PERGOLAKAN dalaman Pas berlarutan dan dilihat semakin parah selepas timbulnya krisis pelantikan Menteri Besar Selangor. Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dikritik pemimpin-pemimpin PR termasuk dari parti sendiri gara-gara menolak cadangan PKR dan DAP untuk hanya mencalonkan Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon menteri besar.

Ikuti temu bual wartawan Sinar Harian, Raziatul Hanum A Rajak bersama Naib Ketua Pemuda Pas, MOHD KHAIRIL NIZAM KHIRUDDIN bagi mendengar pandangan orang muda tentang kemelut yang melanda parti berpengalaman itu.

Selepas setahun Pemuda Pas dipandu kepimpinan baru, bagaimana anda melihat suasana itu?
Gerakan pemuda ini tidak statik, ia bersifat dinamik. Daripada satu era kepada satu era ada kelainan. Sama ada daripada sudut isunya ataupun daripada sudut pemuda itu sendiri dan kita perlu meraikan kelainan ini. Sebab itulah dia dinamisme dalam perjuangan.

Lebih-lebih lagi kita berdepan dengan kepelbagaian bangsa di Malaysia. Kita tak boleh bercakap politik itu hanya kepada Melayu semata-mata kerana kita ini rakyat Malaysia. Namun apa yang ada pada Pemuda Pas ini khususnya, apabila kami ini diikat dengan dasar yang sama, kerangka yang sama.

Maksudnya, apa saja tindakan kami, walaupun sejauh mana fleksibilitinya, ia tetap terikat dengan batasan dasar kami. Ini yang ada pada kami dan tidak ada pada parti-parti politik yang lain.

Sebelum ini, Pemuda dipimpin beberapa generasi seperti Nasrudin Hassan, Datuk Mahfuz Omar, Salahuddin Ayub dan kini Suhaizan Kaiat. Bagaimana Pemuda menerima corak kepimpinan berlainan aliran ini?
Kita tidak boleh samakan satu kepimpinan dengan yang lain. Prestasi itu mesti diukur pada kadarnya. Asasnya ialah daripada perwakilan khususnya. Perwakilan semakin lama bersikap semakin matang.

Sebab kita bukan seperti dahulu yang hanya berdepan dengan media massa seperti TV dan cetak semata-mata. Sekarang sudah ada media baharu. Perkara ini akan mempercepatkan pemahaman seseorang apabila banyak membaca, meneliti dan menganalisis.

Ia kelebihan kepada perwakilan-perwakilan di peringkat kawasan, mereka boleh menerima ini dengan baik. Satu perkara yang ada dalam Pas ialah, gabungan tiga elemen ulama, profesional dan aktivis. Ini memang sukar untuk dipecahkan kerana kami diikat oleh satu kerangka yang kuat.

Perwakilan peringkat kawasan bukan datang daripada satu aliran saja. Sebab itu, apa saja perubahan kepimpinan daripada sudut pembawaan, ia mudah diterima sebab itu juga berlaku di peringkat kawasan. Di kawasan, bukan semua daripada golongan ustaz. Apa yang berlaku sepanjang dua hari muktamar Pemuda Pas lalu menunjukkan perwakilan sudah matang.

Bagaimana anda melihat suasana wala’ kepada Presiden yang mula dibangkitkan sejak kebelakangan ini?
Kami melihat wala’ ini di dalam satu pentadbiran, nakhoda atau pemimpin itu kita kena percaya. Katakan dalam bidang korporat, setiap kali nak buat keputusan, akan ada satu pasukan yang akan beri maklumat kepada ketua. Sebagai pemimpin, kita kena memilih mana yang terbaik.

Apa keberanian kita untuk membuat keputusan. Kalau kita buat keputusan A, tidak semestinya keputusan itu tepat sepanjang masa. Di sinilah pentingnya ada kepercayaan kepada pemimpin. Ada satu tahap di mana kita yakin dan percaya kepada ketua.

Isu Pemuda bukan ‘substance’ tapi tatacara. Cara kita nak tegur Presiden. Presiden ini bukan seorang yang maksum. Dia seorang yang pastinya akan buat kesilapan namun, dia adalah Presiden parti. Kita nak tegur mak ayah bagaimana? Adakah layak kita tegur mak ayah kita di khalayak ramai?
Kita ada anak, adakah wajar anak kita tegur ayah di laman sosial seperti Facebook? Apa perasaan kita sebagai ayah? Itu ayah dengan mak. Apatah lagi seorang Presiden parti yang dipertanggungjawabkan untuk memandu parti.

Masalah kepimpinan Pas pada masa kini ialah menegur secara terbuka. Ini bukan satu akhlak perjuangan yang betul. Saya tidak bersetuju jika perkara ini dilaksanakan Pemuda walaupun kami ini agak agresif. Sebab apabila ditegur secara terbuka, ia akan merosakkan lagi keadaan.

Definisi wala’ itu bukannya satu benda yang pasti Presiden tidak buat salah. Bukan begitu. Kita yakin Presiden dan Majlis Syura Ulama berada di landasannya. Namun jika ada perbezaan pendapat atau kesilapan, ada cara kita nak utarakan. Guna medan-medan yang sepatutnya

Tiga aliran dalam Pas, ulama, profesional dan aktivis dilihat sering tidak sehaluan. Adakah ini yang menyebabkan krisis dalaman yang berlaku sekarang?
Baik... perbezaan pendapat ini akan berlaku pada bila-bila masa. Siapa pun jadi Presiden, akan berlaku perselisihan pendapat. Kita hidup suami isteri pun tidak sama pandangan. Sedangkan kita suami isteri rapat pun kadang-kadang berombak juga rumah tangga kita.

Kita dengan kawan baik, macam mana baik sekalipun, ada tiba waktunya sesekali berlaku perbalahan dan perselisihan pendapat. Ini adalah Sunnatullah. Normal. Bukan kerana Pas terpecah kepada tiga, menyebabkan kita memang sentiasa berbalah.

Ia adalah cara berfikir. Ulama ada cara berfikir, profesional juga ada cara pemikiran dan aktivis ada caranya. Kalau lihat cara kami berucap juga berbeza. Saya, Suhaizan dan Ustaz Khalil Abdul Hadi (Timbalan Ketua Pemuda) wakili tiga aliran berbeza. Saya daripada (aliran) profesional, ustaz Khalil ulama dan Suhaizan aktivis. Dari situ sudah nampak. Tetapi adakah kerana itu kami bercakaran sesama kami? Kami tidak pernah bercakaran.

Saya dan Ustaz Khalil tidak pernah mengeluarkan pendapat tentang kenyataan yang mencederakan Ketua Pemuda kami. Kerana kami tahu, kami adalah tiga pemimpin tertinggi. Ini contoh yang kami nak tunjuk kepada Pas Pusat.

Walaupun kami tidak bersetuju dengan Ketua Pemuda atau Timbalan Ketua Pemuda, kita ada medan, kita ada WhatsApp. Orang muda lagi senang. Minum kopi (boleh) selesai. Sebab itu saya tak nampak kerana tiga (aliran) ini ia menjadi berpecah... kerana cara berfikir yang berbeza. Perlu ada penghormatan kepada kapasiti masing-masing dan kalau kita boleh bersetuju dengan asas itu, InsyaALLAH, pergolakan, kekhilafan ini dapat diuruskan dengan baik.

Jadi, pihak mana yang harus ke depan dalam perjuangan Pas? Ulama atau profesional atau aktivis?
Pas daripada dulu lagi dipimpin oleh ulama, profesional dan aktivis. Kami menunggu saja apa perancangan ALLAH SWT. Kalau ditakdirkan pada waktu itu, Pas dipimpin golongan ulama seperti mana sekarang, pimpinlah. Kalau golongan profesional, pimpinlah.

Asalkan kita berpegang kepada Perlembagaan kita di mana kita ada Majlis Syura Ulama, muktamar, AJK Pas Pusat, dewan-dewan. Di mana jika keseluruhan jentera ini berjalan dengan berpandukan wahyu ALLAH SWT, bersifat ada nilai yang baik, beradab... tidak ada masalah.

Apa pandangan tentang Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (Pasma)?
Kita tak boleh halang orang nak buat apa-apa. apabila kita nak tidur Kadang-kadang ada nyamuk seekor dua. Tak kan kerana nyamuk seekor dua, kita nak pindah rumah atau nak buat laporan macam-macam. Mestilah akan ada keresahan.

Pada saya, Pasma kalau nak dibuat sebagai badan NGO, dia boleh teruskan. Cuma, berhati-hatilah. Jangan kita gunakan platform itu untuk memberikan lampu hijau kepada kita mengkritik pimpinan secara terbuka. Ini bukan cara kita dan bukan seni politik Islam.

Kita ada muktamar, ada mesyuarat Pas Pusat, instrumen-instrumen daripada peringkat cawangan sehinggalah peringkat pusat yang kita boleh guna pakai untuk menyatakan pendapat kita. Saya yakin jika Pasma ini dilihat atau berjalan dengan akhlak yang baik, ia akan berterusan tapi kalau ia berjalan seperti mana yang berlaku sekarang, saya tak nampak umurnya akan panjang.

Setiausaha Pas Wilayah Persekutuan keluar kenyataan larangan kepada ahli Pas sertai Pasma. Adakah itu daripada Pas Wilayah Persekutuan?
Ya. Itu dari Pas Wilayah Persekutuan.

Kita memberi garis panduan kepada ahli-ahli Wilayah supaya tidak perlu sertai kerana kita banyak lagi medan untuk dapatkan maklumat. Pada kita, Pasma bukan tempatnya. Sebab maklumat yang kita tengok daripada apa yang dilaksanakan di Kedah dan sebagainya pada kami, adalah lebih baik dan bijaksana jika mereka mendapat maklumat langsung daripada instrumen parti berbanding sebegitu rupa.

Selepas pergeseran antara Pas dengan PKR, DAP berhubung isu pelantikan Menteri Besar Selangor. Adakah saudara melihat wajar untuk Pas terus berada dalam PR?
Dalam negara kita ini, kita pelbagai bangsa. Kita kena memegang kepada hakikat yang kita tak boleh mengalahkan BN secara bersendiri. Dari sudut logik akalnya. Dari sudut ilmu wahyunya, kalau bantuan ALLAH, seorang (diri) pun boleh menang.

Tapi kita kata dari sudut strateginya. Pada saya, PR akan kekal. Sebab apa yang berlaku sekarang ini sebagai satu ujian. Kita baru saja berkahwin pada tahun 2008. Saya yakin dan percaya kepada kepimpinan parti saya, khususnya di peringkat pusat dan Majlis Syura Ulama. Kalau kita lihat sudut negatif kepada perkara ini, kita akan nampak lebih baik perlu dinilai semula (kedudukan dalam PR).

Saya melihat positifnya dengan PR ini, kita boleh melebarkan lagi dakwah kita kepada orang bukan Islam dan orang Islam secara khususnya.  Sebab dengan kita bersatu dan bergabung ini dapat menguatkan lagi PR.