SISTEM kewangan Islam di negara ini perlu disemak semula bukan sahaja dari sudut kontrak tetapi lebih menyeluruh ke arah Maqasid syariah yang lebih besar.

Pengarah Progam Persidangan Antarabangsa Kelima Pada Perundangan Islamik Dalam Abad Ke-21 (ICJ2014), Prof Madya Dr Ahmad Basri Ibrahim berkata,  objektif syariah bukan sahaja untuk menjaga bank tetapi dalam masa sama menjaga hak masyarakat.

“Hak masyarakat bermakna, ia perlu dilihat dari sudut keperluan seperti keadilan kepada pengguna.

“Sama ada kita mampu mengurangkan kemiskinan atau membantu masyarakat memerlukan mendapatkan  pembiayaan," katanya selepas pelancaran persidangan itu di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA), di Kuala Lumpur, semalam.

Menurutnya, apa yang dapat dilihat hari ini bank Islam mempunyai mekanisme yang sama dengan bank komersil yang mempunyai syarat.

Ahmad Basri berkata, sistem kewangan Islam di negara ini masih tidak cukup sempurna untuk melaksanakan sistem kewangan Islamik sepenuhnya.

Menurutnya, tujuan seminar adalah memberikan penambahbaikan. industri kewangan Islam.

Katanya, hari ini sistem kewangan Islam hanya mementingkan akad sama ada boleh atau harus bagi mengelakkan riba.

“Kita perlu pergi jauh daripada itu dan perlu dilakukan  secara berterusan dan berperingkat ,” katanya.

Seminar berlangsung semalam sehingga 25 September itu akan membincangkan mengenai sistem kewangan Islamik daripada pakar ekonomi,  perbankan dan wakil daripada Bank Negara.