Status PRK tetap terpelihara dalam Perlembagaan - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Status PRK tetap terpelihara dalam Perlembagaan

Selepas berakhir Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), pentas politik negara terus berbahang apabila tujuh pilihan raya kecil (PRK) membabitkan lima kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan dua kerusi Parlimen terpaksa diadakan.

Lima daripadanya perlu diadakan apabila penyandangnya meninggal dunia. Ia membabitkan kerusi DUN Kuala Besut (24 Julai 2013), DUN Sungai Limau (4 November 2013), Parlimen Bukit Gelugor (25 Mei 2014), Parlimen Teluk Intan (31 Mei 2014) dan DUN Pengkalan Kubor (25 September 2014). Dua lagi PRK diadakan berikutan penyandangnya melepaskan jawatan iaitu kerusi DUN Kajang dan DUN Balingian.

Apa yang menjadi perdebatan dalam kalangan ahli politik dan penganalisis ialah adakah wajar PRK diadakan selepas berlaku kekosongan pada kerusi berkenaan terutama jika pengosongan itu berlaku tanpa sebab yang kukuh atau hanya untuk kepentingan minoriti.

Dapat dilihat, PRK juga membebankan SPR kerana perlu menyediakan dana besar bagi membolehkan pengundi di sesuatu kawasan Parlimen atau DUN memilih wakil rakyat baharu.

Mengikut Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, pihaknya perlu memperuntukkan antara RM1 juta hingga RM2 juta bagi mengadakan PRK, bergantung kepada faktor tertentu seperti keluasan kawasan, jumlah pusat daerah mengundi (PDM), petugas dan keperluan logistik.

Justeru, jika setiap PRK menelan belanja hingga RM1 juta, secara purata jika tujuh PRK diadakan sejak PRU-13, bermakna SPR sudah berbelanja lebih RM8 juta setakat ini.

Jika dikira kos mengadakan 16 PRK seperti yang berlaku selepas PRU-12, bermakna SPR terpaksa berbelanja lebih RM16 juta semata-mata bagi mengadakan PRK dalam tempoh kurang lima tahun.

Jumlah sebanyak itu menyamai jumlah geran diagihkan Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) kepada usahawan Bumiputera menerusi pusingan ketiga Skim Usahawan Permulaan Bumiputera (SUPERB) yang diagihkan bulan ini.

Itu belum dikira lagi perbelanjaan yang terpaksa dikeluarkan oleh agensi kerajaan lain khasnya Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menempatkan ribuan anggota dan pegawai untuk bertugas di sesebuah kawasan Parlimen atau DUN bagi menjaga keselamatan dan ketenteraman awam untuk calon serta parti berkempen serta pengundi keluar mengundi dengan selamat dan tenang.

Selain daripada menelan kos tinggi, PRK juga pada tanggapan sesetengah penganalisis dan parti politik adalah 'satu pembaziran yang halal' dalam undang-undang negara.


PRK diadakan selepas berlaku kekosongan kerusi DUN, Parlimen. - Foto hiasan
Sehubungan itu, ada penganalisis dan parti politik mencadangkan agar PRK dimansuhkan atau digantikan dengan satu mekanisme lain yang difikirkan lebih praktikal untuk memilih pengganti wakil rakyat yang baharu tanpa SPR atau kerajaan perlu mengeluarkan belanja yang tinggi seperti diamalkan selama ini.

Antara yang mencadangkan agar PRK dimansuhkan ialah Ketua Penerangan PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang menganggap ia bukan sahaja membebankan parti, tetapi menggalakkan parti menabur janji untuk meraih sokongan pengundi.

Kesannya, pengundi dilaporkan tidak lagi memilih calon secara tenang dan jujur, bahkan ia banyak dipengaruhi suasana pada hari pengundian.

Justeru, beliau mencadangkan parti politik yang memenangi pilihan raya sebelum itu seharusnya diberikan hak menamakan terus pengganti, seperti yang dijalankan di negara jiran tanpa memerlukan pilihan raya kecil.

Dengan itu, SPR tidak perlu mengadakan PRK dan parti politik tidak perlu bersusah payah mengeluarkan belanja menghadapi pilihan raya.

Idea sama turut dibangkitkan Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Madya Dr P Sivamurugan dalam Seminar Pilihan Raya Kecil anjuran Majlis Profesor Negara (MPN), baru-baru ini.

Beliau menyarankan kaedah hampir sama seperti disuarakan Tuan Ibrahim, tetapi mencadangkan idea agak radikal iaitu calon yang tewas dalam pilihan raya sebelum itu dilantik menggantikan wakil rakyat yang meninggal atau melepaskan jawatan.

Dengan cara itu katanya, ia akan menjimatkan masa dan wang semua pihak sama ada parti, SPR dan semua agensi kerajaan yang terbabit dengan PRK seperti kelazimannya.

Selain itu, Sivamurugan turut mencadangkan agar undang-undang pilihan raya dipinda agar tindakan lebih berat dikenakan terhadap wakil rakyat yang sengaja mengosongkan kerusi tanpa alasan kukuh atau munasabah.

Malah katanya, kerajaan wajar membuat satu undang-undang yang dapat mengenakan penalti kepada wakil rakyat yang sengaja mengosongkan kerusi, termasuk mereka yang terpaksa mengosongkan kerusi kalau melompat parti.

"Kita faham perkara ini terikat dengan perkara termaktub dalam Perlembagaan. Jika kita hendak memelihara demokrasi dan sistem pilihan raya, sesuatu wajar dilakukan untuk memperbaikinya.

"Kita memerlukan tekad politik yang kuat untuk pergi ke arah itu. Mungkin pada masa sekarang belum nampak relevannya, tetapi masa hadapan mungkin perlu," katanya.

Apa yang nyata, kelonggaran kuasa undang-undang yang wujud hari ini sebenarnya bukan sahaja membabitkan kuasa dan wang semata-mata, sebaliknya boleh menimbulkan krisis kepada pentadbiran sesebuah negeri seperti yang menimpa Selangor baru-baru ini.

Disebabkan perbuatan melepaskan jawatan wakil rakyat tidak menjadi satu kesalahan di sisi undang-undang, maka Selangor terpaksa berdepan krisis pentadbiran berpanjangan apabila pemimpin pakatan pembangkang berebut jawatan Menteri Besar.

Ia disebabkan tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kajang, Lee Chin Cheh daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) melepaskan jawatan semata-mata bagi membantu parti itu menjayakan Langkah Kajang.


SPR membelanjakan sejumlah dana bagi menjaga keselamatan petugas dan ketenteraman pengundi. - Foto hiasan
Rancangan asal Langkah Kajang adalah bagi memberi laluan kepada penasihat parti itu, Anwar Ibrahim bertanding di DUN berkenaan agar cita-cita PKR untuk melantik Ketua Pembangkang itu menjadi Menteri Besar Selangor tercapai.

Chin Cheh meletak jawatan sebagai ADUN Kajang kira-kira lapan bulan selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) diadakan.

Tindakan Chin Cheh dan PKR itu mendapat tentangan banyak pihak termasuk PAS yang menganggap ia mencabul amalan demokrasi dan mempermainkan rakyat khasnya pengundi Kajang.

Walaupun tidak menjadi satu kesalahan dari sudut perundangan dan Akta SPR, namun SPR tetap perlu mengadakan PRK di DUN berkenaan mengikut Perkara 48 Perlembagaan.

Malangnya, Langkah Kajang gagal dijayakan mengikut perancangan apabila Anwar didapati tidak layak bertanding kerana berdepan dengan rayuan kes liwat menyebabkan PKR mencalonkan Presidennya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bertanding di situ.

Bagaimanapun, kemenangan dikecapi Dr Wan Azizah tetap tidak melayakkan dirinya dilantik menjadi Menteri Besar Selangor, sekali gus menyebabkan Selangor melalui krisis pentadbiran kerana pakatan pembangkang saling berbalah dalam menentukan siapa yang layak menjadi Menteri Besar.

Akibatnya, Istana Selangor terpaksa campur tangan untuk menyelesaikannya. Realitinya, krisis jawatan Menteri Besar Selangor mungkin boleh dielakkan jika penyandang DUN Kajang tidak melepaskan jawatannya tanpa sebab.

Namun disebabkan perlu tunduk kepada arahan pucuk pimpinan parti, penyandangnya melepaskan jawatan bagi memaksa PRK diadakan. Malangnya krisis yang timbul akibat daripada tindakan itu tidak diambil kira oleh parti dan wakil rakyat yang terbabit.

Sebaliknya, apa yang berlaku di Kajang berbeza dengan apa yang terjadi di DUN Balingian kerana penyandangnya, Tun Taib Mahmud yang juga Ketua Menteri Sarawak ketika itu perlu mengosongkan kerusi berkenaan kerana dipilih menjadi Yang di-Pertua Negeri Sarawak Ketujuh bagi menggantikan Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng yang tamat tempoh perkhidmatan pada 28 Februari 2014.

Lebih tepat lagi, PRK di DUN Balingian tidak menimbulkan krisis pentadbiran kepada kerajaan Sarawak kerana proses peralihan kuasa dirancang dengan teliti dan mendapat konsensus seluruh parti komponen Barisan Nasional (BN), bukan seperti yang berlaku pada parti pembangkang di Selangor.

Kesimpulannya, kedudukan dan status PRK tetap terpelihara di sisi Perlembagaan. SPR juga tetap terikat dengan fungsinya menjalankan pilihan raya termasuk PRK mengikut kuasa yang termaktub dalam Perkara 54 Perlembagaan.

Apa yang perlu difahami, kuasa meminda Perlembagaan dalam hal-hal yang menyentuh fungsi dan kuasa SPR serta perjalanan pilihan raya hanya boleh dilakukan oleh Ahli Parlimen di Dewan Rakyat.

"Selagi tiada pindaan, SPR akan tetap meneruskan fungsinya seperti termaktub dalam Perlembagaan dan mengikut Akta SPR.

"Begitu juga PRK, ia tetap perlu diadakan jika berlaku kekosongan kerusi DUN atau Parlimen selagi belum sampai tempoh terbubar sendiri," kata Abdul Aziz mengakhiri ucapan perasmian seminar berkenaan.

0 Komentar untuk " Status PRK tetap terpelihara dalam Perlembagaan "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ