Sorotan 2014: Momentum ekonomi negara terus kukuh - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Sorotan 2014: Momentum ekonomi negara terus kukuh

Malaysia memulakan tahun 2014 dengan mencatatkan pertumbuhan ekonomi yang kukuh, meskipun berdepan persekitaran ekonomi global yang mencabar. Pada suku pertama Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), negara berkembang 6.2 peratus, disokong aktiviti ekonomi domestik yang kukuh dan eksport bersih yang kembali pulih. Pertumbuhan kukuh pada suku pertama itu juga adalah pertumbuhan sukuan tertinggi dicatatkan sejak suku keempat 2012.

Dalam tempoh tiga bulan pertama 2014, semua sektor kecuali perlombongan mencatat perkembangan positif dengan pembuatan dan perkhidmatan yang berkaitan perdagangan mencatatkan pertumbuhan kukuh, dipacu oleh kemajuan permintaan luaran.

Momentum ekonomi negara terus mengukuh dengan mencatatkan pertumbuhan 6.5 peratus pada suku kedua, disokong oleh eksport lebih tinggi dan permintaan domestik yang kukuh.

Pemulihan ekonomi lebih cepat

Pemulihan ekonomi lebih cepat terutama di Amerika Syarikat (AS), United Kingdom (UK) dan beberapa negara di zon euro serta pertumbuhan ekonomi sederhana dalam kalangan negara membangun yang sedang berkembang pesat menyediakan sokongan kukuh kepada industri berorientasikan eksport dan perkhidmatan berkaitan perdagangan negara.

Selain itu, permintaan semikonduktor global juga melonjak dengan ketara berikutan peningkatan keyakinan perniagaan dan perbelanjaan pengguna di AS.

Ekonomi Malaysia juga memperoleh manfaat daripada beberapa inisiatif serta perubahan yang dilaksanakan kerajaan sejak beberapa tahun lalu untuk meningkatkan daya tahan dan saing negara.

Hasilnya, negara berada pada kedudukan baik untuk terus mendapat manfaat daripada pemulihan ekonomi global yang berperingkat, dengan pertumbuhan lebih menyeluruh.

Boleh dirumuskan, prestasi ekonomi Malaysia pada separuh pertama 2014 kebanyakannya dipacu oleh sektor luaran yang mana nilai eksport mencatatkan angka pertumbuhan sangat memberangsangkan iaitu 8.3 peratus berbanding penguncupan 3.9 peratus bagi tempoh sama pada tahun lalu.

Namun begitu, pada separuh kedua, menyaksikan faktor luaran mengalami kelembapan akibat kejatuhan harga komoditi utama seperti minyak mentah serta minyak sawit mentah.

Meskipun risiko kepada pertumbuhan ekonomi meningkat, Malaysia masih mampu mencatatkan pertumbuhan pada suku ketiga, meskipun sedikit perlahan berbanding suku kedua.

Permintaan sektor swasta yang kukuh serta eksport barangan dan perkhidmatan bersih yang masih positif menyokong kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Pertumbuhan sektor ekonomi utama dalam tempoh Julai hingga September 2014 adalah mapan, disokong oleh aktiviti perdagangan dan aktiviti domestik yang kukuh.

Kadar inflasi meningkat

Sementara itu, kadar inflasi dalam tempoh lapan bulan tahun 2014 mencatatkan peningkatan purata 3.3 peratus berbanding 1.7 peratus yang dicatatkan dalam tempoh sama 2013.

Inflasi lebih tinggi itu berikutan kesan limpahan pelarasan harga minyak berikutan rasionalisasi subsidi pada September 2013 dan kenaikan tarif elektrik pada Januari 2014.

Dengan kadar inflasi dijangka kekal melebihi paras purata jangka panjang, Bank Negara Malaysia (BNM) mengambil keputusan menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 0.25 peratus kepada 3.25 peratus pada Julai. Ia sebagai langkah awal untuk mengurangkan risiko ketidakseimbangan ekonomi dan kewangan yang boleh menjejaskan pertumbuhan ekonomi.

Dari sudut pelaburan pula, Malaysia berada pada landasan kukuh untuk mencatatkan pelaburan lebih tinggi pada 2014, mengatasi jumlah pelaburan yang dicatatkan tahun lalu iaitu sebanyak RM219.4 bilion.

Keyakinan kukuh itu bersandarkan prestasi memberangsangkan bagi tempoh sembilan bulan tahun ini apabila negara meraih pelaburan berjumlah RM172.3 bilion, 9.1 peratus lebih tinggi berbanding RM158 bilion yang dicatat pada tempoh sama 2013.

Sebahagian besar pelaburan itu disumbangkan pelaburan langsung domestik (DDI) yang berjumlah RM119.8 bilion atau 69.5 peratus, manakala pelaburan langsung asing (FDI) menyumbang RM52.5 bilion (30.5 peratus).

Sektor perkhidmatan penyumbang utama pelaburan

Bagi tempoh sembilan bulan tahun ini, sektor perkhidmatan menjadi penyumbang utama pelaburan iaitu sebanyak RM96.6 bilion, berbanding RM104.6 bilion pada tempoh sama tahun lalu. Sektor itu mewakili masing-masing sebanyak 83.4 dan 56.1 peratus bagi jumlah projek serta jumlah pelaburan yang diluluskan dalam tempoh berkenaan.

Dalam tempoh dikaji, sektor pembuatan mencatatkan pelaburan sebanyak RM63.5 bilion, 21.9 peratus lebih tinggi daripada keseluruhan pelaburan sektor terbabit pada tahun lalu, RM52.1 bilion.

Dari segi perdagangan, dalam tempoh 10 bulan pertama 2014, nilai perdagangan Malaysia meningkat 6.6 peratus kepada RM1.21 trilion. Pada Oktober lalu, nilai jumlah dagangan Malaysia berjumlah RM129.0 bilion, meningkat 2.6 peratus berbanding bulan sama tahun lalu. Jika dibandingkan dengan September 2014, ia meningkat 7.7 peratus.

Secara keseluruhan, ekonomi negara merekodkan prestasi amat baik pada 2014, di sebalik ketidaktentuan pasaran global. Kerajaan mengekalkan unjuran pertumbuhan ekonomi pada kadar 5.5 hingga 6.0 peratus bagi keseluruhan 2014, meskipun pertumbuhan pada suku ketiga lebih perlahan berbanding suku kedua. Ia disandarkan kepada pertumbuhan kukuh yang dicatatkan pada separuh pertama.

Dengan persekitaran ekonomi yang mencabar ketika ini, unjuran pertumbuhan pada julat berkenaan boleh dianggap sebagai pertumbuhan kukuh.

Bagi tahun 2015, ekonomi negara diunjurkan berkembang antara 5.0 peratus hingga 6.0 peratus dengan permintaan domestik kekal sebagai pemacu utama pertumbuhan.

0 Komentar untuk " Sorotan 2014: Momentum ekonomi negara terus kukuh "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ