200,000 hadir program selawat malam tadi, RM325,000 untuk mangsa banjir - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

200,000 hadir program selawat malam tadi, RM325,000 untuk mangsa banjir

Sebelum ini, penganjuran program yang digelar Malam Cinta Rasul mencetuskan ko‎ntroversi apabila dikritik secara terbuka kerana memakan kos daripada membelanjakannya untuk mangsa banjir. – Gambar dari Facebook, 1 Januari, 2015.

Lebih 200,000 orang hadir di acara selawat pada malam ambang tahun baharu di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur malam tadi dan penganjur Yayasan Pendidikan Cheras (YPC) berjaya mengumpulkan RM325,000 bagi mangsa banjir di seluruh negara.

Menurut pengerusi program Datuk Syed Mehdar Syed Abdullah, kutipan diterima YPC melebihi kos penganjuran program seperti yang dikritik sebelum ini kerana melibatkan orang asing dan berkos tinggi ketika negara dilanda banjir.

"Dengan terkumpulnya kutipan derma sebanyak RM325,000, kita anggap kita berjaya capai apa disasarkan," kata Syed Mehdar kepada The Malaysian Insider di Kuala Lumpur malam tadi.

"Dan seperti saya katakan dahulu, YPC yakin kita akan dapat lebih daripada apa yang kita peruntukkan ‎untuk program ini."
Sebelum ini, penganjuran program yang digelar Malam Cinta Rasul mencetuskan ko‎ntroversi apabila dikritik secara terbuka bekas timbalan menteri Datuk Saifuddin Abdullah.

Menulis di akuan Twitternya @saifuddinabd, beliau berkata: "Selawat itu bagus. Tetapi kalau duit untuk belanja majlis selawat besar-besaran diguna bantu mangsa banjir mungkin lebih bagus." sepertimana kata bekas Ahli Majlis Tertinggi Umno itu pada 25 Disember lepas.

Syed Mehdar dalam reaksinya terhadap kritikan Saifuddin sebelum ini berkata, penganjuran program tersebut akan diteruskan dan tidak ada isu mengenai peruntukan perbelanjaan besar kerana hanya menelan belanja sekitar RM200,000 jika hendak dibandingkan dengan sambutan tahun baru kebiasaannya yang disusuli acara pertunjukan bunga api.

Menurut Syed Mehdar, YPC juga prihatin dengan bencana banjir yang melanda Malaysia kerana selain doa dan selawat bagi mengelakkan musibah, mereka juga turut melancarkan kutipan derma bagi tabung mangsa banjir pantai timur.

Kritikan Saifuddin terhadap program ‎itu berterusan dengan berkata penganjuran program selawat tidak memerlukan sebarang kos dan turut mempersoalkan tindakan membawa orang luar untuk mengiringi bacaan doa, selawat dan sembahyang hajat.

Tidak peduli dengan kritikan terhadap penganjuran program tersebut, Syed Mehdar berkata paling penting, niat mereka adalah mendapat keredhaan Allah.

Katanya, segala musibah yang diterima rakyat Malaysia seperti bencana banjir yang amat dashyat itu berpunca daripada kemungkaran umat Islam menyimpang daripada ajaran Islam.

"‎Bala yang kita terima ini adalah peringatan daripada Allah, bukan kerana membenci namun satu bentuk ingatan supaya janganlah kita mengingkari ajarannya.

"Kerana kita tengok tahun 2014 ini pelbagai bala diterima rakyat Malaysia yang sebenarnya daripada perbuatan kita sendiri dan kerana tidak mempertahankan kesucian kalimah Allah, membenarkan lelaki berpakaian wanita, jadi dengan penganjuran seumpama ini, dapat membuat kita bermuhasabah dan insaf," katanya.

"Islam itu juga indah, jadi kita galakkan program begini untuk mendoakan keselamatan negara supaya jauh daripada bencana," katanya.

YPC bekerjasama dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), TV Alhijrah dan Pertubuhan Kebajikan dan Rekreasi Richworks Group Sdn Bhd (Richwell) dalam menganjurkan program malam tadi.

Program itu juga menampilkan pendakwah popular Indonesia, Habib Syech Abdul Qodir As Seggaf dan Habib Ali Zaenal Abidin.

YPC juga menyerahkan cek sebanyak RM275,000 ‎kepada kumpulan Media Prima dalam misi tabung bantuan bencana banjir malam tadi.

"‎Alhamdullilah sambutan diterima amat mengalakkan. Ramai yang menderma, saya fikir mereka juga ingin turut memberi sumbangan meskipun tidak boleh mengerah tenaga untuk turun ke tempat bencana," katanya.

Beliau berkata, penerimaan orang ramai, terutama golongan muda dalam program tersebut juga amat mengejutkan.

"Program kita mendapat keberkatan daripada Allah, sebab kalau kita tengok pagi itu cuaca hujan, namun Alhamdulillah berlangsungnya program kita cuaca baik.

"Paling saya terkejut golongan muda, mat-mat motor ini juga turut bersama di kalangan kita, turut mengaminkan doa.

"Bagi saya ia satu petunjuk baik penerimaan terhadap keagamaan dan sebenarnya masyarakat kita boleh menerima tanpa adanya sambutan tahun baru dengan pertunjukan bunga api," katanya. – 1 Januari, 2015.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/200000-hadir-program-selawat-malam-tadi-rm325000-untuk-mangsa-banjir#sthash.RM2faZ86.dpuf
0 Komentar untuk " 200,000 hadir program selawat malam tadi, RM325,000 untuk mangsa banjir "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ