Serlah bakat terpendam penuntut - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Serlah bakat terpendam penuntut

LIPUTAN penuh ke Pameran Penilaian Akhir Sarjana dan Sarjana Muda, Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka (FSSR), Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, minggu lepas begitu mengujakan penulis.

Mana tidaknya, terdapat pelbagai karya seni dan produk unik telah dipamerkan di ruang legar auditorium utama berkenaan dan yang paling membanggakan, kesemua hasil karya dan reka bentuk produk itu adalah ciptaan penuntut FSSR dan bukannya ciptaan pereka yang sudah terkenal.

Pensyarah, Seni Reka Perindustrian, FSSR, Zakiyah Hassan, 31, berkata, kesemua produk direka siswa tahun akhir sebagai memenuhi projek akhir di bawah subjek masing-masing.

"Kita ada sembilan jabatan di FSSR. Ini bermakna, siswa tahun akhir di setiap jabatan akan terlibat untuk membuat produk. Sebagai pensyarah, tentunya saya berbangga kepada mereka terutamanya siswa jabatan Seni Reka Perindustrian yang telah bersungguh-sungguh menghasilkan karya seni dan produk sehinggakan mendapat pujian ramai pengunjung," katanya.

Produk unik

Penulis sempat menemubual tiga siswa yang berjaya menyerlahkan kreativiti melalui produk dihasilkan. Mereka ialah Badrol Hisyam Baharum, Siti Maisarah Kamarul Bahrain dan Nik Ahmad Syafiq Kamal. Masing-masing berusia 23 tahun.

Menurut Badrol Hisyam, siswa jabatan Seni Reka Perindustrian, dia menghasilkan produk Elatior iaitu outdoor seating yang cukup menarik. Bercita-cita mahu bergelar pereka terkenal kelak, Badrol Hisyam amat berharap Elatior tersebut mendapat tempat dalam mana-mana industri di negara ini.

Bagi Siti Maisarah pula, juga daripada jabatan sama, amat berharap agar dirinya mampu  menjadi seperti pereka kasut terkenal, Jimmy Choo.

"Dek minat mendalam terhadap figura tersohor itu, saya hasilkan kasut aerobik untuk wanita.

"Walaupun sekadar kasut, namun saya berdepan cabaran dalam menyiapkannya. Mujurlah ada pensyarah yang memberi tunjuk ajar dan sudi berkongsi idea," katanya.

Siswa jabatan Contemporary Metal Design, Nik Ahmad Syafiq berkata, sebanyak tiga produk yang dihasilkannya.

"A'Award Design Competion, Microscopic Element dan Culture Oriented Design adalah produk ciptaan saya. Setakat ini, sudah ada beberapa agensi yang berminat untuk pamerkan salah satunya ke negara luar. Gembira itu tentulah ada kerana produk dihasilkan mendapat perhatian ramai. Insya ALLAH, di masa akan datang, saya akan mencipta lebih banyak karya unik dan hebat," kata anak kelahiran Kelantan ini.

Kerjasama erat

Sembilan jabatan yang terlibat pada pameran penilaian akhir ini menampilkan tema berbeza. Bagi jabatan Seni Reka Perindustrian, tema yang ditampilkan adalah Pozes bermaksud menguasai dan menarik minat pengunjung terhadap produk yang dipamerkan.  

Ketua Projek merangkap Ketua Pelajar semester 6, Mohamad Afif Aiman Mohammad Yusoff, 23 berkata, seramai 84 siswa tahun akhir terlibat pada pameran berkenaan dan mereka ini terdiri daripada tiga pengkhususan, Seni Reka Perabot, Seni Reka Automotif dan Seni Reka Kasut dan Produk.

"Setiap siswa bertanggungjawab menghasilkan produk. Tempoh tertentu akan diberikan dan bila selesai, ia akan dipamerkan kepada orang ramai.

"Sekiranya produk siswa mendapat perhatian industri luar, ia merupakan bonus buat kami semua. Sekurang-kurangnya produk yang dihasilkan bukanlah calang-calang," ujarnya.

Beliau berkata, setiap siswa yang membuat produk, mendapat kerjasama dari pensyarah masing-masing. Mereka adalah Dr Azrull Ahmad, Prof Anuar Sirat, Norhan Dulkahar, Norhayati Che Daud, Fahmi Ahmad dan Dr Haszlin Shaharuddin.

Sementara itu, Afif Aiman berkata, jurusan Seni Reka Perindustrian bukanlah jurusan yang dianggap 'kampung' oleh sesetengah masyarakat.

Ini kerana siswa yang mengikuti jurusan berkenaan, pastinya akan mendapat peluang pekerjaan dalam bidang automotif atau bekerja sebagai interior design.

"Peluang pekerjaan terbuka luas buat graduan ini. Justeru, rebutlah peluang bila ada industri luar menawarkan pekerjaan. Anda layak untuk mencipta kejayaan seperti orang lain," katanya.

0 Komentar untuk " Serlah bakat terpendam penuntut "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ