Generasi baru Wataniah UMT - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Generasi baru Wataniah UMT

PASUKAN Askar Wataniah (PAW) Universiti Malaysia Terengganu (UMT) ditubuhkan pada 2005 dengan kekuatan awal 30 orang. Memasuki 2015, kini PAW UMT mempunyai 220 anggota dan enam pegawai universiti yang dilantik khas oleh Naib Canselor.

Berbeza dengan Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes), anggota Wataniah UMT tidak ditauliahkan sebagai Pegawai Muda, sebaliknya hanya akan tamat pengajian dengan Perajurit Muda atau Lain-Lain Pangkat (LLP) dalam perkhidmatan Pasukan Wataniah.

PAW UMT mempunyai program wajibnya yang tersendiri iaitu Kursus Pra-Perajurit Muda. Kursus ini adalah persiapan dan pengenalan kepada Kursus Perajurit Muda yang wajib dihadiri oleh semua anggota baru Wataniah di Malaysia.

Kursus ini juga diwajibkan kepada penuntut baharu yang menyertai Wataniah. Selepas selesai pengambilan nombor badan anggota Wataniah di Bahagian Pegawai Simpanan (Wataniah) di Mindef, pengurusan universiti akan mengadakan kursus pra ini untuk memperkenalkan apa itu Wataniah dan ilmu ketenteraan yang sebenar.

Kebiasaannya kursus ini dilaksanakan di luar kampus dan mengambil masa tiga hingga empat hari. Misalnya, Kursus Asas Pra- Perajurit Muda Wataniah UMT di adakan pada 24 - 27 April 2014 di Taman Negara Kuala Koh, Gua Musang. Kursus  bertemakan Ex-Jungle Worrior dan diketuai Leftenan M Dr Wan Ahmad Amir Zal Wan Ismail.

Selari dengan teras keempat universiti dan pemindahan ilmu, program ini dikendalikan oleh jurulatih askar tetap dari Rejimen 512 AW, Kem Padang Midin. Mereka dibantu anggota senior dan intermediate sebagai fasilitator, latihan dapat dijalankan lebih tersusun.

Cipta kejayaan

Keunggulan penuntut yang menyertai Wataniah ini dapat dilihat melalui pelaksanaan Karnival Ekpresi Unggul 2014, anjuran Pusat Pendidikan Asas dan Liberal.

Dalam karnival ini, PAW UMT diberi tugas untuk menganjurkan satu pertandingan yang melibatkan semua badan beruniform lain, iaitu Palapes Laut, Kor Sukarelawan Polis (Suksis), Sukarelawan Jabatan Pertahanan Awam (Sispa) dan Kadet Nautika.

Dengan panduan dan tunjuk ajar jurulatih, Koperal (B) Zulkaman Othman dan Koperal Nor Asma Fadila Mansor serta menggunakan peralatan sedia ada dan kreativiti anggota, mereka juga berjaya menganjurkan pertandingan Mini Eco-Challenge dengan mencipta sendiri model peralatan seperti tangga kambing, gantungan monyet (monkeyrap), susur merangkak dawai, lompatan dua meter kolam dan mengusung bot UMT sebagai salah satu disiplin pertandingan.

Kejayaan menganjurkan pertandingan ini membuktikan bahawa mereka mengaplikasikan apa yang dipelajari dalam kokurikulum ketenteraan di dalam kampus mahupun semasa di latihan medan di bawah Rejimen 512 AW.

Ternyata kekentalan dan semangat PAW UMT masih utuh apabila mereka adalah johan pertandingan kawad bagi empat tahun berturut-turut. Setiap tahun, UMT akan menganjurkan karnival kokurikulum yang mempertandingkan kawad kaki dan beberapa acara lain untuk siswa baharu.

Aktiviti-aktiviti PAW UMT diselaraskan oleh pengurusan tertinggi pasukan yang diketuai Mejar (K) Badruhisham Darus, Ketua Bahagian Kebudayaan dan Kesenian UMT yang dilantik sebagai Timbalan Komander PAW UMT.

Walaupun hanya mempunyai seorang pegawai wanita iaitu Leftenan Mejar Siti Noriam Yaakob, Ketua Bahagian Sukan dan Rekreasi yang memegang jawatan sebagai Ajutan, pasukan ini terus aktif dalam pelbagai aktiviti, sama ada di peringkat universiti mahupun peringkat rejimen.

Pasukan ini juga terkenal di peringkat Jawatankuasa Pendokong Askar Wataniah Terenganu (JAKPAW) dengan persembahan tarian perang semasa program National Blue Oceon Stretegies (NBOS) ATM-PDRM peringkat negeri Terengganu.

Selama seminggu anggota PAW UMT mengadakan persembahan di khalayak ramai di Batu Buruk, Kuala Terengganu dan mendapat pujian pelbagai peringkat umur serta menarik minat orang ramai untuk menyertai pasukan Wataniah.

PAW UMT yang dipimpin oleh Nur Iziati Ab Aziz sebagai Yang Dipertua, juga penuntut yang berpengalaman lebih empat tahun sejak 2009 semasa mengikuti Diploma Perikanan di UMT.

Beliau merupakan penggerak kepada semua aktiviti dan membantu menguruskan tiga peringkat di bawah pentadbirannya. Beliau menerima anugerah sebagai Kepimpinan Terbaik 2014 semasa majlis Anugerah Kecemerlangan Askar Wataniah UMT 2014.

Semoga pasukan Wataniah UMT akan terus gemilang dan mencapai hasratnya untuk dinobatkan sebagai Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Darat) dan terus memberi sumbangan kepada agama, bangsa dan negara.

0 Komentar untuk " Generasi baru Wataniah UMT "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ