Medium komunikasi - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Medium komunikasi

GALAKAN  universiti agar penuntut mendapat pendedahan awal  alam pekerjaan semakin diberi perhatian. Program komunikasi salah satu contoh kursus mendedahkan penuntut kepada kemahiran komunikasi secara langsung.

Seperti institusi pengajian tinggi awam lain (IPTA), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) juga tidak terkecuali membangunkan studio radio, UniMAP FM khas untuk penuntut program komunikasi dan sealiran dengannya.

 Menurut Naib Canselornya, Brig Jen. Datuk Prof Dr Kamarudin Hussin, UniMAP FM bukan hanya mempunyai penuntut yang bijak berkata-kata di udara, tetapi mampu menghadapi dan mengatasi pelbagai situasi.

Radio UniMAP FM dicetuskan beliau pada 2012  yang ingin melihat UniMAP (pada ketika itu belum menawarkan program pengajian dalam bidang komunikasi) mampu memiliki stesen radio sendiri.

Ia juga diterajui pensyarah UniMAP yang berpengalaman luas dalam penyiaran radio, juga antara anchor penubuhan Radio24 (Bernama), Husna Afifi Mohd Yusoff.

UniMAP FM juga dijayakan beberapa individu berpengalaman, antaranya Prof Dr Asiah Sarji, Prof Dr Ismail Abdullah, Ahmad Fahmi Mahmood dan Mohd Izwan Izhar Haris.

Semua jawatankuasa ini sering menjalankan sesi percambahan minda bagi mencapai kesepakatan dan mempunyai fungsi, peranan serta pengalaman masing-masing.

 "Pada masa itu, objektif penubuhan radio adalah sebagai medium komunikasi menggabungkan unsur teknikal, seni dan kemasyarakatan yang memberi manfaat kepada semua, terutama warga kampus.

"Cabaran getir adalah apabila UniMAP FM berjaya membuktikan universiti berorientasikan kejuruteraan ini mampu mewujudkan radio penyiaran sendiri yang terbukti mampan, setaraf radio kampus sedia ada," katanya.

 Menurutnya, penubuhan UniMAP FM dilaksanakan mengikut fasa. Pada awalnya, beroperasi melalui laman sesawang secara online streaming, dikendalikan pegawai tadbir, juruteknik dan penolong penerbit, selain lima penuntut Kelab Penyiaran yang bertindak sebagai juruhebah.

Pada waktu itu, tugasan menyelaras setiap program dan rancangan dikendalikan Husna Afifi selaku Pengarah UniMAP FM, selain dibantu pegawai tadbir, Ahmad Syauqi Amar yang bertindak sebagai penerbit dan penyampai radio.

Beroperasi 24 jam

Menurut Prof Dr Kamarudin, radio ini beroperasi 24 jam.  Program secara langsung diadakan pada Isnin, Rabu dan Jumaat. Pada hari-hari lain, UniMAP FM akan memutarkan program-program rakaman atau siaran ulangan.

"UniMAP FM adalah radio online, ini bermakna seluruh dunia boleh dengar. Rancangannya pula bergantung pada kreativiti penerbit dan kesesuaian siaran.

Sekiranya untuk siaran luar, lazimnya akan live terus dari mini konti.

"Sebagai tarikan, penuntut bukan Bumiputera dan antarabangsa juga diberi peluang mencuba bakat sebagai penyampai. Antaranya - slot bahasa Inggeris (Fun On The Run), Mandarin (Ni Wa Tong Xin), Tamil (Yaalise) dan yang terbaharu slot Thai," katanya.

Beliau berkata, UniMAP FM berkosepkan edutainment. Gabungan  pembelajaran dan hiburan ini dipilih agar pendengar, khususnya warga UniMAP tidak hanya mementingkan hiburan semata. Pelbagai program lain disiarkan antaranya bual bicara, agama, berita, drama, info dan sebagainya.

"Dengan tagline Medium Interaksi Siswa, kami ingin meluaskan gerbang komunikasi ini bukan sahaja sesama siswa UniMAP, malah mungkin seluruh IPTA dan IPTS suatu hari nanti," katanya.

Medium pembelajaran

Berbekalkan status radio kampus, katanya, UniMAP FM juga digunakan sebagai alat penyebaran maklumat, khususnya berkaitan penyelidikan dan khidmat awam kepada masyarakat.

"Ia juga sebagai makmal amali penuntut bidang kejuruteraan, tekno-komunikasi dan kemahiran insaniah, selain medium komunikasi di antara pengurusan universiti, pelajar, pusat tanggungjawab dan agensi di Perlis," katanya.

Katanya, keutamaan ketika ini adalah menyediakan platform kepada siswa-siswi asah bakat dalam dunia penyiaran, pengendalian audio dan elektronik, di samping menekankan medium komunikasi. Penubuhan UniMAP FM juga telah mewujudkan KO-K Radio dan Kelab Penyiaran.

Pelajar-pelajar yang berminat dalam bidang penyiaran radio boleh menyertai kelab tersebut dan menjalani latihan praktikal menggunakan konti.

UniMAP FM kini di bawah Pusat Pengajian Pembangunan Insan dan Teknokomunikasi (iKOM), menawarkan Program Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Media Baharu mulai September lalu.

"Mungkin selepas ini para pensyarah iKOM boleh gunakan UniMAP FM sebagai makmal, sama ada dari sudut penerbitan audio, persembahan DJ atau bidang teknikal," katanya.

Penambahbaikan rancangan

UniMAP FM sentiasa melakukan penambahbaikan terutama susunan rancangan.

"Kami berbangga mampu sediakan pelbagai variasi program untuk penuhi cita rasa pendengar," katanya.

Selain itu, pihak pengurusan juga berhasrat bekerjasama dengan pelbagai agensi untuk melebarkan sayap UniMAP FM dan  beri manfaatkan kepada  warga kampus dan agensi itu sendiri. Majoriti penyampai adalah kalangan penuntut kejuruteraan.

"Itulah keistimewaan UniMAP FM, walaupun bukan dari penuntut komunikasi seperti IPT lain, dengan latihan dan bimbingan mereka mampu mengendalikan siaran dengan baik," katanya.

Dalam konteks pemilihan penyampai, penuntut menjalani sesi uji bakat terlebih dahulu. Ini memudahkan penerbit kenal pasti bakat dan kelebihan.

Walaupun tidak bersaing, radio UniMAP mempunyai pencapaian tersendiri. Pengiktirafan setakat ini adalah  Anugerah DJ Radio Terbaik 2013 dalam Immersion Project, Appreciation & Tribute (IMPACT) 2013 anjuran Universiti Sains Malaysia (USM).

"Harapan kami agar UniMAP FM terus unggul, bawa manfaat kepada masyarakat juga mengharumkan nama UniMAP sendiri. Dengan platform ini juga, UniMAP FM akan terus mengembangkan aktiviti penulisan, penyuaraan, pengurusan sumber manusia, berdisiplin dengan mematuhi etika penyiaran dan undang-undang negara," akhirinya.

0 Komentar untuk " Medium komunikasi "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ