Corat-coret PAU di PWTC - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Corat-coret PAU di PWTC

*ORANG kita memang pandai meringkaskan perkataan. ‘Bantuan Rakyat 1Malaysia’ menjadi ‘BRIM’. Maka, ‘Perhimpunan Agung Umno’ diringkaskan menjadi ‘PAU’, mudah disebut, juga menjimatkan ruang bagi media cetak.

Sesetengah orang kata ‘pau’ tidak mencerminkan Melayu, sebab itu adalah makanan yang sinonim dengan Cina. Ada juga yang kata istilah ‘pau’ itu negatif, seperti ‘kena pau’, ‘minta pau’. Apa pun bagi saya pau yang putih gebu, tetap menjadi pilihan semua.

*PALING menarik, lagi melegakan ramai orang dalam PAU kali ini ialah ketegasan Presiden, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mengekalkan Akta Hasutan 1948.

Tidak sahaja dikekalkan akta tersebut juga diperkuat dengan peruntukan khas untuk melindungi kesucian agama Islam, dan tidak boleh juga mana-mana pihak menghina agama-agama lain.

Katanya kepada perwakilan: "Apa-apa jua perkataan, perbuatan mahupun ucapan yang bersifat menghasut serta menghina Islam, Melayu dan raja-raja akan kita halang dan kita tentang habis-habisan."

Katanya, keputusan itu dibuat setelah mendengar pendapat dan cadangan Timbalan Presiden, Wanita, Pemuda, Puteri, usul-usul daripada Bahagian, keresahan suara-suara akar umbi, serta pandangan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Memang ada suara sumbang yang tidak setuju dengan apa yang diputuskan Umno. Usah pedulikan suara-suara sumbang. Sebagai tunjang utama kerajaan BN, Umno boleh melakukan, sementara kuasanya belum hilang.

*ANTARA yang menarik dibangkitkan oleh Ketua Umno Bahagian Padang Besar, Datuk Zahidi Zainul Abidin, supaya anggota parti menjadi penasihat yang baik serta jujur kepada pemimpin atasan dan bukannya menjadi ‘punahsihat’ yang mengakibatkan perpecahan dalam parti.

Katanya ‘punahsihat’ selalunya bertindak memberi nasihat negatif kepada pemimpin atasannya untuk mendapat faedah tertentu daripada tindakan itu.

“Jadi punahsihat, melagakan sesama pemimpin, kadang-kadang membuat punahsihat semata-mata untuk mendapat projek. Selepas bagi komen dan fitnah pada pemimpin atasan minta pula projek daripada dia,” katanya.

Semua orang setuju ‘punahsihat’ inilah yang akhirnya memusnahkan parti.

*MEREMAJAKAN parti adalah isu menarik. Kalau hendak menarik orang muda masuk Umno, parti terbesar orang Melayu itu perlu memiliki faktor ‘wow’, demikian kata Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin.

Katanya, sekarang ramai anak muda mewakili parti pembangkang menduduki Dewan Undangan Negeri dan Dewan Rakyat kerana Pakatan memberi peluang lebih luas dengan melantik mereka sebagai calon walaupun baru setahun jagung menjadi ahli parti.

“Kalau belah lawan begitu rentaknya, mana faktor ‘wow’ kita? Tak cukupkah cerdik pandai, pemidato hebat, pendebat ulung di kalangan orang muda dalam Umno untuk diangkat atau kita masih lagi melihat orang muda sebagai budak suruhan penaik bendera, mengusung pengundi,” kata beliau.

KJ Menambah: “Dunia dan peradaban kini sudah jauh berubah. Kalau kita tak berubah, alamatnya kita akan diubah dengan kuasa peti undi orang muda.”

Setakat ini faktor ‘wow’ belum nampak jelas. Apa yang jelas setiap kali perhimpunan akan sentiasa ada jeritan ‘booo’ daripada perwakilan. Jom fikirkan ‘wow’, bukan ‘booo’.

*WAKIL Pemuda Johor, Shahrihan Jani mencadangkan 45 peratus kuota calon-calon dalam Pilihan Raya Umum (PRU) perlu terdiri daripada pemimpin-pemimpin muda, sama ada daripada Pemuda atau Puteri.

Namun, katanya lagi, calon muda itu mestilah betul-betul layak dan boleh menang atau ‘winable candidate’ dan bukan calon ‘win cable candidate’ @ calon yang menggunakan kabel untuk bertanding.

Beliau yang juga Ketua Pemuda Bahagian Ledang meluahkan kekecewaan terhadap pemimpin parti: “Cakap berdegar-degar hendak meremajakan parti konon, tetapi apabila sampai bab pelantikan jawatan, kita dilupakan. Kenapa ini berlaku? Sebab mereka nak menjaga kroni masing-masing, sebab mereka nak balas budi kawan masing-masing.”

Pendek kata selagi amalan guna kabel tidak dihentikan, usaha meremajakan parti hanyalah cakap-cakap kosong.

*AKHIR kalam, masih mengenai meremajakan parti, Ketua Puteri, Datuk Mas Ermieyati Samsudin mengajak 380,000 ‘anak bongsu’ Umno melahirkan ‘aura luar biasa’ bagi mengekalkan kelangsungannya. Katanya, Puteri mesti lantang bersuara serta berada dalam ‘saf kukuh’ parti dan menghayati strategi ‘barisan semut api’.

Harap-harap anggota-anggota Puteri faham erti ‘anak bongsu’, ‘aura luar biasa’, ‘saf kukuh’ dan ‘barisan semut api’. Sekiranya ucapan berapi-api Ketua Puteri tidak difahami, usaha meremajakan parti tidak akan berkesan.

0 Komentar untuk " Corat-coret PAU di PWTC "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ