Untuk kita yang tidak jadi mangsa - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Untuk kita yang tidak jadi mangsa

PADA saat ini, kita berbicara mengenai banjir yang jauh lebih dahsyat daripada tahun-tahun sebelum ini. Ia bukannya tengkujuh dan banjir tahunan yang lazim rakyat Malaysia lalui ~ hujan turun, air naik, berpindah ke pusat bantuan, pulang setelah air surut, bersihkan rumah dan teruskan kehidupan seperti biasa.

Banjir pada tahun ini begitu mencemaskan. Hujan turun tidak mahu berhenti, air naik di tempat yang tidak bah, ramai yang lari sehelai sepinggang kerana tak sangka tempat mereka banjir, air mengganas laju dan bantuan dengan bot tidak boleh dilakukan, helikopter tidak boleh mendarat kerana tiada tanah kering, bantuan tak boleh dicampak ke bawah kerana bumbung rumah kebanyakannya berbentuk ‘A.’ Suasana bagai berdepan dengan tsunami.

Selain daripada pihak berkuasa, NGO dan orang awam pun turut menghantar bantuan kelengkapan diri dan makanan. Tetapi, bantuan lambat sampai kerana kenderaan berat pun sukar bergerak kerana jalan raya ditenggelami air.

Yang mahukan pertolongan tidak dapat dibantu, yang hendak membantu pun tidak boleh berbuat apa-apa.

Banjir bukannya kemuncak peristiwa. Kemuncaknya apabila air mula surut. Ada yang pulang melihat rumah yang hanya tinggal tangga.

Kereta dengan tayar ke atas. Tilam yang tersimpan di atas siling pun kelihatan lembab kerana air sudah menenggelamkannya. Barangan elektrik, satu pun  tidak hidup bila swis dipetik. Perabot sudah berserabut.

Banyak yang perlu diuruskan. Segala dokumen peribadi ~ surat beranak, surat nikah, surat perjanjian jual-beli rumah, resit-resit, bil-bil, buku sekolah dan kitab-kitab yang tersimpan kesemuanya perlu diganti dengan yang baharu.

Kerja memulihkan keadaan rumah seperti sediakala adalah kerja yang amat berat. Jika selut sudah sampai ke lutut, ia perlu dibersihkan segera kerana jika ia sudah membeku menjadi tanah, dua kali tenaga diperlukan untuk menolaknya.

Hendak memanggil juruelektrik datang ke rumah, dia mungkin sibuk menghidupkan bekalan di rumah sebelah.  Ah, betapa letih menulis kisah banjir ini.  Apatah lagi, mereka yang berdepan dengan situasi pasca banjir ini. Betapa berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.

Oleh kerana itu, kita yang tidak menghadapi banjir ini perlu insaf betapa bernasib baiknya kita. Tidak perlulah mengamuk sakan bila anak tumpahkan sedikit air sirap ke lantai. Tidak bolehlah mencebir bibir bila isteri lewat sedikit masak kerana dia kurang sihat.

Tidak moleklah komplen ke sana ke mari bila bekalan air terganggu kerana paip pecah.  Tidak cantiklah melolong setiap kali siaran bolasepak EPL di TV terganggu kerana cuaca kurang baik.

Itu semuanya masalah orang selesa. Tidak sebesar habuk pun dibandingkan dengan masalah mereka yang kehilangan sebahagian daripada semangat kerana menjadi mangsa banjir.

Sebaik-baiknya sibukkan diri untuk membantu mereka yang memerlukan. Kalau tidak boleh bergerak ke sana ke mari, menelefon ke sana-sini mengurus dengan mengumpul bekalan bantuan banjir daripada kawan-kawan, cukup sudah dengan menghantar bantuan melalui perbankan dalam talian ke mana-mana NGO yang bersedia mengkoordinasikan kiriman.

Jika tidak boleh juga, duduk diam sambil menonton televisyen mengikuti perkembangan banjir pun sudah memadai. Sekurang-kurangnya kita beristighfar setiap kali menonton malapetaka banjir yang melanda.

Tidak perlu penuh perasaan pula menjadi wartawan dengan menyebarkan apa sahaja yang dijumpai di laman sosial tanpa memeriksa kesahihannya. Cara itu bukannya membantu tetapi menghuru-harakan.

Jangan perasan diri menjadi keyboard warrior jika berita yang disampaikan itu tidak tentu hala, tidak beretika, malah tidak berakhlak. (Mengapa mereka ini diberi gelaran mulia sebagai keyboard warrior?)

Dalam pada itu, kalau pun ada kenalan atau saudara-mara yang menjadi mangsa, berilah ruang untuk mereka meratapi apa yang mereka alami. Sebahagian besar daripada mereka punyai emosi kesedihan yang perlu mereka lepaskan.  Selagi mereka tidak menjadi tak keruan, biarkan mereka dihurung kesedihan buat seketika.

Belum boleh lagi kita memberi motivasi dengan kata-kata penuh semangat. Hal-hal jatidiri, wawasan, semangat waja, metafora kata, membujur lalu melintang patah ataupun peribahasa patah sayap bertongkat paruh, belum diperlukan pada waktu ini.

Yang bersedih akan terus bersedih di dalam dunianya. Hanya setelah dia menoleh kerana sedar akan kehadiran kita, baharulah kita pegang tangannya, genggam bahunya lalu membisik kata dan nas membina semangat.

Semua perkara perlukan ruang masa. Kesemuanya juga akan berlalu bila sampai masanya. Banjir ada musimnya, kemarau ada tempohnya. Bersedih ada saatnya dan bergembira pun ada ketikanya.

Buat kita yang tidak menjadi mangsa, yang perlu kita ingat ialah, apakah kita akan menjadi mangsa di lain ketika? Simpatilah. Empatilah. Insaflah.


Layari http://www.maafcakap.blogspot.com untuk membaca artikel-artikel sebelum ini.

0 Komentar untuk " Untuk kita yang tidak jadi mangsa "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ