Ini hari terakhir bayar zakat - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Ini hari terakhir bayar zakat

SETELAH mencatatkan pelbagai peristiwa suka duka selama 12 bulan, 2014 akan melabuhkan tirainya malam ini dan esok 2015 pula akan menyingkapkan tabirnya, untuk mempersembahkan berbagai peristiwa baru.

Apakah bentuk persembahan dan cabaran yang bakal berlaku dalam tahun baru itu, sama-samalah kita tunggu, lihat dan alami. Doakanlah yang terbaik.

Yang pasti ialah tahun 2014 memang akan terus dikenang sebagai tahun air mata.

Ia bermula dengan tangisan mereka yang kehilangan 239 anggota keluarga, sanak-saudara dan sahabat handai dalam pesawat MAS MH370 yang hilang secara mistri sejak 8 Mac lalu.

Pesawat Boeing 777 itu berlepas dari Kuala Lumpur jam 12.41 pagi Sabtu dan dijangka mendarat di Beijing jam 6.30 pagi yang sama apabila ia hilang daripada radar.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan kemudian bahawa pesawat itu berakhir di Lautan Hindi. Sehingga hari ini pelbagai usaha dijalankan dan macam-macam cerita disebarkan.

Doa terus dibaca, harapan berterusan, tetapi bayang pesawat itu masih tidak dapat dikesan. ALLAH sahaja yang tahu di mana ia berada.

Empat bulan kemudian, pada 17 Julai, rakyat seluruh negara mengalirkan air mata sekali lagi apabila pesawat MAS, MH17, ditembak jatuh di timur Ukraine ketika dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur dengan 298 penumpang dan kru.

Antara  penumpang pesawat itu ialah 193 warga Belanda dan 44 rakyat Malaysia.

Di hujung-hujung tahun 2014, rakyat dirundung malang lagi. Kali ini seluruh negara dicengkam kesedihan apabila beberapa negeri dilanda banjir. Tanah runtuh, kediaman rosak, kenderaan dan lain-lain harta benda musnah, bahkan nyawa turut hilang akibat bencana banjir itu.

Ketika melalui jalan yang merentasi beberapa kawasan kampung di antara Bota Kanan dan Kampung Gajah di Perak yang dilanda banjir pada suatu malam minggu lalu, saya dapat melihat penduduk, termasuk warga emas, wanita dan kanak-kanak, yang meranduk air atau duduk di kawasan tinggi di luar rumah dalam keadaan kesejukan apabila rumah-rumah mereka dinaiki air.

Saya boleh faham kesengsaraan dan kesedihan yang mereka alami.

Jumlah keseluruhan mangsa banjir hingga pagi semalam di Kelantan, Perak, Terengganu, Pahang dan Johor adalah seramai 230,509 orang.

Situasi di Kelantan didapati paling teruk, bahkan keadaan banjir di negeri itu dianggap lebih buruk daripada yang berlaku pada 1967.

Banjir pada 1967 dikatakan yang kedua terbesar pernah melanda Kelantan; yang paling besar ialah banjir pada tahun 1926 yang dikenali sebagai Bah Merah.

Kita tidak tahu apa rahsia atau hikmah di sebalik kejadian-kejadian ini. ALLAH sahaja yang mengetahuinya.

Barangkali kita perlu terus bersatu hati dan menggembleng tenaga, tanpa mengira latar belakang dan fahaman politik, demi kesejahteraan rakyat, seperti apa yang kita saksikan ketika bencana banjir sekarang ini, terutama di Kelantan.

Baguslah kita ketepikan kepentingan politik dan diri; yang perlu adalah kerjasama.

Apa pun, sebagai khalifah di muka bumi, setiap kita perlu terus laksanakan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan kerana kita akan dipersoalkan oleh Yang Maha Esa.

Kalau kita seorang pemimpin, tidak kiralah di peringkat mana, barangkali kita perlu fikirkan apakah kita sudah tunaikan segala janji kita? Pernahkah kita berbohong untuk melepaskan diri daripada dipersoalkan mengenai janji yang kita taburkan?

Kalau kita majikan, apakah kita sudah berlaku adil kepada pekerja dalam memberi layanan dan pembayaran, tanpa memerah keringat pekerja secara melampau?

Kalau kita makan gaji, apakah kita sudah menjalankan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan rakyat dan pihak berkuasa dengan sebaik mungkin, tanpa mencari ruang untuk mencuri tulang, menyeleweng atau membuat tuntutan secara haram?

Sebagai hamba ALLAH, apakah kita sudah tunaikan tanggungjawab kita kepada Pencipta kita yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang itu? Apakah dalam 365 hari itu, kita tunaikan solat lima waktu setiap hari, atau kita solat ikut mood sendiri sahaja?

Natijahnya, tiada seorang pun daripada kita akan terlepas daripada menjawab kepada ALLAH tentang apa yang kita lakukan dan apa yang tidak kita lakukan.

Akhir kalam, sudahkah kita bayar zakat pendapatan, harta dan simpanan tahun ini? Jika belum esok adalah hari terakhir untuk  berbuat demikian. Insya-ALLAH.

0 Komentar untuk " Ini hari terakhir bayar zakat "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ