Hilangnya suara emas dunia penyiaran sukan - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Hilangnya suara emas dunia penyiaran sukan

INDUSTRI sukan negara pastinya akan 'merindui' suara emas Allahyarham Datuk Hasbullah Awang ketika siaran langsung perlawanan bola sepak atau mana-mana temasya sukan antarabangsa selepas ini.

Allahyarham yang menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) sejak 4 Febuari lepas, menghembuskan nafas terakhirnya ketika dalam rawatan pada pukul 12.20  tengah hari tadi.

Semasa hayatnya, Allahyarham yang berasal dari Teluk Intan, Perak, memulakan kerjayanya dalam bidang penyiaran sebagai Pembantu Siaran Tingkat 4 di Radio Televisyen Malaysia (RTM) Kuantan pada 1974 dan berpindah ke Angkasapuri pada 1980.

Beliau pernah digandingkan bersama Tengku Mariam Tengku Laksamana Nasir atau dikenali sebagai Kak Yong mengacarakan rancangan radio untuk kanak-kanak  yang popular, 'Permintaan Apa itu' sekitar tahun 70-an dan 80-an.

Selepas 18 tahun berkhidmat dengan RTM, beliau memilih untuk bersara awal dan beralih angin ke stesen swasta, TV3, pada 1992.

Namun jodohnya bersama RTM kembali bertaut apabila beliau kembali berkhidmat sebagai penyampai dan pengacara sambilan pada 1994.

Dalam dunia penyiaran sukan, Allahyarham telah terbabit sejak 1980 dan sudah banyak mengulas temasya sukan besar seperti Sukan Olimpik, Sukan Asia, Sukan Komanwel dan Sukan SEA.

Antara liputan temasya Sukan Olimpik yang pernah beliau ditugaskan sebagai perantara ialah di Seoul (1988), Barcelona (1992), Atlanta (1996), Sydney (2000), Athens (2004), Beijing (2008) dan London (2012).

Kepetahan dan pengalaman luas Allahyarham dalam bidang penyiaran sukan membolehkannya dipilih sebagai penerima Anugerah Penyiar Serba Boleh pada 1988.

Allahyarham juga berjaya memenangi Pengulas TV Terbaik Anugerah Sri Angkasa pada tahun 1989, 1991 dan 2004.

Pada 24 Oktober 2010, Allahyarham menerima anugerah Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP), yang membawa gelaran Datuk, sempena ulang tahun ke-80  Hari Keputeraan Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah.

Selain itu beliau turut dianugerahkan pingat Ahli Mahkota Perak (AMP), Ahli Mahkota Pahang (AMP) dan Pingat Pangkuan Negara (PPN). - Bernama

0 Komentar untuk " Hilangnya suara emas dunia penyiaran sukan "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ