Menumpang kasih di Teratak Ummi - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Menumpang kasih di Teratak Ummi

KETIKA banyak mata yang melihat dengan pandangan negatif atas kesalahan yang pernah dilakukan segelintir remaja wanita yang terlanjur sehingga mengandung, beliau pula mengambil pendekatan berbeza untuk membantu golongan ini.

Umpama "tangan yang menarik ketika terjatuh" serta "bahu untuk menumpang bersandar dan menangis", Ummu Khadijah Nasohah menerima golongan ini dengan penuh kasih sayang di Teratak Tautan Kasih miliknya di AU5, Keramat, Kuala Lumpur.‎

Sejak dibuka pada 2009, seramai 72 ibu muda melahirkan anak masing-masing di teratak ini dengan kelahiran pertama pada awal 2010.

Meskipun banyak pihak yang kurang bersetuju dengan tindakan beliau malah turut dituduh menggalakkan lebih ramai lagi remaja wanita membuat maksiat, ia langsung tidak mematahkan semangat dan usahanya untuk membantu.

Sebaliknya tetap yakin sedikit kebajikan yang dilakukan itu mampu menjadikan remaja tersebut kembali ke pangkal jalan dan tidak mengulangi kesilapan berkenaan.

Niat membantu
 
Berbeza dengan rumah perlindungan yang mengendalikan masalah remaja yang serupa, Ummu Khadijah yang mesra dipanggil Ummi berkata, teratak itu adalah rumah untuk remaja wanita tersebut menumpang kasih sayang dan berteduh.

Mereka boleh datang pada bila-bila masa untuk berehat, bercerita atau meluahkan masalah yang dihadapi tetapi hanya boleh tinggal di teratak ini secara sepenuh masa ketika kandungan sudah mencecah lapan bulan.

"Ia bukan asrama yang penuh disiplin, sebaliknya hanya tempat mereka berteduh dan berkongsi kasih sayang kerana kebanyakan mereka datang ke sini secara sukarela dan keluarga tidak mengetahui masalah yang sedang ditanggung," katanya kepada Bernama.

Teratak itu pada awalnya hanya untuk membantu wanita yang baharu tiba ke Kuala Lumpur yang tidak mempunyai tempat tinggal untuk berlindung.

Namun kedatangan seorang ibu yang membawa anak perempuannya yang sarat mengandung untuk ditumpangkan di rumahnya membuka episod baharu buat ibu kepada lapan orang anak ini.

Ummi yang dilahirkan dalam keluarga yang berpegang teguh kepada agama, diasuh sentiasa membuat kebajikan dan kebaikan kepada orang di sekeliling tidak mampu menolak permintaan ibu berkenaan ketika itu.

"Semua orang ada membuat salah dan dosa, cuma kesilapan yang dilakukan oleh remaja ini nampak di mata kita. Jadi masyarakat mengata bermacam-macam yang akhirnya menjadi hukuman kepada mereka.

"Hakikatnya golongan remaja ini juga mangsa penganiayaan. Walaupun mungkin melakukan suka sama suka, tapi akhirnya dia yang menanggung sendirian.

Ditinggalkan teman lelaki, mungkin keluarga juga membuang mereka. Jika ummi tidak bantu, mungkin akan bertambah kes bayi yang dibuang di tong sampah, ditinggalkan di hadapan masjid dan tepi jalan," katanya.

Pada awalnya beliau mengakui agak buntu untuk membantu kerana tidak mempunyai pengalaman mengendalikan kes remaja mengandung. Namun bantuan daripada doktor di sebuah hospital swasta yang turut sama-sama ingin membantu kes-kes seperti ini memudahkan beliau mengendalikan para remaja yang datang ke teratak ini.
   
Konsep yang berbeza
 
Walaupun kebanyakan yang datang ke Teratak Tautan Kasih secara sukarela, namun ada remaja yang dihantar oleh ibu bapa mereka terutama yang bawah umur.

Paling muda yang pernah diterima berusia 15 tahun manakala hampir 80 peratus yang datang adalah mereka yang masih bergelar pelajar di peringkat pengajian tinggi awam dan swasta yang berumur antara 18 hingga awal 20-an.

Bagi pelajar bawah umur yang dihantar oleh ibu bapa, kebanyakannya tinggal di teratak ini ketika kandungan masih peringkat awal atas permintaan keluarga berkenaan.

"Kita harus bantu menutup aib mereka kerana masa hadapan remaja dan bayi itu masih jauh.

"Ummi tidak buat sebarang kontrak untuk mereka yang berlindung di sini.

Mereka bebas jalani rutin harian seperti biasa... jika pelajar mereka boleh pergi universiti, kolej atau yang bekerja boleh bekerja seperti biasa. Cuma yang Ummi minta, jaga perut," katanya.

Menurut Ummi, dalam setiap sesi, teratak ini hanya menerima tidak lebih lima remaja sahaja bagi memastikan kesemua dapat diberi perhatian, kasih sayang dan bimbingan dengan sempurna.

Namun, syarat utama yang ditetapkan kepada mereka sebelum memasuki teratak ialah kandungan mesti yang pertama.

Sekiranya ada yang menipu, akan terus dikeluarkan dalam tempoh 24 jam.

"Ummi terpaksa tegas dalam hal ini... kerana tujuan teratak ini ialah untuk sama-sama berkongsi kasih sayang dan hanya menerima mereka yang benar-benar ingin berubah," katanya yang menekankan aspek keagamaan dalam memenuhi jiwa mereka yang datang di sini.

Selain nasihat dan bimbingan, perkara utama yang wajib dilakukan ialah solat lima waktu dan membaca Al-Quran dari juzuk pertama sehingga khatam serta menghafal surah-surah penting seperti Surah Yusof dan Luqman.

Membina masa hadapan
 
Menurut Ummi, kesemua yang datang ke teratak ini mempunyai kisahnya tersendiri dan mereka berusaha mencari kekuatan bagi meneruskan kehidupan.

Kebanyakan mereka tidak mahu menjaga bayi yang dilahirkan dan ingin melupakan apa yang berlaku di dalam hidupnya.

Kerana itu, pihak hospital yang bekerjsama dengan Teratak Tautan Kasih akan mencarikan ibu angkat kepada bayi sebaik remaja itu mendaftar di sini.

Setiap keluarga angkat yang ingin mengambil bayi itu pula harus melalui saringan yang ketat oleh pihak hospital bagi memastikan kebajikan bayi dan remaja itu.

Antara syaratnya, pihak keluarga angkat akan menanggung segala perbelanjaan rawatan dan hospital ibu dan bayi dari awal dan keutamaan diberikan kepada pasangan yang lebih lima tahun tidak mempunyai anak.

Bagi memastikan kebajikan bayi itu terjamin, pendapatan suami isteri harus melebihi RM10,000 sebulan serta menjalani saringan darah dengan memberi keutamaan kumpulan darah yang sama dengan ibu bayi berkenaan.

"Kalau boleh, biarlah wajah ibu angkat itu hampir sama dengan ibu yang melahirkan bayi itu. Ini bagi mengelakkan konflik dan kekeliruan kepada bayi itu apabila besar nanti," katanya yang turut menggalakkan ibu angkat mengambil pil susu badan agar dapat menjadi ibu susuan.

Ini penting dalam membina hubungan lebih erat antara ibu angkat dan bayi serta menjadikan hubungan yang positif terutama dari segi aurat dalam keluarga berkenaan.

"Kami beri jaminan ibu-ibu bayi tersebut tidak akan mengganggu kehidupan keluarga angkat kerana ibu sebenar bayi juga tidak mahu diganggu dengan kisah silam mereka," katanya yang berharap masyarakat lebih terbuka menangani masalah remaja seperti ini.

Walaupun remaja itu sudah membawa haluan masing-masing, namun hubungan baik antara mereka masih diteruskan.

Mereka masih menghubungi Ummi untuk mendapatkan nasihat dan bimbingan. tiada apa yang Ummi harapkan melainkan sentiasa mendoakan mereka belajar daripada kesilapan dan tidak mengulanginya lagi, ujar Ummu Khadijah dengan penuh harapan. - Bernama

0 Komentar untuk " Menumpang kasih di Teratak Ummi "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ