Tip tangani stres anak hadapi peperiksaan - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Tip tangani stres anak hadapi peperiksaan

SEKARANG musim peperiksaan, anak-anak kita ada yang baru selesai menghadapi SPM dan ada yang masih menduduki SPM dan STPM. Lazimnya musim peperiksaan akan memberikan tekanan atau stres, bukan sahaja kepada anak-anak yang menghadapi peperiksaan, tetapi stres juga dirasai oleh ibu bapa. Lebih kronik lagi cabaran ini, apabila ibu khususnya, yang akan lebih stres daripada anak yang menghadapi peperiksaan.

Lapan tip untuk mengelakkan anak stres menghadapi peperiksaan. Pertama, apabila anak hendak menghadapi peperiksaan ibu bapa jangan stres. Aura atau getaran minda dan hati ibu bapa yang stres akan dirasai oleh anak yang menghadapi peperiksaan.

Kedua, berdoa. Bagi mengelakkan ibu bapa stres ketika anak berada dalam dewan peperiksaan, yang akan memberikan impak negatif kepada anak, hingga anak tidak boleh memberikan tumpuan di dalam dewan peperiksaan, banyakkan berdoa ketika peperiksaan sedang berlangsung.

Dalam dewan peperiksaan yang sunyi itu, yang ada hanya anak kita dengan Tuhan. Doa ayah dan ibu mustajab. Maka berdoalah, “Ya Allah ya Tuhanku, berikan ingatan kepada ilmu yang pernah anakku pelajari dan yang dia tahu, izinkan anakku memilih soalan yang dia kuasai ilmunya, dapatlah dia menjawab dengan baik, dan engkau lapangkan serta tenangkan hatinya.” Boleh juga mengerjakan solat hajat dan membaca Surah Yasin.

Ketiga, sebut apa yang ibu bapa hendak anak buat sahaja ketika mula melangkah ke luar dari rumah ke sekolah, untuk menghadapi peperiksaan. Contohnya, suruh anak cermat, tenang dan yakin semasa memilih soalan. Suruh anak berserah serta bertawakal kepada Allah, berselawat, cakap perkara yang baik-baik supaya tidak hilang fokus, banyakkan senyum, salam guru apabila berjumpa mereka dan mohon guru redakan ilmu yang diajarnya dan minta guru doakan.

Ingat, jangan sekali-kali, sebut yang kita tidak mahu anak buat semasa berhadapan dengan peperiksaan. Contoh, jangan lalai, jangan patah semangat, jangan kelam kabut dan sebagainya yang negatif. Hal ini sangat penting, kerana minda bawah sedar/minda segar anak akan ingat apa yang kita sebut. Kalau yang kita sebut senarai kata-kata negatif, yang negatiflah yang akan melekat di minda anak.

Keempat, ibu bapa yang anaknya menghadapi peperiksaan, selain meningkatkan ketakwaan; buat yang disuruh dan tinggalkan yang dilarang, banyakkanlah bersedekah. Bagaimana kita gembirakan hati dan mempermudahkan urusan orang, Allah akan gembirakaan hati kita dan mempermudahkan urusan kita. Tempias kebaikan itu akan dapat kepada anak kita; dipermudahkan Allah ketika anak kita menghadapi peperiksaan.

Kelima, fokus kepada tujuan dengan niat kerana Allah untuk lulus dengan baik. Semoga anak kita cemerlang dalam peperiksaan ini, anak kita menjadi mukmin dan mukminah profesional, dan dapat memberikan manfaat dalam hidupnya, kepada dirinya, keluarga, masyarakat dan negara. Aktiviti yang bersandarkan Allah akan mendapat pertolongan Allah.

Keenam, fokus untuk reda Allah bukan penghargaan manusia, Beritahu anak-anak, kita sebagai ibu bapa, tidak bangga kalau anak mendapat 10A, tetapi tidak hormat dengan orang, dengan ibu bapa melawan, solat tidak buat, pendek kata tidak meningkatkan ketakwaan tetapi yang ditingkatkan kedegilan dengan Allah. Kelulusan akademik yang kita dapat itu, cuma sekeping kertas; tidak bermakna pun sijil itu kalau hanya untuk kebanggaan dengan sesama manusia bukan reda Allah.

Ketujuh, untuk anak yang menghadapi peperiksaan pula, ketika mendapat kertas soalan, lihat setiap soalan satu persatu dan fahamkan setiap soalan dahulu. Sebab semasa kita membaca semua soalan, akal kita juga turut membaca, dan dalam masa yang sama, minda bawah sedar/minda segar kita, mula memproses ilmu yang kita tahu dan kuasai, serta mengingatkan kembali fakta yang pernah dibaca atau diulang kaji.

Kelapan, berserah dan bertawakal kepada Allah. Percaya kepada qada dan qadar Allah, akan menghilangkan stres ketika menghadapi dan sesudah menghadapi peperiksaan. Sebab manusia yang mengejar penghargaan tidak fokus kepada kejujuran tetapi fokus kepada pencapaian. Sekiranya anak kita tidak mendapat keputusan seperti yang kita harapkan, tolong jangan bunuh imej diri anak dan jangan bunuh jiwa anak dengan kata-kata nista, serta jangan bandingkan pencapaian anak dengan anak-anak yang lain atau dengan anak orang lain.

Ingatlah anak kita bukan kuda lumba untuk kita tunjuk kepada orang dan bukan KPI kita, hingga sikap ibu bapa membuatkan anak menjadi stres ketika dan sesudah menghadapi peperiksaan. Hal ini kerana ada ibu bapa yang hidupkan cita-citanya melalui anak. Sebab itu disuruhnya anak membuat bermacam-macam perkara yang ada kalanya tidak termampu oleh anak, hingga anak menjadi stres. “Jom jaga diri, jaga akidah, ibadah dan akhlak.”


- See more at: http://www.utusan.com.my/rencana/tip-tangani-stres-anak-hadapi-peperiksaan-1.22460#sthash.aeiQHtSr.dpuf
0 Komentar untuk " Tip tangani stres anak hadapi peperiksaan "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ