Agama: Rumah pusat ilmu keluarga - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Agama: Rumah pusat ilmu keluarga

Perpustakaan mini di rumah boleh pupuk amalan membaca. - Gambar hiasan

Ustaz Muhamad Abdullah Amin menerusi Rancangan Pesona D'zahra di Ikimfm minggu lalu menjelaskan fungsi rumah lebih daripada hanya sekadar tempat tinggal.

Minggu ini, Muhammad berkongsi lima perkara perlu untuk menjadikan rumah tempat selesa bagi penghuninya.

Lima perkara itu adalah pembentukan sebuah keluarga, tempat selamat, tempat melahirkan ketakwaan, memberikan ketenangan dan tempat beristirehat.

Cara menghidupkan fungsi rumah mengikut Islam perlu memenuhi keperluan dibahagikan oleh fiqh iaitu daruriyat, hajiyat dan tahsiniyat. Dharuriyat adalah keperluan asasi manusia yang tidak boleh dipisahkan dalam hidupnya meliputi lima perkara iaitu akidah, nyawa, akal, maruah atau kehormatan dan harta.

Muhamad berkata, dalam konteks rumah kediaman, ketua rumah perlu memastikan keadaan rumah tidak memudaratkan penghuninya, dapat memberi perlindungan dari sudut keselamatan dan maruah keluarga.

Baiki kerosakan jaga aib keluarga

Jika sesebuah rumah itu mengalami kekurangan asas seperti air, elektrik, kebocoran bumbung atau kerosakan dinding yang menyebabkan keaiban ahli keluarga boleh dilihat, ketua rumah perlu bertindak berusaha memperbaikinya mengikut kemampuan.

Bagi yang mempunyai masalah kewangan, mereka perlu mendapatkan bantuan atau memohon pihak berkuasa memberi pinjaman bagi memenuhi keperluan terdesak itu. Berusahalah berjumpa pihak zakat atau mana-mana institusi yang ditubuhkan bagi membela umat Islam untuk memenuhi keperluan asas.

Keperluan kedua yang dinamakan hajiyat adalah bagi memudahkan kehidupannya seperti kenderaan, telefon, kelengkapan rumah dan perabot. Memenuhi keperluan hajiyat bergantung kepada kemampuan ahli keluarga dengan bertujuan memberi kemudahan menyempurnakan urusan harian.

Keperluan ketiga yang disebut tahsiniyat berkaitan dengan kesempurnaan, kecantikan dan kemewahan hidup. Tanpa perkara ini, seseorang masih boleh meneruskan kehidupannya, yang utama adalah memenuhi keperluan asas rumah sebagai tempat pembentukan keluarga. Berbelanja mengikut kemampuan, elakkan berhutang pada perkara yang tidak perlu.

Seterusnya, bagaimana membuatkan rumah tempat yang selamat. Pemilik perlu peka dengan keadaan di dalam, di sekeliling mahupun keselamatan rumah jiran tetangga. Pastikan kelengkapan rumah tidak berbahaya kepada anak kecil, hiasan rumah selamat dan tidak menyebabkan kecederaan.

Hindarkan daripada menyimpan barangan memudaratkan seperti kelengkapan rumah yang berat dan tidak diletakkan dengan posisi selamat hingga boleh menyebabkan kemalangan seperti televisyen tidak diletakkan dengan baik, motosikal dibiarkan dipanjat dengan mudah oleh anak kecil.

Pastikan haiwan peliharaan tidak mengganggu ketenteraman penghuni rumah dan jiran. Elakkan memelihara haiwan liar yang tidak dijadikan peliharaan kebiasaan masyarakat kerana dikhuatiri tanpa pengawasan baik akan menyebabkan kerosakan dan kehilangan nyawa.

Wujud suasana keilmuan

Perkara ketiga berkenaan ciri rumah Muslim yang baik adalah sebagai tempat melahirkan ketakwaan. Usaha menjadikan rumah untuk meningkatkan ketakwaan dan tempat bermuhasabah diri adalah dengan mewujudkan suasana keilmuan.

Contohnya, mengadakan ruang solat khas bagi ahli keluarga sebagai memberi penekanan pentingnya ibadah solat itu. Sebaiknya hiasan rumah Muslim dilengkapi perkara bermanfaat seperti buku dan sediakan mini perpustakaan atau ruang bacaan yang sesuai.

Dinding dihiasi khat ayat al-Quran, doa yang mendekatkan diri kepada Allah SWT dan amalan yang baik. Usaha ini bukan sahaja memberi peringatan asas takwa dan syiar Islam kepada penghuninya malah juga manfaat kepada tetamu yang datang berkunjung.

Ketahui hiasan yang dilarang Islam contohnya pinggan daripada emas dan sebagainya dalam memastikan kesejahteraan kehidupan penghuni rumah.

Berusaha menjadikan rumah sebagai tempat memberikan ketenangan amat penting dalam keperluan asas seorang Muslim. Ia perkara keempat panduan rumah menurut Islam. Fitrahnya manusia suka bau-bauan yang harum, justeru sediakan wangian yang baik dan harum dalam rumah bagi memberi ketenangan.

Elakkan bau kurang menyenangkan mengisi ruang rumah kita. Jika memelihara haiwan peliharaan, pastikan najis diselenggarakan dengan baik untuk mengelakkan bau.

Warna juga memainkan peranan dalam memberikan ketenangan dan perasaan positif. Pilihlah warna yang sesuai dengan keselesaan penghuninya. Melabur membeli buku dekorasi untuk panduan menghias rumah dalam mencari gaya hiasan terbaik serta sesuai dengan keselesaan kita.

Penjagaan kebersihan kediaman

Rumah tempat merehatkan badan setelah penat seharian bekerja dan melakukan pelbagai aktiviti di luar rumah. Perabot salah satu elemen yang memberikan keselesaan dalam merehatkan badan. Pilihlah perabot yang baik dan merehatkan serta menjaga kesihatan badan.

Nabi Muhammad SAW mengibas-ngibas katil sebelum merebahkan badan untuk tidur. Ini menunjukkan penjagaan tempat tidur dari sudut kebersihan dan keselesaan. Selain itu, ruang tamu dan ruang berkumpul ahli keluarga juga perlu selesa.

Semoga panduan menghias rumah menurut Islam yang dibincangkan dapat membantu keluarga menyediakan rumah yang memenuhi ciri Islam dan beroleh ketenangan, keselamatan, ketakwaan, istirahat dan akhirnya membentuk keluarga harmoni serta menjalankan perintah sebagai Muslim yang baik.

Penulis ialah Penyampai dan Penerbit Rancangan Kanan IKIMfm

0 Komentar untuk " Agama: Rumah pusat ilmu keluarga "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ