Hak asasi manusia keutamaan Islam - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Hak asasi manusia keutamaan Islam

"AKU berwasiat/berpesan kepada kalian dan kepada diriku supaya bertakwa kepada Allah. Maka berjayalah orang yang bertakwa." Seruan ittaqullah (bertakwalah kamu kepada Allah) diingatkan saban minggu dalam khutbah Jumaat. Berbekalkan pesanan dan nasihat kepada jemaah supaya bertakwa kepada Allah SWT, Ustaz Mohd Meeftah Anuar berkongsi kehebatan khutbah dalam membangunkan umat yang suka berpesan-pesan menerusi Islam Itu Indah di IKIMfm, Rabu, jam 10.15 pagi. Rasulullah SAW bersabda daripada Ibn Umar: "Jadilah kamu di dunia seperti orang asing atau orang yang mengembara." (Riwayat al-Bukhari)

Sebagai hamba Allah SWT, perlu kepada sikap zuhud dan sedar bahawa kehidupan adalah suatu pengembaraan dan perjalanan ke syurga-Nya. Maka, jauhi daripada mementingkan dunia atau tamak dengan dunia. Sebaliknya, sibukkan diri dengan perkara yang memberi faedah jangka panjang dan saling ingat mengingatkan antara satu sama lain mengenai tujuan kehidupan di dunia ini. Antar caranya menerusi penyampaian khutbah.

Nasihat, maklumat 

Khutbah membawa maksud perkataan yang disampaikan di atas mimbar. Sebahagian ulama mendefinisikan khutbah sebagai perkataan tersusun yang mengandungi nasihat dan maklumat. Terdapat beberapa jenis khutbah iaitu khutbah Jumaat, khutbah dua hari raya, khutbah Arafah, gerhana, Istisqa dan khutbah nikah. Rasulullah SAW bersabda: "Wahai manusia, dengarlah baik-baik apa yang hendak kukatakan! Aku tidak mengetahui apakah aku dapat bertemu lagi dengan kamu semua selepas tahun ini.

Oleh itu, dengarlah dengan teliti kata-kataku ini dan sampaikanlah ia kepada orang yang tidak dapat hadir di sini pada hari ini." Awal bicara pesan terakhir Rasulullah SAW kepada ribuan jemaah haji pada 9 Zulhijah tahun 10 hijrah yang juga haji wida' di Lembah Uranah, Bukit Arafah. Hebatnya mukjizat Rasulullah SAW itu tiada rasa jemu setiap kali khutbah itu dibacakan. Khutbah Hujjatul Wada penting kerana dalamnya terkandung mesej yang perlu difahami, diingati dan diikuti umat Islam walaupun selepas kewafatan Rasulullah SAW. Jika diamati, hampir semua mesej disampaikan Baginda menyentuh hubungan sesama manusia.

Antaranya, berkenaan hak asasi manusia iaitu kesucian darah manusia yang tidak patut ditumpahkan ke muka bumi dengan sia-sia. Semua insan harus bersama menjaga kesucian itu seperti khutbah Baginda: "Wahai manusia! Darah dan harta kamu mesti dihormati sehingga kamu bertemu kembali dengan Tuhan kamu. Ia mesti dihormati seperti kehormatan hari kamu ini (hari Arafah) dan kehormatan bulan kamu ini (bulan haram Zulhijah)."

Justeru, Ustaz Miftah berpesan untuk sentiasa menjaga kesucian Zulhijah dan bumi Makkah terutama bagi yang menunaikan ibadah haji. Hindari daripada berkata buruk mengenai Kota Suci apatah lagi menunjukkan akhlak buruk ketika berada di sana seperti merempuh, bergaduh dan bertolak-tolakan ketika melakukan ibadah.

Mesej kedua terkandung dalam khutbah itu menyebut mengenai penjagaan harta. Ia menekankan kesucian harta milik seseorang sepatutnya tidak diganggu atau diambil individu lain tanpa persetujuan pemiliknya. Maka, kembalikan hak kepada pemiliknya. Rasulullah SAW memandang berat mengenai hutang sebagaimana sabdanya: "Diampunkan semua dosa bagi orang mati yang terkorban syahid kecuali jika ia mempunyai hutang (kepada manusia)." (Riwayat Muslim)

Baginda menambah dalam khutbahnya, "Semua amalan riba dihapuskan. Namun kamu berhak memiliki modal kamu tanpa kamu menzalimi atau dizalimi. Allah menetapkan tiada riba (lagi diamalkan)." Jelas, Islam menolak sekeras-kerasnya amalan riba kerana menindas peminjam dengan mengenakan bayaran kembali dalam jumlah melebihi modal dipinjamkan. Ini menzalimi peminjam yang kemungkinan besar masih kesempitan wang.

Rasulullah SAW juga menyebut hak wanita dalam hubungan suami isteri dan masyarakat. Baginda SAW bersabda: "Wahai manusia! Kamu mempunyai hak ke atas isteri kamu dan mereka pula mempunyai hak ke atas kamu." Wanita berhak ke atas suaminya menerima nafkah zahir dan batin termasuk tempat berlindung, pakaian serta hubungan intim suami isteri. Wanita juga tidak boleh dijadikan hamba dan ditindas dalam institusi kemasyarakatan.

Baginda SAW berkata: "Jika mereka melakukannya (kejahatan atau kemungkaran), Allah membenarkan kamu untuk meninggalkan tidur dengan mereka dan memukul mereka dengan pukulan tidak keras. Jika mereka berhenti daripada perbuatan ini, mereka berhak mendapat rezeki dan pakaian yang baik. Terimalah pesanan aku untuk berbuat baik dengan wanita ini. Mereka adalah pembantu kamu. Mereka tidak memperoleh apa-apa bagi diri mereka. Kamu mengambil mereka sebagai amanah Allah serta menghalalkan kemaluan mereka dengan kalimah Allah."

Berpegang kepada al-Quran, sunah 

Seterusnya Baginda SAW berpesan supaya berpegang kepada dua sumber utama Islam iaitu kitab al-Quran dan sunah kerana ia tidak akan menyesatkan dan tidak hilang sehingga kiamat. Sabda Baginda: "Fahamilah sabdaku ini, wahai manusia! Sesungguhnya aku sudah menyampaikan. Aku tinggalkan kepada kamu satu perkara yang jelas, jika kamu berpegang teguh dengannya, kamu tidak akan sesat selama-lamanya, (yakni) kitab Allah dan sunah nabi-Nya." Akhirnya Rasulullah SAW berpesan bahawa semua umat Islam itu bersaudara dan mesti saling mengingati dengan melakukan dakwah, mengingatkan supaya kekal di jalan lurus dan tidak terpengaruh dengan amalan hidup kekafiran. Sabda Baginda: "Wahai manusia! Dengar dan fahamilah sabdaku. Kamu tahu bahawa setiap orang Islam saudara (bertanggungjawab) kepada orang Islam yang lain. Sesungguhnya orang Islam bersaudara." Penulis ialah Penerbit Rancangan Kanan IKIMfm.

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/87284
0 Komentar untuk " Hak asasi manusia keutamaan Islam "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ