Kaji cadangan hukuman rotan - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Kaji cadangan hukuman rotan

SEBELUM membincangkan secara terperinci perihal isu kontroversi apabila Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mengumumkan rotan anak bakal menjadi kesalahan jenayah, ingin saya tegaskan terlebih dahulu agama Islam yang sempurna ini terlebih dahulu mengharamkan perbuatan merotan anak.

Atas apa jua alasannya, seorang ibu atau bapa tidak dibenarkan menjatuhkan hukuman rotan kepada anak-anak mereka.

Pukul ketika umur 10 tahun

Menurut Islam, anak hanya boleh mula dipukul ketika dia berusia 10 tahun kerana meninggalkan solat. Ini adalah berdasarkan hadis sahih daripada Amru bin Syu’aib, daripada bapanya, daripada datuknya, Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: "Perintahlah anak-anakmu mendirikan solat ketika mereka berumur tujuh tahun dan pukullah mereka jika meninggalkannya ketika berumur sepuluh tahun, serta pisahkan tempat tidur mereka." (Riwayat Abu Daud)

Jadi, sebelum anak kecil itu menginjak umur 10 tahun, tidak boleh memberikan hukuman pukulan kepada anak tersebut. Secara psikologinya, anak yang berusia bawah daripada 10 tahun itu belum mampu untuk mengerti dan memahami sebab dia dipukul dan ini  membawa kepada kebarangkalian dia memberontak, dan tumbuh rasa dendam dalam dirinya, kerana dirinya sendiri tidak mampu untuk memikirkan mengapa dia dipukul.

Kerana itu Nabi Muhammad SAW melarang untuk memukul anak kecil ini sebelum mereka berumur 10 tahun. Ya benar, solat adalah perintah dan kewajipan yang agung buat setiap Muslim, sehinggakan perkara yang membezakan seorang Muslim dan seorang yang kufur adalah solat. Sabda Nabi SAW: "Di antara seorang hamba itu dan kekufuran adalah meninggalkan solat." (Riwayat At-Tirmidzi)

Hadis ini menunjukkan betapa pentingnya solat. Ia membezakan seorang beriman dengan seorang kafir dan melakukan kesyirikan, antara seorang yang diberikan kelebihan memasuki ke syurga dan seorang yang kekal berada dalam neraka di akhirat.

Namun begitu, agama Islam tetap sebuah agama yang realistik dan sesuai sepanjang zaman dan tamadun masyarakat manusia.

Hadis pertama diriwayatkan Imam Abu Daud mengajak kita untuk memerintahkan anak kecil yang belum mencapai umur 10 tahun untuk solat. Ajak mereka bersolat dengan lembut dan berhikmah serta tutur kata yang baik.

Nabi Musa AS diperintahkan ALLAH SWT untuk bercakap dengan kata-kata yang lembut dalam menasihati Firaun supaya beriman kepada ALLAH, Tuhan Pencipta Alam, walhal umum mengetahui Firaun adalah seburuk makhluk dan zalim.

Apa lagi anak kecil yang belum lagi berdaya fikir yang baik, suruh sahaja mereka solat Subuh pada pukul 10 pagi itu tidak menjadi satu masalah besar. Perlu kita ketahui ialah masa terbaik sebagai ibu bapa melatih mereka mendirikan solat. Janganlah kita terburu-buru memberikan hukuman, Nabi Muhammad SAW sendiri tidak membenarkan kita memberi hukuman kepada anak kecil yang tidak bersalah ini, biarkan mereka.

Utamakan solat

Islam, agama komprehensif meletakkan garis panduan yang sempurna dalam pendidikan anak. Apabila si anak berusia 10 tahun barulah Islam membenarkan dipukul. Sebelum berumur 10 tahun, untuk solat sahaja sudah dilarang diberikan hukuman dalam bentuk pukulan, apatah lagi dalam urusan lainnya.

Tanpa kita sedari, kita juga mengakui tidak ada urusan yang lebih utama dan lebih penting berbanding mengerjakan solat, kerana solat itu sendiri tiang agama, yang menjadi asas tertegaknya agama seseorang. Sabda Nabi Muhammad SAW: "Islam dibangunkan atas lima perkara; Beriman kepada ALLAH dan Rasul-Nya, solat lima waktu, puasa bulan Ramadan, mengerjakan zakat dan haji di Baitullah." (Riwayat Bukhari)

Apakah di sana sepatutnya ada hukuman yang lebih besar berbanding hukuman untuk orang meninggalkan solat? Bahkan jika anak itu meninggalkan solat ketika belum berusia 10 tahun, dia masih tidak boleh dikenakan hukuman dengan pukulan.
Adakah tidak menyiapkan kerja sekolah lebih berat dosanya di sisi ALLAH? Adakah ia lebih bermasalah berbanding meninggalkan solat?

Demi ALLAH, kita semua menyetujui solat adalah perkara lebih utama dan penting berbanding seluruh urusan dunia. Jika seseorang anak itu tidak mendengarkan kata ibu bapanya, jangan memukulnya, sebaliknya beri hukuman selain daripada bentuk pukulan.

Tidak lebih 10 kali pukul

Walaupun kita dibenarkan untuk memukul anak ketika berusia 10 tahun, Islam meletakkan garis panduan pukulan itu tidak meninggalkan kesan, kita tidak boleh memukulnya lebih daripada 10 kali berturut-turut. Pukulan yang lebih itu adalah pukulan yang menurut hawa nafsu dan bisikan syaitan tidak dibenarkan menurut syarak.

Daripada Abi Burdah RA, Nabi Muhammad SAW bersabda: "Tidak boleh memukul lebih daripada 10 kali kecuali pada hukuman had yang ditetapkan ALLAH." (Riwayat Bukhari)

Jadi, tidak boleh seseorang mengenakan hukuman dalam bentuk pukulan lebih daripada 10 kali selain daripada hukum hudud seperti peminum arak, itu sahaja dibenarkan melebihi 10 kali seperti digariskan dalam syarak. Selain hukum hudud, maksima hanyalah 10 kali pukulan.

Dan 10 kali pukulan ini adalah untuk orang yang mukalaf, iaitu orang yang mencapai usia dewasa dan mempunyai akal (akil baligh) serta telah sampai seruan agama kepadanya.

Dahulu khalifah Umar bin Abdul Aziz mengutus surat kepada setiap ketua wilayah dan daerah, seorang guru tidak boleh memukul melebihi tiga kali, kerana ia meninggalkan kesan fobia dan ketakutan pada kanak-kanak.

Pukul anak guna alatan

Pukulan yang dibenarkan seperti memukul isteri adalah pukulan yang tidak menyakitkan dan tidak memakai alat. Contohnya, ditusuk dadanya dengan jari bukan dengan penyapu, bukan pula dengan rotan atau ditepuk pahanya.

Itu hukuman untuk seorang isteri mukalaf yang dewasa apabila melanggar perintah suami yang tidak bercanggah dengan syariat. Apatah lagi untuk anak kecil, sebahagian ibu bapa ada yang menampar, menendang dan menyepak anak mereka, hal ini bertentangan dengan nilai Islam.

Anaknya nakal? Sebenarnya bukan anaknya itu yang nakal, sebaliknya orang tuanya yang lalai, itu sahaja puncanya. Janganlah anak itu dijadikan kambing hitam, menjadi tempat melepaskan geram sehingga anak-anak sering disalahkan dalam setiap urusan, ibu bapanya tidak pula disalahkan. Kadang-kadang ibu bapanya yang tidak mampu mengawal emosi dengan baik, akhirnya si anak yang dihukum.

Islam membenarkan ibu bapa  memukul anak, ia bukanlah pukulan dengan alat seperti tongkat, penyapu, rotan dan sebagainya hingga berbirat-birat meninggalkan kesan, itu bukan pendidikan Islam. Daripada Jabir RA, Nabi Muhammad SAW bersabda mengenai pukulan yang dibenarkan terhadap isteri: Maksudnya: "Dan pukullah mereka dengan pukulan yang tidak melukai." (Riwayat Muslim)

Carilah satu riwayat daripada Nabi Muhammad SAW dan sahabat RA perihal mereka memukul anak sehingga menakutkan seperti itu, anda tidak akan menjumpainya. Nabi Muhammad SAW penuh kelembutan dan kasih sayang kepada anak. Anak jika dilayan secara lembut, pasti membalasnya dengan perlakuan yang lembut.

Sebaliknya jika dilayan secara kasar, akan membalas perlakuannya dengan kasar. Jika kita menzalimi mereka, mereka akan berdendam, itulah fitrah anak kecil ini. Orang dewasa sendiri tidak mahu jika dilayan sebegitu, apatah lagi anak-anak, mereka juga manusia dan mereka belum lagi dapat berfikir dengan baik seperti orang dewasa.

Rotan kesalahan jenayah

Secara peribadi saya menganggap perubahan ini adalah satu langkah yang baik dalam pendidikan anak, dan menyokong penuh usaha ini, tetapi ia perlulah dikaji secara teliti mengenai kadar rotan yang bagaimana akan dikira sebagai kesalahan jenayah.

Jika ia dimaksudkan adalah pukulan sehingga meninggalkan kesan pada wajah atau tubuh badan anak, maka itulah tuntutan Islam untuk melarang pukulan sebegini.

Setelah saya meneliti beberapa sumber berita, saya juga mendapati Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim, mengatakan ia adalah sebahagian budaya Malaysia untuk memukul secara ringan kanak-kanak untuk mengajar.

Beliau juga mengatakan akta baru yang diperkenalkan kelak tidak mematuhi tuntutan Konvensyen Mengenai Hak Kanak-kanak (CRC) sepenuhnya apabila ditanya secara spesifik jika akta tersebut menghalang ibu bapa daripada memukul secara ringan kepada kanak-kanak.

Artikel 19 CRC tidak menyebut secara terus mengenai tidak dibenarkan memukul kanak-kanak secara ringan, namun hanya menggariskan keganasan fizikal dan mental, kecederaan atau penderaan, pengabaian atau diabaikan penjagaan, salah jagaan dan juga eksploitasi seperti penderaan seksual.

0 Komentar untuk " Kaji cadangan hukuman rotan "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ