UDA: Bangun projek bernilai RM8 bilion - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

UDA: Bangun projek bernilai RM8 bilion

UDA Holdings Berhad (UDA), Eco World Development Group Berhad (EcoWorld) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memeterai perjanjian pelaburan bersama untuk pembangunan semula tapak bekas Penjara Pudu, Bukit Bintang City Centre (BBCC) dengan nilai pembangunan kasar RM8 bilion.

Pengerusinya, Datuk Johari Abdul Ghani berkata, projek tersebut akan dilaksanakan BBCC Development Sdn Bhd yang mana pemegang saham adalah UDA dan EcoWorld masing- masing adalah 40 peratus dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hanya 20 peratus.

Menurutnya, UDA menjangkakan projek pembangunan semula tapak bekas Penjara Pudu, Bukit Bintang City Centre (BBCC) akan mempunyai 50 peratus pembabitan kontraktor Melayu.

“Kontraktor Bumiputera berkelayakan akan terbabit dalam projek ini,” katanya pada sidang media selepas Majlis Memeterai Perjanjian bersama EcoWorld, KWSP, di Kuala Lumpur, semalam.

Turut hadir ialah Timbalan Pegawai Eksekutif Bahagian Pelaburan KWSP, Nasir Abd Latif, Pengarah Urusan Kumpulan UDA, Datuk Ahmad Abu Bakar, Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Shahril Ridza Ridzuan dan Pengarah EcoWorld, Tan Sri Liew Kee Sin.

Johari berkata,  BBCC menjadi pemangkin kepada transformasi kawasan Bukit Bintang memandangkan tapak pajakan berkeluasan 19.4 ekar tersebut terletak di lokasi strategik persimpangan Pudu dan Jalan Hang Tuah.

“Pembangunan semula BBCC akan mengubah kawasan tersebut menjadi kawasan pembangunan bercampur bagi kediaman dan komersil merangkumi pejabat strata, menara pejabat, hotel dan kediaman servis serta pusat gaya hidup yang menempatkan Grand Bazaar Malaysia, pusat membeli-belah, dan pusat hiburan,” katanya.

Tambahnya, pembangunan semula BBCC adalah sejajar dengan Program Transformasi Ekonomi Kerajaan (ETP) untuk terus membangunkan Greater Kuala Lumpur/Lembah Klang sebagai pemacu utama pertumbuhan ekonomi.

“Pelaburan strategik ini akan memastikan kejayaan ekonomi seterusnya merancakkan komersil kepada pembangunan semula ini dan menjadikannya sebagai satu projek ikonik yang dibanggakan semua rakyat Malaysia.

“UDA akan kekal sebagai pemilik tanah dan menyerahkan hak pembangunan kepada ‘special purpose vehicle’ BBCC Development Sdn Bhd. UDA berharap inisiatif ini menjadi sama seperti projek berprofil tinggi yang membawa jenama diyakini dengan keupayaan kewangan kukuh,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif EcoWorld, Datuk Chang Khim Wah berkata, cadangan awal telah diterima daripada beberapa peserta global yang berminat mengambil bahagian dalam pelbagai komponen projek penjanaan semula.

“Ini adalah satu permulaan yang menggalakkan selaras dengan wawasan untuk menjadikan BBCC sebagai hab membeli-belah dan hiburan di Kuala Lumpur yang mampu menarik minat perniagaan tempatan dan antarabangsa, pelawat, pelancong serta penduduk tempatan,” katanya.

Projek itu dijangka siap dalam tempoh lapan tahun.

0 Komentar untuk " UDA: Bangun projek bernilai RM8 bilion "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ