Membentuk minda, sikap kelas pertama cintakan kebersihan - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Membentuk minda, sikap kelas pertama cintakan kebersihan

Pemandangan segelintir penduduk di beberapa pekan serta bandar Australia berkaki ayam ketika keluar dari kenderaan untuk ke pasar raya atau bersiar-siar setiap kali tiba musim panas bukanlah sesuatu yang unik atau pelik. Malah, mengikut rakan yang pernah berkunjung ke New Zealand, perkara sama turut dilakukan penduduk negara itu setiap kali tiba musim panas.

Tahap kebersihan yang tinggi di bandar serta pekan di negara maju itu menyebabkan penduduknya hilang rasa jijik untuk memijak laluan pejalan kaki, tanah, rumput atau jalan raya tanpa sebarang alas kaki.

Apabila bercakap mengenai kebersihan, perkara pokok yang perlu ditangani adalah sikap masyarakat itu sendiri terhadap pengurusan kebersihan. Tidak dinafikan ada negara maju yang mengambil masa ratusan tahun untuk menerapkan budaya mementingkan kebersihan dan alam sekitar dalam kalangan rakyatnya.

Bak kata pepatah, kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya. Begitu juga dengan sikap dan tabiat masyarakat negara ini.

Dalam usaha membentuk minda, sikap dan tabiat serta budaya penduduk negara ini menjadi masyarakat berminda kelas pertama yang bertanggungjawab, memiliki nilai etika, progresif dan kesedaran tinggi dalam kebersihan serta keindahan persekitaran dan kelestarian alam sekitar, Solid Waste Corporation (SWCorp) menyediakan Pelan Transformasi Minda (PTM).

Berbekalkan enam fasa iaitu kesedaran, pendidikan, amalan, penghayatan, pembudayaan dan penyebaran, SWCorp berharap dapat mewujudkan persekitaran bersih dan indah serta hijau dan masyarakat bangga serta mahu turut serta mengekalkan kebersihan dan keindahan alam sekitar.

Berbalik kepada jumlah sisa pepejal negara, ia meningkat kepada 33,000 tan sehari pada tahun 2013 berbanding hanya 19,000 tan sehari pada tahun 2005.

Bukan itu sahaja, kadar kitar semula nasional masih rendah iaitu 10.5 peratus berbanding negara maju yang sudah melebihi 40 peratus.

Lebih menyedihkan, kandungan sisa makanan dalam sisa pepejal yang dibuang juga adalah tinggi iaitu sebanyak 45 peratus atau 15,000 tan sehari. Daripada jumlah ini, sebanyak 60 peratus atau 8,000 tan sehari adalah pembaziran makanan yang boleh dikurangkan (bersamaan dengan sumber bekalan makanan untuk seramai enam juta orang).


Kesedaran masyarakatmenggunakan kemudahan tong kitar semula perlu ditingkatkan. - Gambar hiasan

Cabaran terap semangat cinta kebersihan, kurang bazir

Antara cabaran dihadapi dalam menerapkan semangat cintakan kebersihan dan mengurangkan pembaziran adalah kurang penekanan terhadap pendekatan mendidik dan membentuk masyarakat supaya menghargai dan bertanggungjawab terhadap kebersihan persekitaran dan pengurusan sisa pepejal yang sempurna.

Tahap kesedaran masyarakat yang rendah mengenai keperluan untuk mengamalkan 3R (kurangkan, guna semula dan kitar semula) berikutan kurang pengetahuan dan tidak menghargai nilai sisa pepejal terutama dalam situasi sekarang yang mana sumber asli semakin berkurangan turut memburukkan keadaan.

Bukan itu sahaja, semangat sukarelawan dalam kalangan masyarakat untuk sama-sama memastikan keadaan persekitaran sentiasa bersih dan indah juga masih belum memuaskan. Kebanjiran warga asing di negara ini yang mempunyai tabiat dan budaya mengenai kebersihan yang berbeza turut menyukarkan untuk memastikan tahap kebersihan yang mapan.

Sikap masyarakat menganggap tanggungjawab membersihkan persekitaran di atas bahu pihak berkuasa turut menambah masalah. Tanpa rasa bersalah sampah dibuang merata-rata kerana sentiasa berasakan ada pekerja pembersihan akan mengutip sampah mereka, dan ini benar-benar tidak membantu dalam meningkatkan kebersihan.

Selain itu, antara cabaran dikenal pasti adalah kekangan kewangan negara kerana kos penyediaan infrastruktur yang tinggi dan semakin meningkat. Kemudahan 3R masih lagi tidak mencukupi dan menyeluruh.

Tapak membina kemudahan juga terhad dan sukar diperoleh. Lebih membimbangkan, jangka hayat tapak pelupusan sisa pepejal sedia ada yang semakin berkurangan. Ini kerana, persepsi masyarakat yang tidak menerima kemudahan pelupusan dan pengolahan sisa pepejal yang dibina berhampiran dengan kawasan mereka yang kadang kala disebabkan kepentingan pihak tertentu.

Selain itu, negara turut berdepan kekurangan kepakaran dalam teknologi terkini pengurusan sisa pepejal, selain pengetahuan yang rendah mengenai kemudahan dan faedah pengolahan sisa pepejal yang terkini.

Bagi melaksanakan PTM ini, SWcorp menggunakan pendekatan strategik sebagai elemen penting untuk memastikan pelaksanaannya dapat dilakukan dengan berkesan dan memastikan hasil ditetapkan dapat direalisasikan.

Pendekatan itu dikenali sebagai C4E iaitu Communicate (komunikasi), Educate (mendidik), Engage (membabitkan), Empower (memberi tanggungjawab) dan Enforce (menguatkuasa) dan WHM iaitu Winning The Hearts And Minds (memenangi hati dan minda).

Komunikasi berkesan adalah pendekatan utama dan penting dalam pelaksanaan pelan transformasi ini. Kaedah yang digunakan bersesuaian dengan kumpulan sasaran serta jenis maklumat pendidikan yang ingin disampaikan.

Usaha mendidik masyarakat dalam menukar minda itu boleh dilaksanakan secara formal dan sebaliknya, untuk mengembangkan potensi serta membentuk kepelbagaian kefahaman, kemahiran dan amalan.

Pembabitan semua pihak bagi menjayakan program dirancang amat penting kerana penjagaan kebersihan persekitaran dan alam sekitar adalah tanggungjawab bersama.

Agensi kerajaan, swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta aktivis kebersihan dan alam sekitar perlu diajak bersama dalam menjayakan program untuk mendekati serta memenangi hati dan nurani masyarakat bagi mereka turut menyokong, membabitkan diri dan menjayakan program dan aktiviti yang dijalankan agensi berkenaan.

Melalui pendekatan ini, SWCorp berharap masyarakat dapat diberi tanggungjawab melaksanakan aktiviti yang sesuai mengikut keperluan komuniti seperti mengaturkan sendiri program gotong-royong, penyeliaan dan pemantauan tahap kebersihan, menguruskan pusat kitar semula dan pengkomposan.


Kanak-kanak TADIKA mewarna lukisan kitar semula sisa pepejal antara program mendidik generasi muda mengutamakan kebersihan. - Gambar hiasan

Penguatkuasaan tegas, adil

Penguatkuasaan adalah satu kaedah yang mampu memberikan kesan mendalam sekiranya ia dilaksanakan dengan tegas tetapi adil, telus dan berterusan.

Kaedah ini khususnya perlu untuk membendung segelintir golongan masyarakat yang masih degil, tidak berdisiplin dan tidak memberi kerjasama serta mementingkan diri yang mempunyai tabiat buruk dalam menjaga kebersihan persekitaran.

Menerusi WHM ini, masyarakat akan didampingi dengan cara yang lebih berkesan untuk mendapatkan sokongan, kerjasama dan penerimaan dalam menjayakan segala strategi dan program direncanakan.

SWCorp menggariskan pendekatan 3'O' iaitu Open Heart (berlapang hati) iaitu sentiasa membuka pintu hati untuk menerima secara ikhlas tanpa prejudis bagi mewujudkan suasana yang sentiasa harmoni dan saling hormat-menghormati.

Open Mind (minda terbuka) iaitu bersifat terbuka dan bersedia menerima pandangan daripada pihak luar dan dalaman yang boleh digunakan untuk memperbaiki kelemahan dan meningkatkan prestasi. Open Door (terbuka) iaitu sentiasa memberi akses kepada semua pihak dan peringkat melalui pelbagai saluran.

Masyarakat perlu melihat dengan mata hati dan menghargai keperluan penjagaan alam sekitar. Ini kerana, ia adalah anugerah dan amanah daripada Pencipta.

Menerapkan kefahaman dalam masyarakat bahawa pengurusan sisa pepejal dan kebersihan persekitaran adalah tanggungjawab bersama. Misalnya, dalam majlis atau acara, pihak penganjur boleh menyediakan tong sampah 3R dan mengingatkan masyarakat supaya tidak mencemarkan longkang.

Pengiktirafan dan penghargaan juga boleh diberikan kepada pihak yang mempelopori atau bertanggungjawab menjaga kebersihan dan pengurusan sisa pepejal.

Menggunakan pendekatan amalan agama bagi aspek kebersihan turut menjadi strategi dalam PTM ini. Dalam Islam sendiri, kebersihan itu adalah sebahagian iman. Justeru, sebagai penganut Islam, kita perlu mengutamakan kebersihan dan keindahan kerana ia disukai Allah.

Terap disiplin, patuhi peraturan

Strategi lain dalam PTM adalah menjadikan masyarakat yang berdisiplin dan mematuhi peraturan yang berkaitan alam sekitar dan kebersihan termasuk menerapkan pendidikan dan kesedaran kepada pemegang taruh (pemain industri pengurusan sisa pepejal dan NGO) mengenai peraturan dan penguatkuasaan yang berkaitan dengan pengurusan sisa pepejal dan kebersihan persekitaran.

Kita mahu melahirkan masyarakat yang mengutamakan keindahan dan kebersihan alam sekitar dengan mewujudkan persekitaran bersih dan indah. Kita mahu masyarakat menghargainya dan bangga serta ingin mengekalkan kebersihan, selain menerapkan sifat jijik terhadap kekotoran.

0 Komentar untuk " Membentuk minda, sikap kelas pertama cintakan kebersihan "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ