KUMPULAN CIMB melakukan inisiatif terbaharu yang memberi peluang pembangunan kepada usahawan Bumiputera di Malaysia dengan memperkenalkan Program Transformasi Kemahiran Usahawan Bumiputera CIMB (CIMB Best), hari ini.

Program bertujuan membantu usahawan Bumiputera termasuk pengetahuan berkenaan kewangan, pembangunan perniagaan dan pengurusan selain mewujudkan akses pasaran dan peluang pembiayaan.

CIMB Best bakal menghimpunkan seramai 150 usahawan perintis berbeza pengalaman yang mengambil bahagian dalam kursus berstruktur berdasarkan modul tersendiri untuk membantu meningkatkan kemahiran usahawan menjalankan Industri  Kecil dan Sederhana (PKS) dengan cemerlang.

Pemangku Ketua Eksekutif Kumpulan, CIMB, Tengku Datuk  Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata,  CIMB Best menawarkan platform terbaik dengan menyediakan kursus dan sokongan kejurulatihan bagi membantu usahawan IKS Bumiputera sedia ada.

“Dengan bimbingan yang betul serta kemahiran diajar, program ini dilihat mampu membantu para usahawan menghadapi pasaran IKS negara dengan lebih dinamik,” katanya

Menurutnya, menjadi keperluan untuk menyediakan platform yang meningkatkan penyertaan Bumiputera dalam sektor ekonomi bagi menuju ke arah status negara membangun.

Justeru, CIMB Best memainkan peranan dalam membuka peluang tersebut kepada usahawan Bumiputera yang berpotensi.

Bagi memilih peserta untuk program perintis ini, CIMB bekerjasama dengan agensi kerajaan  seperti Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju), tabung Ekonomi Kumpulan Usahawan Niaga (Tekun) dan Majlis Amanah Rakyat (Mara).

Program ini juga diiktiraf oleh Universiti Tun Abdul Razak (Unitar).