Hikmah menjadi orang masjid - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Hikmah menjadi orang masjid

TERKEJUT dan tergamam Azhar Tuarno sewaktu menonton berita mengenai pesawat Penerbangan Malaysia MH17 yang membawa 298 penumpang dari Amsterdam ke Kuala Lumpur telah ditembak jatuh di timur Ukraine pada 17 Julai 2014.

Beliau yang berkhidmat sebagai imam di Masjid Negara ketika itu hanya mampu melahirkan rasa simpati terhadap mangsa serta keluarga yang terlibat. Baginya, apa yang pasti, segala-galanya milik ALLAH dan kepada-Nya jua dikembalikan.

“Keesokan pagi di tempat kerja, saya menerima satu lagi kejutan apabila nama saya tersenarai antara 10 petugas dari Jakim untuk membantu pengurusan jenazah penumpang MH17 yang beragama Islam di Ukraine.

“Sebenarnya tidak terlintas di fikiran saya untuk terlibat dalam tugasan berkaitan MH17. Apabila mendapat arahan ke Ukraine pada 18 Julai, saya terima dengan hati terbuka,” ujar bekas pensyarah Pendidikan Islam di Universiti Teknologi Mara (UiTM) ini.

Dekati komuniti masjid

Menurut Azhar, Ukraine mempunyai minoriti rakyat Islam yang berpegang Mazhab Shafie. Majoriti penduduknya beragama Kristian Ortodoks dan mereka menghormati komuniti Islam.

Antara cabaran di sana adalah berpuasa dalam musim panas, selama 19 jam bermula jam 2.40 pagi hingga 9 malam. Waktu malam lebih pendek, iaitu waktu Maghrib jam 9 malam, Isyak pada 11.20 malam dan Subuh jam 2.40 pagi.

“Walaupun saya tak berkesempatan menguruskan jenazah di Ukraine kerana telah dibawa ke Belanda, tapi kami berkesempatan menghidupkan Ramadan dengan aktiviti ibadah sepanjang 10 hari,” katanya yang berkhidmat sebagai imam di Masjid Negara ketika usianya 33 tahun.

Anak kelahiran Kampung Kanchong Darat, Banting, Selangor ini  berkata, mungkin tugas imam dilihat mudah pada lima waktu solat. Saya juga sebagai Penolong Pengarah Perhubungan Awam dan Pusat Sumber bertanggungjawab menjalankan program seperti lawatan, majlis pernikahan, kem motivasi remaja, dan kursus haji di Masjid Negara, selain menerima kunjungan pelancong.

“Sebenarnya dunia masjid tidak asing dengan diri saya. Sejak kecil, zaman bujang sehinggalah berkahwin, kediaman saya berhampiran masjid atau surau. Mudah bagi saya untuk ke masjid,” ujar graduan Syariah dari Universiti Malaya ini.

Perkenalan Azhar bersama pasangannya, Fuziansi Tambi, 39, juga bermula atas saranan rakan surau di Lembah Pantai ketika berkunjung ke rumah ibu bapa Azhar di kampung. Bagaimanapun kedua-duanya menuntut di universiti yang sama, cuma tidak mengenal rapat antara satu sama lain.

“Masa itu isteri saya sedang menuntut di matrikulasi tahun satu Rancangan Persediaan Khas ke Jepun manakala saya di tahun akhir. Bila nak bertunang baru, perasan macam pernah nampak sebab satu kolej asrama. Sebenarnya saya tak kisah kerana yang penting kedua ibu bapa bersetuju,” ujar anak bongsu daripada tiga adik-beradik ini.

Imbangi pelajaran, aktiviti

Azhar mendapat galakan untuk menceburi bidang agama daripada ayahnya, Tuarno Abd Karim, 75, dan Allahyarhamah ibunya, Zainab Sanid.

Bekas pelajar Sekolah Menengah Agama Tinggi Hishamuddin Kampung Jawa, Klang dan Sekolah Agama Menengah Tengku Ampuan Jemaah, Shah Alam, Selangor ini juga aktif dalam perbahasan, berpantun, forum, dan ceramah.

“Di UM, saya dipilih menjadi Exco Persatuan Bahasa Melayu UM (PBMUM) 1993 hingga 1995. Saya juga dilantik sebagai Presiden Kolej Kediaman Kedua UM pada 1994 hingga 1995, selain Exco Jawatankuasa Induk Asrama 1995-1996.

Dari segi pembelajaran, Azhar memilih waktu lepas Isyak sehinggalah larut malam dan bangun awal sebagai persediaan untuk ke kuliah. Beliau juga lebih suka beli dan baca buku sendiri, berbanding belajar di perpustakaan.

Azhar yang kini bertugas sebagai Pegawai Hal Ehwal Islam di Jabatan Perdana Menteri berkata, mahasiswa sekarang ada pelbagai kecenderungan sama ada dalam berpolitik atau berpersatuan. Ini membantu dari segi pembentukan sahsiah dan jati diri.

“Sekarang pelajar bebas berpolitik, tetapi apa niat mereka? Mahasiswa harus lebih tumpukan pelajaran. Sewaktu belajar, perlu ada perancangan awal.

“Perlu ada impian untuk jangka pendek dan panjang, barulah ada kesungguhan. Bila ada minat, kenalah usaha dan sentiasalah berdoa kerana semuanya adalah urusan ALLAH,” tambahnya yang sering dijemput sebagai penceramah.

Beliau berpendapat dunia belajar dan kerja adalah alam yang berbeza. Belajar di kuliah lebih formal berbanding belajar hidup bermasyarakat.

“Setelah tamat belajar kemudian bekerja, barulah jadi orang. Ini mungkin berlaku kejutan budaya bila keluar dari dunia kampus. Pada masa itu alam masyarakat penting dalam membina hubungan,” katanya.

0 Komentar untuk " Hikmah menjadi orang masjid "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ