Rendah diri, ikhlas dalam memimpin - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Rendah diri, ikhlas dalam memimpin

JEJAKA kelahiran Besut, Terengganu ini baru sahaja dilantik sebagai Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) akhir Disember lalu.

Bagai pucuk dicita ulam mendatang, jejaka yang dikenali sebagai Mohd Khairul Nizam Suhaimin itu menerima lantikan tersebut dengan hati terbuka walaupun dalam diri, masih ada perasaan terkejut kerana tidak pernah terfikir untuk memegang jawatan tertinggi berkenaan.

"Terasa bagaikan mimpi pula. Namun, bila melihatkan kemenangan majoriti dengan undian yang tertinggi, itu maknanya siswa siswi percayakan saya. Amanah itu ALLAH SWT sediakan kepada saya untuk dipikul. Berat tapi bersedia," katanya yang menjadikan Nabi Muhammad SAW sebagai idola.

Sebagai permulaan menjawat jawatan YDP UTeM, Khairul Nizam berkata, dirinya memperkenalkan konsep MPP mesra siswa dan pengukuhan ukhuwah antara MPP sendiri serta ke arah pembangunan siswa UTeM.

"Saya yakin semua ini dapat dilakukan jika kita bersatu. Memang besar harapan saya agar semua warga UTeM dapat memberi kerjasama dan membantu kami di barisan MPP untuk melaksanakan segala perjuangan," katanya sambil menambah untuk menjadi YDP yang berkaliber, sifat rendah diri dan keikhlasan dalam memimpin perlu ada kerana sifat itulah yang akan membuatkan kita didekati dan dihormati.

Ditanya tentang perancangan, katanya, ada beberapa perkara yang akan dilakukan dalam masa terdekat.

"Proses pertama adalah memantapkan organisasi MPP itu sendiri, diikuti mendekatkan diri bersama penuntut dan menyusun segala perancangan dalam tempoh setahun dengan sebaiknya serta membangunkan sahsiah dan kepimpinan siswa siswi UTeM sepanjang kami memegang tampuk kepimpinan MPP," katanya yang amat berharap organisasi yang hebat lahir dari ukhuwah dan kerjasama yang kukuh. Semoga prinsip MPP as a our family mampu menjadikan organisasi MPP kali ini dapat melaksanakan tugasan yang baik dalam menjaga kebajikan siswa siswi UTeM.

Aktif bersukan

Anak kepada Suhaimin Yasin dan Hayati Mohd Nor ini memang minat bersukan. Sebut sahaja sukan jenis apa, kelibat Khairul Nizam pasti ada.

Menurut jejaka berusia 22 tahun ini, sukan bola tampar adalah sukan yang paling aktif disertainya dan beliau tiada masalah untuk membahagikan masa antara belajar dan aktiviti lain.

"Sebenarnya, sebelum menjadi YDP lagi saya sudah aktif dengan sukan dan kegiatan berpersatuan. Saya kira pembahagian masa antara akademik dan kokurikulum perlu dibuat secara bijak dengan mewujudkan jadual waktu yang seimbang dan peranan rakan sekuliah dalam membantu urusan pembelajaran andai tertinggal kuliah.

"Setakat ini, tiada lagi masalah yang dihadapi. Semuanya berjalan lancar dan saya berharap agar kejayaan terus mengiringi saya," jelas beliau.

Mengenai keaktifan beliau dalam sukan, Khairul Nizam berpandangan, bersukan mempunyai banyak manfaat dan turut mempunyai sedikit hubungan dengan MPP antaranya sebagai inisiatif menghilangkan tekanan dan paling penting bersukan merupakan salah satu agen perpaduan dalam membentuk hubungan penuntut dengan MPP itu sendiri.

Mengakhiri temu bual bersama wartawan Kampus, Khairul Nizam amat berharap hubungan akrab sesama YDP di semua institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dapat diwujudkan kerana banyak lontaran idea boleh dikongsi dalam memantapkan organisasi masing-masing.

"Memandangkan baru dilantik, jadi kami (barisan YDP seluruh IPTA) masih dalam proses perkenalan. Walau bagaimanapun, kami ada mengambil inisiatif mewujudkan WhatsApp group YDP MPP IPTA untuk berkenalan serta membincangkan isu-isu nasional mahupun pendapat mengenai isu-isu kampus," katanya.

0 Komentar untuk " Rendah diri, ikhlas dalam memimpin "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ