Merangsang Inovasi dan Gangguan Kreatif-Melangkaui Ekonomi - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Merangsang Inovasi dan Gangguan Kreatif-Melangkaui Ekonomi

APABILA Tan Sri Azman Mokhtar menjemput saya untuk berucap pada majlis makan tengah hari ini, dengan secara uniknya yang kita semua suka dan tahu - "Silakan bercakap apa sahaja yang awak suka. Namun, perlu diingatkan ratings Forum Khazanah Megatrends ini adalah PG, bukannya X." Saya rasa Tan Sri Azman mengikuti Instagram saya. Namun begitu, beliau betul. Sesetengah pandangan saya mengenai isu semasa dianggap tidak sesuai untuk didengar, oleh individu dewasa yang menentukan perkara sebegini. Saya akan kembali kepada isu ini kemudian.

Tema Khazanah Megatrends tahun ini adalah mengenai 'inovasi' dan 'gangguan kreatif' dan tema itu diperhalusi dengan komprehensif pagi ini. Dalam 30 minit berikutnya, saya mahu berkongsi dengan anda sebahagian cerita peribadi dan anekdot, serta perspektif mengapa Malaysia masih kecewa dalam usahanya menggapai pencapaian lebih hebat dalam inovasi serta kreativiti, risiko dan perjalanan, etika dan integriti dalam ekonomi.

Cara berfikir tentang masalah ini menjuruskan kepada rumusan sama apabila saya berfikir mengenai isu utama negara yang lain - kita mesti menangani 'elephant in the room' atau hakikat yang dinafikan. Sebagai veteran perbankan selama 25 tahun, saya menjadi orang pertama mengakui bahawa bank lemah dalam menyediakan sokongan bukan hanya dalam inovasi, malah banyak idea kreatif. Antara yang terselamat bagi menceritakan kisah ini, adalah dua rakyat Malaysia, yang beberapa tahun lalu datang berjumpa saya untuk membeli syarikat penerbangan pada harga RM1 bagi membina sebuah syarikat penerbangan tambang rendah serantau. Saya menunjukkan mereka pintu keluar dengan pantas dan agak kasar, dan hanya kembali mesra dengan mereka apabila AirAsia berjaya dan merancang pelaksanaan tawaran awam permulaannya (IPO).

Selain itu, eksperimen industri perbankan bagi syarikat permulaan dan syarikat teknologi tidak berjalan dengan baik. Bank secara definisi masih konservatif, terlalu dikawal selia serta dipenuhi dengan ahli perbankan. Pada pertengahan 1990-an, berikutan kurangnya akses kepada modal bagi syarikat permulaan teknologi, saya diminta untuk mempengerusikan 'Jawatankuasa Bertindak Industri' bagi menubuhkan MESDAQ (Bursa Dagangan Sekuriti dan Sebut Harga Automasi Malaysia), atau NASDAQ versi Malaysia.

Malah, sebelum negara ada syarikat modal teroka dan teknologi yang bereputasi, kita sudah membuat keputusan untuk menubuhkan sebuah bursa saham. Banyak wang dibelanjakan untuk pasaran baharu itu apabila ia sepatutnya hanya menjadi satu lagi papan saham di Bursa Malaysia, ia sepatutnya eksperimen murah yang gagal. Sehingga hari ini, saya menyesal untuk tidak 'menidakkan' projek ini, namun ia pengajaran awal yang bagus untuk saya dan mungkin inilah sebab mengapa saya berasa sukar untuk menutup mulut.

Ketika bank dan pasaran modal gagal, kerajaan secara umumnya menyediakan wang yang banyak kepada syarikat permulaan dan teknologi secara umumnya. Dana seperti Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC) dan beberapa syarikat modal teroka diberikan dana oleh kerajaan. Wang itu sendiri bukanlah satu masalah. Masalahnya adalah kita tidak pernah mempunyai keupayaan institusi untuk memperuntukkan wang dengan berkesan, memandangkan rangkaian dan pengantara tempatan kurang pengalaman, berbanding membina institusi besar yang mempunyai skala ekonomi dan kerjasama dengan pengalaman serta rangkaian antarabangsa.

Bagaimanapun, hari ini, dari segi pandangan modal, saya merasakan kekecewaan semakin berkurangan di pihak bakal usahawan. EKUINAS, sebagai contoh, mempunyai skala dan memanfaatkan pengurus dana profesional dengan baik. Syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) sudah berkembang untuk menggunakan standard antarabangsa terbaik dalam melabur dan menggaji profesional lebih baik bekerja untuk mereka dan syarikat dilabur. Pemodal ekuiti persendirian dan pemodal teroka juga semakin bertambah untuk menggantikan bank serta menawarkan struktur ganjaran dan risiko lebih berkesan. Sudah pasti ada ruang untuk diperbaiki.

Saya mahu melihat lebih banyak dana disediakan kepada syarikat lebih kecil serta memberi perhatian mengenai bagaimana untuk menggalakkan GLIC menyokong syarikat kecil dengan lebih baik. Saya juga menggesa supaya kita melihat bagaimana untuk menjadikan bank kurang terbeban untuk menjadi pelabur dalam dana ekuiti persendirian, memandangkan ada perbezaan dari segi keperluan dalam ekonomi sedang pesat membangun berbanding pasaran maju di mana peraturan baharu berkenaan dihasilkan. Inovasi adalah mengenai tiga perkara iaitu pandangan, idea dan pelaksanaan. Melangkaui modal, usahawan perlukan panduan dalam membantu mereka meneroka. Malaysia mempunyai Taman Teknologi Malaysia dan lain-lain, malah baru-baru ini Pusat Inovasi dan Kreativiti Malaysia (MaGIC), dengan pelbagai cerita kejayaan.

Saya merasakan satu perkara yang kurang adalah elemen antarabangsa bagi meletakkan mentor. Adalah tidak realistik untuk membina perniagaan mapan berasaskan dinamik domestik semata-mata dalam era integrasi ekonomi ASEAN dan dunia yang semakin menjadi tanpa sempadan. Inilah sebabnya saya dan beberapa individu menubuhkan sebuah pertubuhan bukan keuntungan, Endeavour Malaysia pada 2013.

Dengan kerjasama Endeavour Worldwide, kami mencari usahawan menerusi penilaian ketat dan proses temu duga dengan pengurusan tempatan, lembaga pengarah tempatan dan akhirnya lembaga pengarah antarabangsa Endeavour. Usahawan berjaya dilabel "Endeavour", diberikan mentor tempatan dan antarabangsa serta diberikan akses kepada rangkaian perniagaan antarabangsa, kira-kira 1,100 syarikat Endeavour di seluruh dunia. Endeavour Worldwide adalah mengenai usahawan berjaya yang berminat menyumbang semula dengan menyokong usahawan baharu.

Ia memerlukan seorang usahawan untuk mengenali usahawan lain dan ia memerlukan pengetahuan dari seluruh dunia untuk menilai prospek idea terbaik. Mentor tempatan bagi syarikat Malaysian Endeavour termasuklah Pengasas Bersama saya iaitu Afzal Rahim, Mark Chang, Brahmal Vasudevan dan Tony Fernandes. Model 'pemodal mentor' Endeavour berfungsi dengan sangat baik di Amerika Latin, di mana kisah kejayaan terbesarnya adalah MercadoLibre, menyerupai eBay. Marcos Galperin memulakan syarikat pada 1999 dan dipilih oleh Endeavour pada tahun itu juga.

Beliau mengembangkan perniagaannya merentasi benua dan syarikat itu kini disenaraikan di NASDAQ dengan permodalan pasaran kira-kira AS$4 bilion (RM17.4 bilion). Marcos adalah contoh terbaik bagaimana usahawan berimpak tinggi boleh mendapatkan impak menyeluruh terhadap ekosistem di sekelilingnya. Beliau kemudiannya menjadi Pengasas dan Ahli Lembaga Pengarah Endeavor selain model contoh, mentor serta pelabur langsung dalam syarikat yang sedang membangun.

Saya berharap kita boleh menambah dengan cepat enam syarikat Endeavour yang dimiliki setakat ini, namun secara keseluruhannya, usahawan tempatan kini mempunyai pilihan ekosistem yang wajar untuk membantu mereka. Jika kita mentakrifkan akses kepada modal dan ekosistem sebagai ekonomi, maka saya menganggap sejak beberapa tahun ini kita sudah menangani pelbagai isu ekonomi. Namun, masih tiada pencapaian sebenar.

Data terkini menunjukkan pertumbuhan produktiviti negara berkurangan daripada 2.7 peratus antara 2006 dan 2010 kepada 2.1 peratus antara 2011 dan tahun lalu. Satu lagi data membimbangkan termasuklah cerita dua kejayaan inovasi negara ialah GrabTaxi dan HappyFresh. Kedua-duanya bermula di Kuala Lumpur, namun sudah berpindah ke Singapura serta Indonesia atas pelbagai sebab. Semasa saya bertanya beberapa usahawan sama ada, jika diberikan pilihan, mereka akan memilih untuk beroperasi di Malaysia, kebanyakannya berkata 'tidak'; dan mereka yang berkata 'ya' biasanya terarah untuk menunjukkan sentimen kenegaraan.

Walaupun ia hanyalah kajian dasar saya, ia membimbangkan, kerana kita berisiko kehilangan syarikat terbaik yang dihasilkan. Maka, saya bertanya mereka yang mengatakan akan berpindah, apakah kebimbangan utamanya. Semua mereka bercerita tentang perkara yang melangkaui ekonomi hingga kepada gambaran besar dan ia bukan hanya berkiat kepada kebimbangan sendiri, malah juga mengenai persepsi bakal penyedia pinjaman serta rakan berpotensi antarabangsa. Pembabitan besar kerajaan dalam ekonomi adalah salah satu isu yang mereka kaitkan.

Kita sudah membincang dan bersetuju pada dasarnya dalam pelbagai platform untuk mengurangkan pembabitan kerajaan dalam perniagaan; namun data sejak beberapa tahun lalu menunjukkan perkara yang sebaliknya. Malah lebih penting adalah peranan kerajaan dalam memantau persaingan perniagaan iaitu peraturan yang ditetapkan dalam setiap sektor. Kebanyakannya sudah ditangani dalam Model Baharu Ekonomi (MBE) dan kita menunjukkan kemajuan dengan Program Transformasi Kerajaan (GTP) serta Suruhanjaya Penerbangan, contohnya. Namun, masih banyak perlu dilakukan.

Bidang lebih sensitif adalah mengenai persepsi bahawa orang ramai atau syarikat tidak berada setara dengan kerajaan, dan meskipun seseorang boleh menerima layanan keutamaan berdasarkan dasar tindakan afirmatif negara, peraturannya biasanya tidak jelas. Menambah kepadanya adalah budaya membuat keputusan dari peringkat atas ke bawah, malah dalam bidang inovasi sekali pun. Saya mahu berkongsi satu anekdot peribadi. Pada 2004, saya dilantik ke dalam Lembaga Pengarah InventQjaya, yang ditubuhkan oleh seorang yang mengaku sebagai ahli inovasi pintar, diberikan dana oleh kerajaan dengan wang serta bangunan pintar di Cyberjaya.

Saya menyertai dua lagi Pengarah Bebas iaitu Tan Sri Shahril Shamsuddin dan Datuk Sidek Ahmad. Daripada awal, kami merasakan ada perkara yang tidak betul dan apabila kami melaksanakan penilaian teknikal sendiri, ada banyak tanda tanya menyelubungi hak intelek syarikat yang dibeli pada harga mahal daripada syarikat ahli inovasi itu di Amerika Syarikat (AS). Titik peralihan pada saya adalah apabila beliau menunjukkan 'ciptaan terhebatnya' iaitu pintu kaca yang bertukar menjadi lutsinar dengan menekan butang.

Saya diberitahu! Pusat urut di Korea sudah memiliki barangan sebegitu itu sejak beberapa tahun sebelum itu. Shahril dan Sidek yang lebih berpengalaman dalam sains, berbanding saya, juga mendapati banyak perkara yang meragukan mengenainya.

Maka, saya bersama Pegawai Kementerian Kewangan, Datuk Abdul Rahim Mokti, akhirnya berpendapat cukuplah setakat itu; kami perlu melakukan tindakan yang sewajarnya. Sejujurnya, jika kita kami tahu betapa pedihnya bertindak sebagai pemberi maklumat, saya tidak pasti jika kami sanggup melakukannya! Tersimpan dalam memori saya, hari Shahril dan saya melaporkan kes itu kepada Peguam Negara. Selepas menghabiskan beberapa jam menunjukkan bukti, beliau dengan tenang berkata, "Awak ada membawa berus gigi?". Beliau berkata, berdasarkan pengalamannya, orang yang membuat tuduhan adalah pesalah sebenar, maka mungkin dia patut menahan kami! Maka, kami menghabiskan beberapa jam lagi untuk menjelaskan itu bukan perbuatan kami. Syukurlah, kami cukup meyakinkan.

Selepas memulakan proses institusi, kami dinasihatkan untuk berjumpa dan menerangkan kepada Tun Dr Mahathir Mohamad, yang menyokong teguh projek itu sebelum ini. Selepas pengalaman dengan Peguam Negara, kami terlalu takut, jadi kami mencari Tan Sri Nor Mohamed Yakcop dan merayu kepadanya supaya membawa berita bagi pihak kami. Saya diberitahu Tan Sri Nor melaksanakan tugas dengan hebat; Tun bersetuju bahawa kami melakukan perkara yang betul dan kami terselamat. Pihak berkuasa tidak dapat membuat tuduhan undang-undang terhadap pereka berkenaan. Banyak wang dibazirkan, namun lebih banyak yang boleh hilang dan kami, Pengarah yang dilantik oleh kerajaan, tidak melakukan tugas fidusiari dan sanggup memberitahu perkara yang benar.

Saya tidak pernah menjejaki sepenuhnya sejarah bagaimana dan mengapa InventQjaya bermula, namun saya diberitahu ia dengan ditubuhkan dengan cara mencari ruang kuasa dan meyakinkan Perdana Menteri. Idea Tun bagi sebuah pusat pembangunan dan penyelidikan disokong kerajaan adalah baik' masalahnya adalah bagaimana ia dilaksanakan. Sepatutnya perlu ada tender terbuka kepada saintis di seluruh dunia, sebagai contoh, berbanding kepercayaan penuh kepada seseorang yang menggunakan ancaman aksesnya kepada kuasa untuk melepaskan diri. Saya pasti ada cerita lain seumpamanya. Maka, kita perlu mengukur semula bagaimana koridor kuasa itu berfungsi, menubuhkan semula proses serta mengukuhkan penilaian serta pertimbangan institusi.

Sejak beberapa tahun lalu, kuasa menjadi terlalu tertumpu dan proses penilaian serta pertimbangan tidak berfungsi seperti sepatutnya. Satu lagi isu yang diketengahkan usahawan adalah modal insan. Saya tidak akan campur tangan dalam pembaharuan pendidikan, kerana ramai daripada yang tokoh terbaik seperti Tan Sri Azman, Tan Sri Zarinah Anwar, Tan Sri Jeffrey Cheah dan Tony adalah sebahagian daripada Panel Penilaian Sistem Pendidikan Negara yang dibentuk pada 2011. Daripada apa yang saya kumpul, isunya sangat difahami. Sudah pasti terdapat banyak kajian yang menunjukkan hubungan antara kecenderungan negara untuk berinovasi dan dasar pendidikan yang betul. Realiti politik pembaharuan pendidikan yang dilihat menyekat kita.

Dalam isu lebih luas mengenai mengekalkan bakat atau kehilangan bakat, sekali lagi sudah banyak yang dibincangkan melalui Talent Corp dan sebagainya. Namun, apabila saya bercakap dengan bakat terbaik tempatan di luar negara, kebanyakannya mengatakan sebab tidak kembali ke tanah air adalah sosiopolitik. Hakikat yang dinafikan sebenarnya adalah politik dan struktur sosio ekonomi, yang mana semakin meningkat sejak beberapa tahun lalu. Seperti disaksikan dalam dua pilihan raya umum lalu, sistem parti politik dominan yang kita ada sejak merdeka berdepan risiko.

Walaupun kita boleh merujuk kepada banyak negara yang mana peralihan kepada sistem pelbagai parti berlaku dengan aman, Malaysia mempunyai sistem yang unik dan rumit, dengan potensi gandingan bangsa dan agama termaktub dalam sistem politik; jadi kita tidak boleh mengambil ringan terhadapnya. Sementara itu, cadangan pembaharuan penting yang dibuat oleh golongan paling pintar seperti Majlis Penasihat Ekonomi Negara, yang membentangkan Model Baharu Ekonomi bagi mencadangkan pembaharuan struktur utama, dibekukan oleh politik.

Saya tidak cuba meramalkan akibat daripada corak trajektori politik di Malaysia. Namun, saya menjangkakan jika kita tidak melakukan pembaharuan struktur utama sosio-ekonomi negara dengan segera, kita mungkin akan tertewas dalam permainan ekonomi antarabangsa. Saya mencadangkan kita kembali kepada sejarah. Tidak terlalu jauh, iaitu pada saat kemeriahan dan hari yang penuh optimistik ketika saat-saat awal tahun Kemerdekaan. Sebaliknya, mari mengimbau tamparan pembinasaan hebat yang kita dialami pada 13 Mei 1969 iaitu satu hari yang sungguh hina dalam sejarah singkat negara kita.

Hari di mana kita meretakkan idealisme yang tidak bersalah dan memperkenalkan sifat sebenar 'Hobbesian' kepada kita. Berikutan tragedi berdarah itu, kerajaan mengisytiharkan darurat dan menubuhkan Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) yang diterajui Tun Razak selepas Parlimen dibubarkan. Lapan bulan kemudiannya pada Januari 1970, Tun Razak mempengerusikan Majlis Perundingan Negara yang pertama atau MAPEN, satu mesyuarat untuk mengkaji isu etnik, politik, ekonomi dan budaya yang mencetuskan provokasi episod 13 Mei dan menjejaskan perpaduan negara. Ahli MAPEN hanya terdiri daripada tiga menteri iaitu Tun Dr Ismail Abdul Rahman, Tun Tan Siew Sin dan Tun VT Sambanthan - selain wakil kerajaan negeri, ahli pertubuhan agama, badan profesional, kesatuan, persatuan guru dan parti politik - perwakilan yang seimbang mewakili jumlah penduduk negara.

Perbincangan MAPEN berlanjutan beberapa bulan lamanya dan menghasilkan dua dokumen yang amat penting untuk memacu negara selepas kejadian 13 Mei: Dasar Ekonomi Baharu (DEB) dan Rukun Negara. Susulan itu, kuasa Parlimen dikembalikan manakala DEB pula memacu pertumbuhan dan pembabitan kerajaan dalam perniagaan dengan penubuhan banyak agensi untuk memudahkan penagihan kekayaan secara seimbang dalam kalangan kumpulan etnik dan inisiatif membasmi kemiskinan, yang mana boleh dianggap sebagai satu kejayaan. Kejayaan DEB adalah antara ciri persidangan ini (Forum Khazanah Megatrends 2015) - inovasi, gangguan kreatif dan keterangkuman.

Maka, inilah hasilnya hari ini. DEB yang mula dibentuk sebagai program 20 tahun, kini kekal walaupun sudah 44 tahun berlalu, walaupun dalam pelbagai bentuk. Pada ketika sama, dunia yang kita diami sudah terlalu banyak berubah, tidak kurangnya dengan pengetahuan ekonomi baharu dan peralihan kuasa ekonomi daripada syarikat besar kepada individu berbakat dan memiliki daya keusahawanan.

Gambarannya dalam tempoh terdekat adalah menakutkan seperti yang dinyatakan oleh Charles Leadbeater (dalam Forum Megatrends Khazanah) pagi ini (Isnin). Rantaian pembekalan kini berubah secara dramatik dan pencetus gangguan kreatif kini semakin berkembang dalam ekonomi di mana ia tidak dikawal oleh kerajaan dan politik. Adakah sistem ekonomi kita dirangka dengan mapan sejak era 1970-an masih mampu memenuhi keperluan pada hari ini? Kita semua sebenarnya sedar perubahan besar-besaran sangat diperlukan - sudah ada banyak bahan bertulis untuk melakukan perubahan khususnya daripada kerajaan sendiri - namun pelaksanaannya kini disekat oleh hakikat politik.

Apa yang berlaku baru-baru ini adalah gejala tekanan sistemik. Seperti era selepas 13 Mei, saya percaya, kita sedang berdepan dengan satu cabaran nasional. Ketika itu, isu asas adalah perpaduan nasional. Bagaimanapun, kini dalam abad ke-21, parameternya sudah semakin melebar. Masih banyak perlu dilakukan untuk mencapai perpaduan nasional dan pembentukan identiti rakyat Malaysia. Namun, kini ia diburukkan lagi dengan masalah daripada isu etika kepada amalan, malah usaha kita memacu inovasi dan kreativiti sudah cabaran nasional. Kami sangat memerlukan satu program baharu mereka bentuk kembali ekonomi dan sosial untuk disesuaikan dengan cabaran hari ini dan Malaysia ketika ini.

Dengan rendah hati saya mencadangkan - kini tiba masanya untuk kita menubuhkan kembali satu Majlis yang menyamai MAPEN. Mari kita menggelarkan ia sebagai Majlis Perundingan Negara 2 atau MAPEN2. Sekadar meminjam contoh dari sejarah, marilah sekali lagi kita mengumpulkan individu terbaik dan cemerlang dikalangan kita di Malaysia untuk berganding bahu dan membincangkan pilihan kita.

Mari kita pastikan MAPEN2 tidak berbeza seperti MAPEN yang pertama dari segi penyertaan daripada semua ahli dalam masyarakat di Malaysia. Keahliannya perlulah secara terangkum, melaksanakan perbincangan yang meluas dan menyediakan laporan ringkas tetapi praktikal untuk dilaksanakan. Dan ia seharusnya dipimpin oleh seseorang atau sekumpulan individu yang memiliki keupayaan moral untuk membawa kebaikan dan kehebatan dalam rundingan ini demi masa depan negara yang baharu. Idea asal saya bagi fungsi MAPEN2 masih diperkembangkan.

Secara kasarnya, saya ingin mencadangkan pembentukan enam panel untuk membincangkan isu kritikal iaitu:

*Pembaharuan Perlembagaan;

*Pembaharuan Pilihan Raya;

*Pembaharuan Ekonomi - bersama tindakan yang dipersetujui, peranan kerajaan;

*Perpaduan Kebangsaan dan kontrak sosial;

*Pemeliharaan dan pengukuhan integriti persekutuan; dan,

*Integriti institusi - memantau dan mencari keseimbangan antara pelbagai cabang kerajaan dan dalam kerajaan itu sendiri.

Saya tidak rasa bersalah jika mengambil contoh MAPEN daripada Allahyarham bapa saya. Seperti yang saya nyatakan sebelum ini beliau adalah seorang rakyat berjiwa Malaysia, dan seorang penjawat awam yang sangat ekstrem untuk memenuhi definisi itu. Saya percaya legasinya yang menyeluruh, kesederhanaan dan visi serta identiti Malaysia adalah lebih relevan pada hari ini berbanding ketika ia dilaksanakan pada era kegelapan selepas 13 Mei.

Seperti yang saya katakan pada awal ucapan ini, terdapat orang matang yang berpendapat pandangan saya dalam hal ehwal semasa ini adalah tidak stabil. Dan mereka akan mencari 1,001 motif dalam cadangan saya berhubung MAPEN2 berbanding apa yang saya baru nyatakan sebentar tadi. Itu adalah hak mereka. Sama seperti hak saya untuk menyatakan kita boleh dan perlu mendahulukan negara - politik, ekonomi dan sosial - diselaraskan

Kita perlu menyelesaikan isu hakikat yang dinafikan . Malaysia memerlukan gangguan inovasi dan kreatif dalam skala nasional untuk menjamin masa depan dan menyedari potensi sebenar negara kita. Kita sudah berjaya melaksanakannya dulu; kini kita perlu lakukannya sekali lagi. Terima kasih atas perhatian anda semua, dan saya percaya saya mengekalkan rating 'PG' seperti yang diminta.

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/86998
0 Komentar untuk " Merangsang Inovasi dan Gangguan Kreatif-Melangkaui Ekonomi "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ