Angkasa yakin koperasi mampu jana KDNK RM50b - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Angkasa yakin koperasi mampu jana KDNK RM50b

ANGKATAN Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) yakin aktiviti koperasi di negara ini mampu menyumbang RM50 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), menjelang 2020.

Pengerusi Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa), Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, setakat ini sumbangan koperasi kepada KDNK negara berjumlah kira-kira RM35 bilion, namun dengan penglibatan koperasi dalam sektor ekonomi berimpak tinggi, ia dijangka dapat menaikkan tahap sosioekonomi dan  meningkatkan pendapatan anggotanya dalam tempoh lima tahun akan datang.

Beliau berkata bagi mencapai hasrat itu, penstukturan baharu telah dirangka berdasarkan keperluan, selaras dengan tujuh keberhasilan utama yang digariskan dalam dasar koperasi negara (KDN).

"Bermula tahun 2015 ini, kita akan menggerakkan koperasi supaya bergiat lebih aktif menyumbang kepada ekonomi negara menerusi tujuh keberhasilan utama iaitu perkhidmatan kewangan, pemborongan dan peruncitan, pelancongan, penjagaan diri dan kesihatan, pertanian dan industri asas tani, perladangan, telekomunikasi serta pembangunan hartanah.

"Justeru, seluruh petugas Angkasa, termasuk jawatankuasa perhubungan Angkasa negeri, akan mengembleng tenaga sepenuhnya bagi memastikan hasrat dasar koperasi negara tercapai," katanya kepada Bernama selepas merasmikan pembentangan laporan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) Angkasa, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Abdul Fattah berkata Angkasa juga akan memperkasa bidang koperasi melalui pelbagai penyelidikan dan kajian dalam aspek pembangunan  perniagaan.

Katanya bagi tujuan itu, beliau mengharapkan kerjasama kerajaan untuk memperuntukkan pemberian geran tahunan sebanyak RM10 juta.

"Kita mohon supaya kerajaan dapat memberikan bantuan berbentuk geran sebanyak RM10 juta bagi tujuan penyelidikan dan kajian dalam membangunkan satu-satu perniagaan.

"Menerusi bantuan ini juga, koperasi dapat meneroka bidang baharu yang berpotensi memberi pulangan baik dalam sektor ekonomi seperti bidang automatif dan sumber tenaga boleh baharu," katanya. - Bernama

0 Komentar untuk " Angkasa yakin koperasi mampu jana KDNK RM50b "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ