Minoriti Islam Kemboja perlu bantuan, suntikan semangat - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Minoriti Islam Kemboja perlu bantuan, suntikan semangat

HANYA setahun sekali dapat merasai keenakan daging lembu atau langsung tidak pernah dapat menikmati keenakan juadah itu. Jika di Malaysia tentunya agak mustahil bagi mereka yang bukan mengamalkan pemakanan sayur-sayuran dalam hidup. ]

Namun, itulah hakikatnya bagi masyarakat Islam minoriti di Kemboja yang kebanyakannya terdiri daripada golongan miskin dan daif. Justeru, atas nama kemanusiaan dan saudara sesama Islam, rakyat negara ini sejak sekian lama 'berkampung' di negara itu setiap kali Aidiladha untuk melaksanakan ibadah korban.

Tidak ketinggalan Persatuan Kakitangan Perkhidmatan Ugama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (PKPU JAKIM) yang sudah tujuh tahun berturut-turut melaksanakan ibadah korban di bumi Kemboja.

Bukan hanya membawa amanah daripada ahli, tetapi juga masyarakat yang turut mengambil bahagian dalam ibadah korban, persatuan itu turut membawa peserta korban untuk menyaksikan sendiri ibadah itu dilaksanakan.

Yang Dipertua PKPU JAKIM, Paimuzi Yahya, berkata tahun ini, PKPU JAKIM berjaya membawa bahagian korban sebanyak 148 lembu dan empat kambing dengan penyerahan pengurusan kepada Cambodia Muslim Intellectual Alliance (CMIA) sebanyak 100 lembu dan selebihnya kepada Pejabat Mufti Kemboja untuk diagihkan ke seluruh negara itu.


IBADAH korban oleh PKPU JAKIM di Kemboja. 

Bawa peserta lihat kemiskinan masyarakat Islam Kemboja 

"Setiap tahun kami turut membawa peserta ibadah korban termasuk ahli dan orang ramai yang berminat untuk melihat sendiri dengan lebih dekat kemiskinan masyarakat minoriti Islam di Kemboja dan Vietnam.

"Ada peserta yang terkejut kerana melihat kedaifan sekolah yang kadangkala menempatkan sehingga 50 pelajar satu kelas. Mereka di sini bukan hanya memerlukan bantuan fizikal, tetapi suntikan semangat dan kesedaran daripada kita saudara yang lebih bernasib baik," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Bagaimanapun, Paimuzi yang juga Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) berkata tahun ini sambutan agak berkurangan berbanding tahun sebelum ini dan tidak menolak faktor ekonomi turut memainkan peranan walaupun harga korban ditawarkan pihaknya agak rendah berbanding lain.

Nasihatnya, masyarakat Islam perlu memastikan organisasi atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang sah dan diyakini menguruskan ibadah korban di luar negara kerana bimbang ada pihak yang mengambil kesempatan menyalahgunakan wang korban.

Tanpa meminggirkan rakyat tempatan, PKPU JAKIM turut menghulurkan bantuan kepada ahli dan rakyat negara ini yang ditimpa musibah seperti bencana alam. Ketika banjir besar di Kelantan dan Terengganu, tahun lalu, PKPU JAKIM turut menghantar bantuan berupa wang ringgit serta peralatan dan menyumbang tenaga membantu mangsa banjir.

Guru matematik Sekolah Menengah Kebangsaan Abaka Tawau Sabah, Lakarami Lamadiangi memanjatkan kesyukuran kerana dapat mengumpulkan wang wakaf sumbangan pelajarnya yang juga dalam kalangan anak pekebun pada saat-saat akhir sebelum beliau bertolak ke Kemboja menyertai ekspedisi korban itu.

"Dalam tempoh singkat, kami dapat mengumpulkan RM1,700 sumbangan daripada pelajar sekolah. Selain itu, guru serta masyarakat setempat turut menghulurkan sumbangan yang membolehkan kami membeli lapan pam air yang berharga AS$200 (RM880) setiap satu. Selain itu, rakan serta masyarakat setempat turut menyumbangkan 31 bahagian korban dan wang tunai RM2,000.

"Apa yang lebih membanggakan dan menyentuh hati saya adalah kebanyakan pelajar adalah dari keluarga yang susah, tetapi mereka tidak lokek berkongsi wang saku dengan mereka yang tidak bernasib baik. Saya merakamkan perjalanan ini dan akan berkongsi pengalaman berharga ini dengan pelajar saya," katanya.


AHLI rombongan PKPU bersama jawatankuasa Komuniti Islam Bandar Ho Chin Minh, Vietnam. 

Terima kasih kepada rakyat Malaysia 

Penduduk Kampung Suay Bakau, wilayah Kampong Chnang, Kemboja, Fatimah Husin, 50, turut meluahkan rasa terima kasih tidak terhingga kepada rakyat Malaysia yang sanggup datang dari jauh ke kampungnya untuk melaksanakan ibadah korban.

"Ini adalah kali pertama kami menerima tetamu dari Malaysia. Saya rasa sangat terharu kerana dapat merasa makan daging korban yang dimasak secara bergotong-royong. Kami juga diberikan dua kilogram satu keluarga. Saya akan menghiris daging korban ini dan meletakkan garam sebelum menjemurnya supaya lebih tahan lama kerana rumah tiada elektrik. "Tetapi rasanya seminggu dua tentu habis kerana ahli keluarga saya ramai dan kami amat bersyukur kerana hanya lazimnya pada Aidiladha saja kami dapat merasa daging," katanya.

Anjur seminar 

Ibarat menyelam sambil minum air, sambil melakukan ibadah korban di Kemboja, PKPU JAKIM turut tidak ketinggalan menganjurkan Seminar Profesionalisme Imam dan Guru Agama Islam Kemboja yang dihadiri kira-kira 100 imam dan guru agama dari seluruh negara itu. Seminar yang diadakan dengan kerjasama Majlis Tertinggi Pimpinan Umat Islam Kemboja, Jabatan Perdana Menteri Kemboja adalah untuk menyuntik kesedaran dan motivasi peserta mengenai keperluan pembangunan pendidikan dan dakwah.

Dikendalikan pegawai dari JAKIM, seminar itu turut mendedahkan peserta kepada kemahiran pengurusan masjid dengan lebih sistematik. Sumbangan PKPU JAKIM tidak hanya berakhir di Kemboja. Amalan murni diteruskan di Vietnam. Di negara itu, PKPU JAKIM turut mengambil kesempatan melawat bangunan Komuniti Islam Ho Chin Minh di bandar Ho Chin Minh serta menyampaikan sumbangan daripada Yayasan Taqwa Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan serta rakyat Malaysia untuk tujuan dakwah.


PELAJAR Sekolah Antarabangsa Al Rahman di Phom Penh, Kemboja.​ 

Wang lebihan korban bina kompleks wakaf 

Bermula dengan wang lebihan urusan ibadah korban di Kemboja, dengan hanya kira-kira RM20 hingga RM50 bagi setiap bahagian, Persatuan Kakitangan Perkhidmatan Ugama (PKPU) Jabatan Kemajuan Agama Islam (JAKIM) memanfaatkan lebihan itu dan menjadikan ia sebahagian hasil wakaf perbelanjaan membina Kompleks Wakaf Pendidikan di daerah Phum 4, Phnom Penh, Kemboja.

Kompleks yang dibina oleh Cambodia Muslim Intellectual Alliance (CMIA) hasil bantuan sumbangan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan dermawan dari Malaysia, Turki dan negara Arab direalisasikan dengan perasmian Sekolah Antarabangsa Al Rahman di tapak tanah wakaf di daerah Phum 4, Phnom Penh, baru-baru ini. Lebih manis, projek yang direstui kerajaan Kemboja itu turut dirasmikan Timbalan Komander Tentera Kemboja yang juga anak kedua Perdana Menteri Hun Sen, Leftenan Jeneral Hun Manet.

Kumpul wang lebihan sejak tahun 2011 

Menceritakan latar belakang pembabitan PKPU JAKIM dalam projek wakaf itu, penasihat persatuan itu, Mohamed Nordin Ibrahim ketika ditemui berkata pihaknya mula mengumpul wang lebihan urusan korban sejak tahun 2011 lagi selepas Pengerusi CMIA, Mohamad Farid Hosen mengunjungi JAKIM untuk memohon bantuan bagi pembinaan projek wakaf itu.

"Ketika itu, Ustaz Mohamad Farid berjumpa dengan bekas Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abd Aziz dan mengutarakan cadangan projek wakaf itu. Kita nampak beliau mempunyai jiwa dakwah yang besar dan tidak salah sebagai saudara seagama kita turut membantu," katanya.

Nordin yang juga Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) JAKIM berkata selain daripada wang lebihan korban setiap tahun yang dijalankan PKPU, pihaknya turut memberi kebenaran kepada pihak CMIA untuk membuka kaunter pungutan wakaf di masjid dan pejabat di bawah seliaan JAKIM, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

 "Kita berharap kerjasama antara PKPU JAKIM dan CMIA akan berterusan kerana tujuan utama kita adalah mahu membantu saudara seagama mendapat pendidikan terbaik yang sekali gus mampu membolehkan mereka lebih berdikari membina ummah terutama bagi masyarakat minoriti," katanya. Pembabitan PKPU JAKIM di Kemboja bukan hanya terhad kepada pembinaan kompleks wakaf itu sahaja, tetapi juga projek membaiki sekolah, membangunkan kurikulum Islam, sumbangan gaji guru, sekolah tadika, membina Madrasah Quran Datuk Wan Mohamad Datuk Abdul Aziz di Kampung Phum Samber, Wilayah Kampong Cham dan pembelian tanah wakaf kebun getah.

Wang hasil kebun getah itu digunakan untuk membayar gaji guru dan pengurusan sekolah itu. Mohamad Farid yang turut berterima kasih atas sumbangan dari Malaysia itu, menyifatkan jalinan kerjasama antara kedua negara tanpa mengira sempadan itu membuktikan ukhuwah sesama Islam sangat utuh. "Dengan hasil sumbangan wakaf rakyat Malaysia menerusi PKPU JAKIM dan individu dari negara Arab, kita berjaya membeli tanah lebih satu ekar (0.4 hektar) yang sebelum ini adalah tapak kolam di tengah bandar Phnom Penh. "Memang ia sesuatu yang agak mustahil tanpa bantuan saudara kita ini kerana tanah di bandar yang berkeluasan 0.4 hektar ada sudah mencecah AS1 juta (RM4.42 juta). "Namun, dengan perancangan teliti, kita dapat membeli tanah dengan harga lebih rendah beberapa tahun lalu.

Cari dana wakaf 

Sebaik membeli tanah itu, usaha mencari dana wakaf diteruskan dalam kalangan NGO dan rakyat Malaysia sendiri banyak yang menyumbang menerusi kerjasama dengan PKPU JAKIM.

Sehubungan itu, pihaknya berharap sumbangan wakaf ini dapat diteruskan kerana kompleks itu baru siap bagi fasa pertama yang menempatkan bangunan dua tingkat dengan 10 kelas bagi pelajar peringkat tadika dan rendah. Projek itu disambung untuk membina prasarana bagi pendidikan menengah pula.

Bukan itu sahaja, hasilnya kerjasama antara PKPU dan CMIA itu berjaya mengumpulkan dana bagi pembelian tanah pertanian wakaf termasuk dua hektar kebun getah masing-masing di Kampung Sampor, wilayah Kampong Cham dan di Veal Toch, wilayah Tbong Khmom, setiap satu bernilai AS$15,000 (RM66,342).

Di bawah biasiswa yang ditawarkan Darul Quran, JAKIM, CMIA turut menghantar ramai pelajarnya untuk melanjutkan pengajian di Malaysia. Sehingga tahun lalu, CMIA menghantar 25 pelajarnya ke Darul Quran dan dua ke Turki.

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/87564
0 Komentar untuk " Minoriti Islam Kemboja perlu bantuan, suntikan semangat "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ