyaan Tunku adalah nama glamor. Pemuda berkaca mata hitam itu tiba-tiba bersorak apabila ulasan selari mengatakan Intan Terpilih telah menang di Ipoh. P Ramlee yang suka bercerita, terhenti. Beliau gembira sekali. Ini mengingatkan saya kepada adegan Kassim Selamat menghadapi masalah berat kewangan akibat kemaruk lumba kuda dalam filem Ibu Mertuaku, diterbitkan pada 1962.    

Dalam beberapa tahun terakhir ketika bertugas di Studio Shaw di Singapura, P Ramlee berkontrak dan dibayar RM30,000 untuk sebuah filem, termasuk berlakon, mencipta dan menyanyi lagu, mengarah malah menulis lakon layar. Tempoh penyiapan sesebuah filem ialah tiga bulan. Purata RM10,000 sebulan, ataupun kurang sedikit.

Bayangkan, ketika itu pemakan gaji termahal sekali ialah Pengarah RRI (Rubber Research Institute, Jalan Ampang, KL), seorang Inggeris, iaitu RM6,000 sebulan.

Nilai wang ialah RM1 dulu sama dengan RM10 sekarang. Kiranya beliau efisien menguruskan kewangannya, atau mendapatkan khidmat penasihat kewangan yang bertauliah, saya percaya beliau boleh berjaya seperti kawannya Allahyarham Tan Sri HM Shah, pembuat filem Melayu pertama, yang meninggalkan sebuah bangunan tinggi tersergam di Petaling Jaya, di tepi Lebuhraya Persekutuan.

Pada hakikatnya, peminat terkemuka P Ramlee – Tun Dr Mahathir dan Tun Taib Mahmud – ialah orang seni juga, tetapi telah memilih kraf politik untuk melalui hidup. Mereka pasti tidak lupa 29 Mei nanti.  

0 Komentar untuk " P Ramlee, Tunku & Intan Terpilih "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ