Tan Sri Yuen Yuet Leng: 'Saya orang Melayu, Cina dan India' - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Tan Sri Yuen Yuet Leng: 'Saya orang Melayu, Cina dan India'

MENDIANG Tan Sri Yuen Yuet Leng disifatkan sebagai seorang pegawai polis yang sangat komited dan dedikasi terhadap tugasnya, Banyak kenangan dalam perjuangannya membanteras kegiatan komunis bersemadi bersama jasad dikebumikan pada 1 Oktober lalu.

Mendiang yang pernah bertugas sebagai guru ada menyatakan bahawa ada cerita mengenai tanggungjawabnya menentang komunis yang beliau tidak mampu menulisnya. Wartawan BH, Ziauddin Sharuddin dan Mohd Azis Ngah mengungkap perjalanan mendiang sepanjang 34 tahun berkhidmat dengan pasukan Polis Diraja Malaysia yang bukan sekadar berada di barisan hadapan pertahanan negara, tetapi juga mengetepikan soal bangsa dan agama demi kesejahteraan bersama.    

Selama 65 tahun sejak mula berkhidmat dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada tahun 1950, mendiang Tan Sri Yuen Yuet Leng tidak pernah berhenti berjuang menegakkan keamanan dan keselamatan negara sehinggalah ke nafas terakhirnya, minggu lalu.

Biarpun secara rasmi menamatkan tugas pada 1984, tetapi ikon PDRM dan bekas Pesuruhjaya Polis Sarawak ini yang cukup terkenal dengan kehebatannya membantu pasukan membanteras anasir komunis tidak pernah berhenti berjuang walaupun diri sudah dimamah usia.

Dahulu, beliau berada di medan tempur menentang komunis dan banyak melakukan kerja risikan, tetapi selepas bersara, beliau lebih fokus kepada usaha menyebarkan maklumat melalui ceramah dengan berkongsi pengalaman mengenai betapa bernilai dan pentingnya nikmat keamanan.


PEGAWAI polis mengusung keranda mendiang Yuet Leng dengan penuh istiadat untuk disemadikan di Taman Memorial, Nilai. - Foto Halim Salleh 

Jasa dikenang sampai bila-bila 

Tidak hairanlah, Yuet Leng yang pernah menjawat jawatan Ketua Polis Perak itu cukup terkenal dengan ungkapan azimatnya; 'Saya seorang Melayu, India dan Cina. Jika ada yang memburukkan orang Melayu, ia ibarat mencederakan sebahagian daripada tubuh saya.

'Dalam polis tidak ada istilah bangsa dan kaum. Kami berjuang sebagai satu pasukan demi mempertahankan tanah air daripada ancaman komunis.' Jika dinilai kata-kata perpaduan dan bersemangat Yuet Leng ini, memang patut beliau layak dijadikan ikon dan jasanya dikenang sampai bila-bila.

Menyingkap sejarah dan sumbangan mendiang, beliau adalah bekas pegawai Cawangan Khas (SB) yang paling kerap 'diburu' komunis ketika dan selepas zaman darurat. Yuet Leng sendiri pernah menulis di dalam Berita Minggu pada tahun 2011 dengan berkongsi pengalamannya bertentang mata dengan Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng pada tahun 1989.

Ketika itu, beliau sudah bersara, tetapi turut dijemput ke majlis perjanjian damai antara Malaysia dan PKM di Thailand. Seorang wartawan bertanya; "Datuk Seri, awak tidak marah dengan orang inikah?" "Saya tanya kepada Chin Peng siapa yang mahu jawab.... dia kata dua-dua oranglah jawab. Saya kemudian berkata, beginilah, saya begitu berusaha untuk membunuh dia (Chin Peng) dan dia pula begitu berusaha untuk membunuh saya, tetapi masa itu sudah berlalu."

Namun, beliau sempat memberitahu Chin Peng, jika mahu kembali ke Malaysia, dia perlu tinggalkan semua perjuangan komunis sama ada menerusi Perlembagaan (politik) atau cara bersenjata. Katanya Chin Peng mula berjuang menerusi politik dan apabila gagal, melakukannya secara bersenjata, dan apabila gagal lagi, dia mahu kembali secara politik pula, sudah tentu rakyat tidak boleh terima. Sebab itulah mendiang cukup berani mengatakan dia memiliki darah Melayu, Cina dan India kerana baginya, keamanan negara adalah milik mutlak rakyat Malaysia dan perjuangan serta ideologi komunis tidak layak diterima di negara ini.

Yuet Leng akan sentiasa dianggap sebagai yang sangat cintakan negara kerana sentiasa menjalankan tugas tanpa mengira kaum kerana keutamaannya adalah berkhidmat kepada rakyat dan negara. Hakikat itu diakui bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Rahim Noor yang menyifatkan mendiang mempunyai keistimewaan tersendiri bahkan sentiasa mempunyai inisiatif tambahan dalam menjalankan tugasnya.


ANTARA pegawai polis yang hadir memberikan penghormatan kepada mendiang Yuet Leng, di Taman Memorial, Nilai. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali 

Cemerlang cungkil maklumat mengenai komunis 

Rahim yang pernah menjawat jawatan sebagai pengarah SB selepas era mendiang berkata, dalam kalangan pegawai cawangan itu, mereka akur dan sedia maklum kecemerlangan Yuet Leng terutama dalam mencungkil maklumat berkaitan pergerakan komunis. "Beliau mempunyai hubungan erat dengan masyarakat Cina, memiliki sifat jati diri serta merendah diri. Beliau bijak bergaul dengan masyarakat, pandai mengambil hati dan cepat mendapat kawan. Kadangkala beliau menggunakan orang tengah untuk mendapatkan maklumat. Semuanya dilakukan demi tugas. Bayangkan, ketika mula memasuki perkhidmatan PDRM pada 1950, negara diancam teruk oleh komunis.

"Zaman itu memang 'panas'. Bayangkan, hingga wujud pepatah mengatakan, di sebalik setiap batang pokok getah, di situ ada komunis. Jadi, sumbangan pegawai seperti mendiang ini sangat besar kepada PDRM membanteras komunis," katanya. Bahkan, pernah ada laporan mengatakan mendiang pernah menangkap dan membawa komunis pulang ke rumah, dilayan baik dan diberi makanan. Beliau guna sepenuhnya peluang itu untuk menyedarkan anggota komunis itu bahawa perjuangan mereka adalah salah dan terpesong.

Bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Tan Sri Zaman Khan pula menyifatkan seniornya itu sebagai seorang yang sangat kuat bekerja. "Ini satu kehilangan insan yang bersemangat patriotik dan taat setia kepada perjuangan menentang komunis. Beliau adalah tokoh yang dianggap sebagai pakar dalam menangani ancaman komunis. Sangat pintar dalam mendapatkan maklumat dan rajin," katanya mengulas pemergian Yuet Leng. Jadi, tidak hairanlah mendiang yang juga penerima Anugerah Tokoh Malaysia pada tahun 2010, diberi penghormatan rasmi mengikut istiadat kepolisan pada majlis persemadian di Pusat Xiao En di ibu negara, minggu lalu.


YUET Leng bersama isteri, Puan Sri Choy May. - Foto Asyraf Hamzah

Bergaul dengan orang Melayu 

Berdasarkan penulisannya pada tahun 2011, mendiang mengakui sepanjang pembabitan dengan polis, beliau banyak bergaul dengan orang Melayu. Kenangan terbaik sepanjang perkhidmatan ialah ketika bertugas di Perak dan Sarawak kerana perlu melakukan operasi paling mencabar menentang komunis. Sebelum bertugas sebagai Ketua Polis Perak pada 1976, beliau adalah Timbalan Ketua Cawangan Khas Persekutuan, tetapi tidak ramai yang mengenalinya, bahkan Tun Haniff Omar (Ketua Polis Negara ketika itu) juga tidak begitu mengenali kerana posisi tugasnya yang istimewa itu menyebabkan Yuet Leng tidak bertugas di Bukit Aman, tetapi di satu lokasi istimewa.

Apabila Ketua Polis Perak (mendiang) Tan Sri Khoo Chong Kong dibunuh (pada 1975), kerajaan mahu seorang berbangsa Cina ambil alih tugas itu, jadi beliau adalah pilihan utama untuk mengambil alih jawatan itu. Berdasarkan pengalamannya, fahaman komunis agak 'rapat' dengan corak pemikiran sosialis, sebab itu setiap parti berasaskan sosialis, SB akan siasat sama ada ejen rahsia komunis ada dalam parti itu. Bak kata Rahim, walaupun pegawai dan anggota PDRM ketika ini tidak berdepan ancaman komunis atau hidup pada zaman darurat, mereka perlu menjadikan komitmen, sikap dedikasi dan semangat cintakan negara yang dipamerkan Yuet Leng sebagai pegangan.

Wira negara mahir taktik perang psikologi 

"Anggota polis perlu bersimpati terhadap orang awam yang ditahan dan tidak sepatutnya ada dalam fikiran bahawa 'saya akan menahan kamu, baru kamu tahu'. Tugas polis adalah menguatkuasakan undang-undang dan perlu menahan seseorang yang boleh dibuat, sama ada dengan cara baik atau kasar, tetapi mengapa perlu kasar," kata mendiang Tan Sri Yuen Yuet Leng dalam pertemuan di rumahnya di Ampang Jaya, Selangor, lapan tahun lalu.

Beliau sering mengingatkan anggota bawahan supaya tidak menunjukkan kuasa semata-mata bertugas sebagai polis. Selagi orang itu tidak melawan, jangan bertindak kasar dan memaki terutama apabila orang itu seorang bapa berada di hadapan anaknya. Katanya, menjaga perasaan anak adalah penting kerana bapa adalah orang yang paling berkuasa di rumah dan tindakan memaki dan menghinanya akan menyebabkan anak berasa malu.

Ketika bertugas sebagai Pesuruhjaya Polis Sarawak, Yuet Leng menggunakan pendekatan yang sama apabila hasil siasatan polis mendapati pembabitan orang kenamaan di Sibu seperti doktor, peguam dan saudagar balak, membantu komunis dari segi kewangan. Bagaimanapun, katanya tiada siapa berani menyentuh golongan berkenaan yang mempunyai kedudukan tinggi dalam masyarakat.

Yuet Leng berkata, 30 daripada 50 orang yang hendak ditahan sangat kaya dan ada pegawai polis serta tentera mahu mereka ditahan dengan digari, ditutup mata dan dibawa menaiki dengan menaiki Land Rover, tetapi ditolaknya kerana tidak mahu memalukan mereka.   Katanya, orang kenamaan terbabit bukan komunis atau prokomunis, tetapi bimbang dengan ancaman komunis jika tidak memberi sumbangan, ditangkap dan dibawa ke penjara dengan menaiki kereta mewah masing-masing.


YUET Leng memenuhi masa terluang dengan membaca. - Foto Syaharim Abidin

Tak suka herdik pegawai muda 

Sebagai pegawai atasan, beliau juga tidak suka mengherdik pegawai muda seperti 'awak memang tidak guna' jika mahu mereka menjadi bagus. "Saya tidak buat begitu ketika menjadi Ketua Polis Perak. Saya beritahu, tolong belajar daripada saya, tetapi jangan cuba bertindak seperti saya sebelum tiba masa kamu," katanya. Sebagai bukan Islam, Yuet Leng juga mencatat sejarah apabila pernah merasmikan tilawah al-Quran di Masjid Negeri di Ipoh.

Katanya, ketika menjawab soalan terakhir dalam temu bual itu: "Islam bagi saya adalah agama yang tidak boleh dibandingkan dengan agama lain. Islam tidak bersifat perkauman. Saya sangat gembira merasmikan majlis itu." Bekas Timbalan Ketua Pengarang Kumpulan BH, Ahmad Tajuddin Baharuddin, turut mengingati peranan Yuet Leng ketika tilawah itu selain menyifatkan mendiang sebagai antara wira negara dalam erti kata sebenar.

Mesra media 

"Yuen adalah antara pegawai polis yang saya kagumi. Beliau memahami bagaimana melaksanakan tugas dan melakukannya dengan baik. Beliau juga mesra media dan tahu bagaimana caranya untuk mendapatkan kerjasama wartawan. "Saya berpendapat, beliau amat mahir dalam taktik perang psikologi.

Oleh kerana tugasnya, beliau memang menjadi sasaran komunis. Beliau dikawal rapi ketika pergi balik dari rumah ke pejabatnya menggunakan kereta Volvo bercermin gelap kalis peluru. "Beliau melakukan banyak pengorbanan dan disebabkan usahanya dari segi perisikan, mungkin menyelamatkan ramai anggota keselamatan yang perlu masuk ke hutan untuk memerangi gerila komunis, selain penyiasat SB yang menjejaki musuh di bandar," katanya.

INFO 

Mendiang Yuen Yuet Leng

Lahir: 15 September 1927

Asal: Larut Matang, Perak

Pendidikan: Senior Cambridge, Cambridge University, United Kingdom

Pengalaman kerja: Ketua Polis Perak (1976-1981) dan Pesuruhjaya Polis Sarawak (1981-1984)

Penerima Anugerah Tokoh Malaysia pada tahun 2010

Isteri: Puan Sri Chan Choy May, 68,

Anak: Susan Yuen Sumin, 56, dan Marina Chan Chean Gaik, 54,



Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/87286
0 Komentar untuk " Tan Sri Yuen Yuet Leng: 'Saya orang Melayu, Cina dan India' "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ