Tatty belajar daripada pengalaman - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Tatty belajar daripada pengalaman

SEKEMBALINYA dari Amerika Syarikat selepas lima tahun menyambung pelajaran, Nerfetiti Ahmad Nordin tidak membuang masa dengan terus membuka perniagaan miliknya sendiri di tanah air pada 2000.

Menggunakan wang simpanannya sejak kecil, Nerfetiti yang lebih selesa dikenali sebagai Tatty berjaya membuka perniagaan pertamanya iaitu menjual barangan kelengkapan golf menerusi NFA Golf Sdn Bhd dengan modal permulaan RM300,000.

Siapa sangka ketika berusia 24 tahun, Tatty sudah bergelar ahli perniagaan berkat dorongan ahli keluarga terutamanya ibu bapa dan suaminya.

Namun alam perniagaan bukanlah semudah yang diimpikan, Tatty tidak lari daripada berhadapan dengan pelbagai dugaan.

Daripada ditipu syarikat dengan nilai pembelian RM27,000 sehinggalah ke bahagian pengurusan, ditambah lagi sakit yang menimpanya, satu-satu dilalui dengan tabah.

Semua itu tidak mampu menjadi penghalang buatnya untuk terus mengusahakan perniagaan yang dimulakan dahulu kerana Tatty tidak mudah berputus asa.

Pemegang Ijazah dalam jurusan Pemasaran Fesyen dan Merchandising serta Ijazah Rekaan Grafik Multimedia di Institut Seni Atlanta itu percaya, mungkin kerana kurang pengalaman dalam perniagaan menjadi penyebab kepada kegagalannya.

Bahkan, baginya perniagaan tersebut bukanlah mudah bagi seorang wanita yang juga menjadi antara usahawan wanita dalam bidang berkenaan ketika itu.

Sehinggalah pada 2008, akhirnya Tatty nekad untuk menjual kedai golf itu kerana ingin memberi tumpuan kepada rumah tangga. Tambahan lagi, Tatty sedang mengandungkan anak yang ketiga ketika itu.

Dengan hasil jualan kedainya sebanyak RM80,000, Tatty berjaya melangsaikan kesemua hutangnya pada waktu itu.

Kembali berniaga

Pada mulanya, cadangannya adalah untuk memberi tumpuan kepada anak-anak tetapi minatnya terhadap perniagaan tidak dapat menghalangnya daripada terus berniaga.

Berbekalkan modal RM2,000 yang juga merupakan sebahagian daripada hasil menjual kedai golfnya, Tatty berjaya mendapatkan stok barangan bayi dan kanak-kanak dari Amerika Syarikat.

Selepas selamat melahirkan anaknya yang ketiga, Tatty kembali berniaga secara kecil-kecilan menerusi forum-forum secara atas talian (online).

Tatty yang menggunakan nama Mamayaya menerusi forum-forum popular negara ketika itu tidak menyangka aktiviti jual belinya mendapat sambutan pengguna lain.

Wanita yang berkulit hitam manis itu lebih berhati-hati dengan perniagaannya kali ini. Walaupun hanya beroperasi dari rumah, dia mampu menjana pendapatan sekitar RM20,000 hingga RM30,000 sebulan selepas setahun berniaga.

Melihat potensi perniagaan itu, Tatty terus mendaftarkan syarikatnya, Mamayayazone dan pada masa yang sama memulakan perniagaan secara online.

Ketika itu, Mamayayazone bukan sahaja menerima tempahan barangan kanak-kanak dari pasaran tempatan, tetapi juga dari negara luar seperti Itali, Perancis dan Afrika Selatan.

Bermula dari rumah, wanita cekal hati itu membuka gudang kecil sebagai pusat penyimpanan barang dan bagi memudahkan pelanggan untuk datang membeli dan melihat produk jualannya.

Kukuh nama Mamayayazone

Mamayayazone adalah salah satu syarikat peneraju dalam perniagaan online ketika itu.

Hari demi hari, perniagaan Mamayayazone semakin berkembang dan mendapat sambutan yang menggalakkan daripada pelanggan.

Daripada pendapatan RM80,000, jumlah itu semakin meningkat saban tahun sehinggalah enam angka.

Melihat potensi perniagaan yang semakin baik, Tatty membuka kedai Mamayayazone yang pertama di Bangi Gateway, Bandar Baru Bangi sejak September 2013.

Oleh yang demikian, adalah penting bagi Tatty untuk mengukuhkan kedudukan syarikat itu di pasaran tempatan.

Wanita berusia 41 tahun itu berharap perniagaannya itu semakin kukuh dalam tempoh lima tahun akan datang. Dan tahun ini adalah tahun untuk memastikan perniagaannya dapat berjalan dengan baik.

Mamayayazone adalah pengeluar pakaian kanak-kanak Muslim tradisional seperti baju Melayu, kebaya, baju kurung, jubah, kurta, tudung, kopiah dan sampin menerusi jenama Mamayaya Kids.

0 Komentar untuk " Tatty belajar daripada pengalaman "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ