Mesej dari langit - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Mesej dari langit

AKHIR Disember 2014, Malaysia terutamanya negeri sekitar Pantai Timur, sebahagian Perak, Kedah dan Johor dinaiki air secara mendadak dalam tempoh yang singkat. Tidak sampai dua jam air melimpah sehingga ke paras bahaya.

Berdasarkan laporan media, Kelantan pernah menghadapi banjir sekitar tahun 1967, banjir berkenaan banyak mengorbankan nyawa, namun bah pada kali ini agak berlainan daripada sebelumnya. Airnya berselut diibaratkan seperti 'teh tarik', berkelodak dan pastinya saat untuk membersihkan selut tebal itu memerlukan bekalan air serta tenaga yang banyak.

Minggu ini, Rehal mengisahkan perihal banjir yang hangat diperkatakan.

Alhamdulillah, isu ini seakan merapatkan jurang dalam kalangan umat Islam dan bukan Islam. Ramai sukarelawan tampil membantu dari segenap pelosok tanah air sehingga ke peringkat antarabangsa.

Inzar untuk manusia Kejadian bah besar atau banjir yang berlaku ini boleh diistilahkan sebagai suatu bencana alam yang mana ia terjadi melalui sunnatullah.

Pendakwah, Ustaz Syed Mohd Norzakiruddin Syed Ahmad Shahabudin menjelaskan, sunnatullah di sini bermaksud peraturan atau syariat ALLAH SWT yang berlaku di bumi tempat tinggal sementara, contoh seorang petani hendak bercucuk tanam, bagi mendapatkan hasil yang lumayan, petani tersebut hendaklah mengikut peraturan, bermula daripada membaja, menjaga, menuai dan sebagainya hinggalah tanaman tersebut tumbuh subur.

"Apabila membicarakan perihal setiap musibah, ia tidak dapat lari daripada sunnatullah yang ALLAH tentukan, ia tidak akan sesekali melangkaui pemikiran manusia.

Hayatilah firman ALLAH yang bermaksud: "Kerana kesombongan mereka di bumi dan kerana rencana (mereka) yang jahat. Rencana yang jahat itu hanya menimpa orang yang merencanakannya sendiri. Mereka hanya menunggu (berlakunya) ketentuan
kepada orang-orang yang terdahulu.

Maka kamu tidak akan mendapat perubahan bagi ALLAH, dan tidak (pula) akan menemui penyimpangan bagi ketentuan ALLAH itu." (Surah Fathir: 43)

"Banjir yang menimpa di negerinegeri sekitar Pantai Timur baru-baru ini, menunjukkan kekuasaan ALLAH dan juga sebagai inzar (peringatan) kepada manusia itu sendiri," ulasnya.

Menurutnya, ia juga seakan teguran kasih sayang terhadap hamba-Nya yang beriman. Peri pentingnya kita melihat kesemua musibah yang ALLAH berikan itu mempunyai hikmah tersendiri, terpulang kepada manusia yang diberi akal untuk menilai sama ada ia ujian atau satu hukuman daripada al-Khaliq.

ALLAH merakamkan setiap beban atau ujian yang ditimpakan sesuai dengan kemampuan makhlukNya: "ALLAH tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kemampuannya. Dia mendapat pahala daripada kebaikan yang dilakukannya
dan dia mendapat daripada kejahatan yang di lakukannya." (Surah Al-Baqarah:286)

0 Komentar untuk " Mesej dari langit "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ