Bakat terserlah sejak zaman sekolah - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Bakat terserlah sejak zaman sekolah

BELIAU  begitu dikenali di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Malah sikapnya yang sering tersenyum dan selalu bertegur sapa dengan siswa lain membuatkan dirinya makin disayangi ramai.

Beliau yang dimaksudkan adalah Yang Dipertua Persatuan Mahasiswa UKM, Muhammad Sallehudin Khalid yang berasal dari Ledang, Johor.

Ketika ditemui wartawan Kampus baru-baru ini, kelihatan Sallehudin memang mesra orangnya. Anak bongsu daripada tujuh beradik ini juga cukup berpengetahuan luas dan pintar pemikirannya.

Memiliki daya kerja dan semangat yang tinggi sememangnya membuktikan Sallehudin memang layak memikul tanggungjawab yang telah diamanahkan kepadanya.

Sepanjang menjawat jawatan tersebut, kata Sallehudin, pelbagai kenangan manis dan pahit telah dilalui dan yang paling dikenang olehnya apabila menjadi calon bagi pilihan raya kampus.

"Saya menjadi calon pilihan raya kampus ini sebanyak dua kali iaitu dilantik sebagai Naib Yang Dipertua Persatuan Mahasiswa UKM (PMUKM) sesi 2013/2014 dan Yang Dipertua PMUKM sesi 2014/2015.

"Ketika tempoh bertanding itu, saya mempunyai ramai sahabat yang sentiasa menyokong. Ia bertambah manis apabila dapat melihat wajah kegembiraan mereka apabila saya diumumkan menang untuk dua kali berturut-turut.

"Sehingga kini, mereka masih terus menyokong dan membantu saya daripada setiap aspek," katanya yang menghargai kedua ibu bapanya, Khalid dan Zainab, keluarga, sahabat perjuangan serta pihak universiti yang sentiasa memberi sokongan tanpa henti kepada dirinya.

Mengulas mengenai pembahagian masa antara belajar dan aktiviti luar, Sallehudin beritahu, pembahagian masa antara aktiviti luar kuliah dan akademik cukup berbeza bagi setiap orang.

"Bagi saya, masalah masa tidak akan timbul sekiranya ia digunakan dengan baik. Misalnya, dalam konteks sebagai seorang siswa, kita tidak seharusnya hanya berpegang pada 3K iaitu Kolej, Kedai Makan dan Kuliah semata-mata.

Sebaliknya, aktiviti luar kuliah juga boleh membawa kita menjadi insan produktif, proaktif dan progresif yang cakna terhadap isu semasa, tempatan dan antarabangsa," ujar Sallehuddin.

Katanya lagi, walau sesibuk mana dirinya di kampus, hobi bersukan dan berbual bersama rakan-rakan akrab tetap dilakukan juga.

"Bersukan telah menjadi minat saya sejak kecil terutamanya catur dan bola sepak. Di alam universiti ini, futsal menjadi kegemaran saya untuk bermain bersama rakan-rakan.

"Manakala berbual bersama mereka berkenaan isu semasa juga boleh memberikan idea dan pelbagai pendapat untuk saya bawa pada sesi mesyuarat PMUKM nanti," katanya yang memang aktif dan memiliki sifat kepimpinan sejak di bangku sekolah rendah lagi.

Persediaan rapi

Sebelum menganjurkan program di kampus, setiap ketua harus memastikan program berjalan lancar. Bagi Sallehuddin sendiri, yang sering dilantik sebagai ketua atau pemimpin bagi apa sahaja aktiviti di UKM, beliau sememangnya sudah bersiap sedia daripada awal lagi.

"Persiapan sebelum menjalankan sesuatu program perlu dilakukan dengan baik, terutamanya, bagi program yang berskala besar dan berimpak tinggi.

UKM sememangnya terkenal dengan jumlah program yang pelbagai dan banyak saban tahun. Dengan lebih 110 persatuan pelajar yang terdapat di UKM, sememangnya lambakan program ilmu akan berlaku.

"Sekiranya saya menjadi ketua projek sesuatu program, saya akan sentiasa memastikan perjalanan gerak kerja adalah mengikut timeline yang telah dibina secara bersama ahli persatuan.

"Selain itu, tunjuk ajar berkenaan asas serta sesi brainstorm perlu selalu dijalankan agar program tidak hanya bersifat syok sendiri," katanya.

Akhiri Sallehuddin, dia memang mengharapkan semua penuntut cakna dan melibatkan diri dengan aktiviti di luar kampus.

"Dalam pembinaan sebagai seorang siswa ideal dan dinamik, siswa perlu sentiasa mengkaji dan memberi sumbangan idea terhadap semua isu luar kampus, tidak kira nasional mahupun antarabangsa.

"Justeru, pesanan saya, setiap siswa punyai idealisme tersendiri demi kemajuan negara, jadi teruskan berkarya secara berterusan demi mencapai matlamat," ujarnya.

0 Komentar untuk " Bakat terserlah sejak zaman sekolah "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ