Peraturan penting untuk kecemerlangan - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Peraturan penting untuk kecemerlangan

TIDAK semua individu bersikap patuh arahan, namun boleh dikatakan semua kawasan menggariskan peraturan tertentu demi keselamatan mahupun kesejahteraan.

Bermula di rumah, kita dididik untuk mematuhi peraturan selagi ia tidak mendatangkan kemudaratan.

Menginjak dewasa, kita masih dibayangi peraturan yang selari dengan perkembangan usia dan persekitaran. Peraturan di tempat kerja berbeza dengan rumah, begitu juga di peringkat tadika, sekolah mahupun institusi pengajian tinggi (IPT). IPT, terutama universiti sememangnya menjadi dambaan ramai.

Graduan berkelulusan begitu dipandang tinggi dan berkepentingan dalam mengisi peluang kerja. Mereka sering menjadi buruan majikan kerana kebolehan mengekalkan kecemerlangan dalam akademik dan sahsiah. Pembentukan kecemerlangan ini juga bermula daripada siswa-siswi yang dilatih dengan semangat, disiplin tinggi dan yang patuh dengan peraturan.

Pelbagai respons apabila menceritakan isu peraturan, ada yang bersikap sinis, memandang berat, malah tidak kurang yang menjadikan peraturan suatu yang membebankan. Perkara ini menjadi isu yang diketengahkan dalam Isu Kampus minggu ini.

Ikuti temu bual bersama Pendaftar Universiti Tun Abdul Razak (UniRazak), Syed Haron Ahmad; Kaunselor Universti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Fauziah Saad; Timbalan Yang dipertua (TYDP) Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) Nor Atikah Shafii; penuntut Universiti Selangor (Unisel) Khairunnisa’ Dalila Roslan; penuntut Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (Polimas), Nur Azuan Hafifi Mohd Noordin dan Afiq Farhan Rosman.

Terapkan nilai mendidik

Pada hemat saya, secara realiti penuntut bukan semakin tidak peduli pada peraturan, cuma jika dinilai semula, kadangkala ia tidak mengikut fitrah insani yang menyebabkan mereka tidak bersetuju dan mengabaikannya. Cuma harus  diakui masih ada yang langsung tidak cakna tentang peraturan.

Pertama perlu jelas, peraturan universiti atau IPT perlu sebagai satu panduan dan didikan untuk mahasiswa. Tapi persoalannya, sejauh mana peraturan tu berjaya mendidik. Lihat saja realiti akhlak mahasiswa zaman kini.

Mungkin disebabkan penetapan peraturan yang dilihat kurang relevan pada mahasiswa, perlaksanaan yang kurang berkesan. Sama ada menggunakan kaedah memaksa atau mendidik. Melalui didikan akan lahir kesedaran untuk bina sahsiah diri.

Sebagai contoh, etika pemakaian lelaki yang sangat ditekankan, tetapi apabila siswi berpakaian tidak patuh syariat tidak diberi penekanan. Ia adalah satu cabaran dalam melaksanakan peraturan yang bukan menyentuh permukaan masalah sahaja tapi dapat membina akhlak melaluinya.

Ia bukan kerana peraturan semata-mata, tetapi suka saya tekankan kesedaran pihak universiti dalam menjadikan kebajikan mahasiswa kecaknaan bersama. Kesedaran mengambil berat pandangan mahasiswa.

Kepada mahasiswa pula, ayuh bersama-sama kita lebih cakna dengan peraturan universiti dan membantu pihak universiti dalam memperkasa nilai murni dan membina sahsiah bukan sahaja berfokus kepada mahasiswa semata, tetapi seluruh masyarakat kampus. Insya-Allah.

Harapan saya untuk sama-sama kita nilai semula. Selaras dengan tema Usim, integrasi aqli naqli, saya menyeru  pihak universiti sendiri perlu menilai sejauh mana kesesuaian sesuatu peraturan, penerimaan mahasiswa, perlaksanaan peraturan yang mendidik dan dalam masa sama tidak menyekat perkembangan idealistik mahasiswa.

Akhir kata, ayuh kita singkap bagaimana Islam menerapkan nilai mendidik dalam peraturan kepada ummah dan sama-sama mendapat manfaatnya.

NURUL ATIKAH MOHAMMAD SHAFII
TYDP MPP USIM 2015

Panduan untuk bentuk karakter

Peraturan yang ditetapkan oleh universiti sangat-sangat membantu mahasiswa dan mahasiswi. Ini adalah kerana walaupun mereka terpelajar atau dewasa tetapi mereka masih memerlukan panduan untuk membentuk karakter. Panduan ini akan membentuk norma dan nilai dan budaya yang positif sebelum memasuki dunia pekerjaan.

Pendekatan undang-undang bukan sesuatu yang utama membentuk mahasiswa universiti. Ini adalah kerana undang-undang lebih berbentuk hukuman sebaliknya mahasiswa sesuai dengan pendekatan pendidikan dan penasihatan melalui aplikasi keilmuan dan role model.

Tetapi undang-undang tetap penting bagi mahasiwa yang berdegil dan melanggar undang-undang sebagai pengajaran kepada mahasiwa lain seterusnya.

Memang diakui mahasiwa sudah matang dan sedang belajar di institusi pengajian tertinggi di Malaysia. Namun matang tidak bermaksud sempurna atau bebas melakukan kesalahan atau bebas tidak terpengaruh dengan perkara yang negatif dan sentiasa terpelihara sahsiahnya.

Ini adalah kerana mereka juga mudah terpengaruh dengan budaya negatif. Oleh itu mahasiswa yang matang perlu juga dipupuk dan dididik supaya mereka juga berada di landasan yang benar dan tidak melakukan perkara-perkara yang menjatuhkan imej sebagai mahasiswa.

Mahasiwa juga perlu diberi bimbingan, penasihatan dan role= model yang baik perlulah sentiasa dipupuk supaya mereka tidak tersalah langkah. Akhirnya menjadi warga yang menyumbang kepada masyarakat.

FAUZIAH SAAD
Kaunselor UPSI

Usah diperalat demi kepentingan pihak lain

Memegang status institusi pendidikan tinggi swasta (IPTS) bukan bermakna bebas dalam segala hal. Menyentuh isu peraturan, kami juga seperti IPT lain mewajibkan penuntut mengikut perlembagaan yang diluluskan kementerian.

Peraturan yang dimaksudkan adalah berkaitan akademik dan bukan akademik termasuk salah laku umum, masalah disiplin, sosial dan sebagainya.

Sebagai IPTS, kami juga menekankan beberapa peraturan kerana kita perlu faham, objektif utama menara gading adalah tempat menuntut ilmu. Apabila menuntut ilmu, ia meliputi semua dan saling berkait dengan keperibadian.

Sungguhpun di IPTS, penuntut adalah pelanggan, namun penekanan untuk mendidik mereka menjadi insan berguna begitu diberi perhatian.

"Kita ingin melahirkan pemimpin masa depan yang cemerlang, jadi IPT adalah satu-satunya medan untuk mereka belajar, dan kami pula menawarkan apa yang diperlukan untuk masa depan.

"Kami bukan sahaja menyediakan ruang untuk menimba ilmu, tetapi program-program niche yang secara tidak langsung melahirkan golongan yang bukan berfikir secara teknikal semata-mata, tetapi mengambil kira faktor kemanusiaan," katanya.

Jelasnya, walaupun IPTS mengetengahkan pendekatan pendidikan berteraskan perniagaan, input untuk membentuk sahsiah mahasiswa juga diseimbangkan.

Beliau yang juga berpengalaman luas dalam bidang pendidikan turut berkongsi suka-duka era pengajian di Universiti Malaya ketika zaman kegemilangannya pada 1970an dulu.

Katanya, tahap kematangan penuntut kini jauh berbeza dengan mentaliti siswa-siswi zaman dahulu.

"Zaman saya dahulu, orientasi masuk universiti berlangsung sekurang-kuangnya tiga minggu, dan ini adalah proses untuk mengenal universiti dan peraturan, berlainan sekarang, walaupun masih dipraktikkan, masih ada penuntut yang tidak peka dengan peraturan, lebih teruk, langsung tidak ambil tahu," katanya.

Mengulas isu peraturan dalam hak bersuara pula, beliau menjelaskan, siswa-siswi sepatutnya berfikir sebelum menyertai mana-mana pertubuhan.

"Ramai yang melaungkan kebebasan untuk keadilan, namun, fahamilah objektif sebenar kenapa kita berada di universiti, jika berpegang pada tujuan menuntut ilmu, usah jadi alat untuk kepentingan golongan tertentu dengan menggadaikan masa depan," katanya.

Beliau juga melahirkan rasa kesal dengan segelintir sikap penuntut yang dilabel matang namun tidak sedar diperalat sehingga menjatuhkan imej sebagai golongan terpelajar.

"Golongan ini bukan sahaja memalukan diri sendiri, tetapi menjejaskan nama baik keluarga. Bagaimana untuk mereka diangkat sebagai pemimpin sekiranya suka bertindak agresif, berdemontrasi jalanan, dan mencetuskan kekecohan," katanya.

Menyentuh isu sahsiah, beliau berkata, modul-modul yang digunakan universiti banyak membantu penuntut untuk kecemerlangan masa depan.

Contohnya, galakan dalam pembentangan kertas kerja, juga berpersatuan, yang membina keyakinan diri.

Hal ini membantu mereka ceburi alam kerjaya tanpa rendah diri, menanam semangat integriti dan kurang sikap kebergantungan pada orang lain.  

SYED HARON AHMAD
Pendaftar Universiti Tun Abdul Razak

Tonjolkan imej penuntut sebenar

Pada pendapat saya, peraturan yang diwujudkan dalam IPT masih belum mencapai objektif sebenar. Ini kerana masih ramai penuntut yang bawa mentaliti mereka sendiri, seolah-olah IPT adalah institusi yang bebas ikut kehendak mereka.

Pertama, saya ingin sentuh soal disiplin seperti merokok dalam kalangan siswa. Walaupun sudah dinyatakan itu adalah satu kesalahan, masih ramai tidak endah, malah ia menjadi acara wajib untuk golongan ini cari tandas atau kawasan tersorok melepaskan 'gian' mereka.

Sebenarnya, walau di mana berada kita berpijak, peraturan itu sudah menjadi satu proses mendewasakan.

Sejak zaman sekolah, kita juga perlu patuh, begitu juga peringkat pengajian tinggi. Cuma, bila adanya perubahan, maka corak pemikiran yang tidak berapa matang itu turut berubah.

Lalu, dipengaruhi pula dengan persekitaran tidak betul, maka lahirlah persepsi sendiri dengan mengatakan peraturan  ditetapkan menyusahkan, bersifat mengokong, dan tidak prihatin.

Mereka akan buat percaturan sendiri, dan bila perlu sahaja peraturan itu diikut.

 Apabila diberi teguran berserta amaran daripada pihak berwajib, ramai yang menyalahkan kerana alasan tidak dimaklumkan, walhal, pada minggu orientasi mereka didedahkan dengan peraturan.

Pada saya, peraturan tidak membebankan, malah lebih mencerminkan imej sebenar penuntut IPT. Mungkin ada yang dilabel 'skema' namun, ia bukan persoalan kerana peranan utama kita adalah menuntut ilmu.

AFIQ FARHAN ROSMAN
Penuntut Polimas

Bentuk mahasiswa lebih disiplin

Peraturan dapat membantu bagi membentuk disiplin penuntut. Contohnya etika berpakaian ketika berada di kawasan kolej. Kalau tidak ada peraturan sudah tentu pelajar akan pakai ikut suka hati.

Contohnya, pakai skirt singkat, baju terlalu ketat, pakaian terlalu menjolok mata. Ini boleh mengundang kepada gangguan seksual kalangan penuntut atau terlibat dengan kes jenayah lain yang tidak sepatutnya berlaku.

Pandangan saya sebagai mahasiswa, ada juga beberapa peraturan yang mereka tak ikut. Contoh tidak berpakaian formal, tak memakai kad pelajar, tapi masih ada yang berpakaian sopan serta bawa kad pelajar.

Ada peraturan yang perlu diikuti seperti tidak meniru semasa peperiksaan atau kesalahan-kesalahan berat yang lain. Tidak semua penuntut akan ikut semua peraturan yang ada. Tapi masih berpegang pada etika sebagai mahasiswa dalam kawasan kolej/universiti.

Dari segi hak bersuara tiada masalah. Kami ada saluran untuk sampai kan masalah contohnya pada majllis perwakilan pelajar, ketua program atau terus kepada dekan. Mereka sentiasa mendengar dan membantu. Di mana-mana pun ada peraturan tapi bergantung pada etika kita, sama ada mahu ikut atau tidak.

KHAIRUNNISA’ DALILA ROSLAN
Penuntut Unisel

0 Komentar untuk " Peraturan penting untuk kecemerlangan "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ