MALAYSIA Reverted Muslim (MRM), sebuah badan bukan kerajaan (NGO) menjalankan dakwah kepada masyarakat belum Muslim serta berfungsi sebagai pusat untuk saudara baru berinteraksi dan mendapatkan sokongan sama ada daripada segi moral, kewangan dan lain-lain.

Walaupun baru setahun jagung (ditubuhkan Januari 2011), MRM digerakkan sukarelawan yang kebanyakannya terdiri daripada saudara baru pelbagai bangsa. Mungkin ada yang memandang sinis kepada mereka.

Namun, hakikatnya sukarelawan MRM lebih mudah berdakwah kerana golongan anak muda ini melalui pengalaman sebagai individu bukan Muslim.

Malah, mereka lebih memahami asam garam yang perlu dilalui seseorang saudara baru dalam menjalani kehidupan baru sebagai Muslim.

Sebagai NGO yang aktif dalam usaha dakwah, MRM  banyak mengadakan aktiviti dan program dakwah. Antara aktiviti yang menjadi acara tetap mereka ialah:

a)     Program dakwah
  • Ceramah dakwah dan pengukuhan akidah
  • Pengislaman Penerbitan video dakwah
  • Dakwah jalanan
b)     Kebajikan
  • Ziarah dan bantuan anak yatim, masyarakat dan gelandangan.
c)     Program Khas
  • Bantuan Ramadan.
  • Perfecting My Solat.
  • Reverts Gathering.

Satukan masyarakat 

Pengasasnya, Firdaus Wong Wai Hung, penubuhan institusi ini bermula daripada hasratnya untuk mewujudkan satu platform penyatuan masyarakat berasaskan agama Islam.

Justeru, beliau mengorak langkah dengan membuka laman sosial Facebook sebagai asas sejak tahun 2010.

“Pada mulanya, saya namakan ia sebagai Malaysian Chinese Muslim. Namun, tidak lama selepas itu, saya tukar kepada MRM. Ini kerana saya terfikir, Islam datang untuk semua. Perjuangan Rasulullah SAW memecahkan tembok bangsa dan perkauman.

“Mengapa kita harus meletakkan label bangsa. Bukankah Islam itu sudah cukup menjadi sebab yang kuat untuk masyarakat bersatu?

“Bagaimanapun, Malaysian Chinese Muslim masih dikekalkan kerana ia dikenali ramai," katanya.

Menurut Firdaus Wong lagi, laman ini dijadikan tempat perbincangan dalam kalangan rakan.

Sejujurnya, di awal pergerakan MRM, sukarelawan tidak pernah bertemu empat mata. Tetapi, atas landasan serupa mampu menggerakkannya secara bersama-sama.

Setelah beberapa ketika, barulah pertemuan antara sukarelawan diadakan. Dalam pertemuan inilah mula berbuah idea untuk menubuhkan satu kumpulan supaya  dapat bergerak secara berjemaah.

Mengulas pertanyaan mengenai reaksi masyarakat berkenaan dengan aktiviti dakwah yang dilakukan MRM, Firdaus mengakui ada cabaran tersendiri untuk berdakwah di jalanan.

"Masyarakat Malaysia masih lagi tidak biasa dengan konsep dakwah jalanan. Pada saya, kita masih kurang pendedahan mengenai dakwah. Dialog agama yang banyak berlegar dalam masyarakat lebih kepada isu-isu fekah dan hukum-hakam.

“Ada yang bertanya mengapa harus berdakwah di tempat yang kurang baik dan sebagainya. Ini memperlihatkan kejanggalan masyarakat tentang kepentingan dakwah dalam agama Islam," jelasnya lagi.

Jika diperhatikan secara mendalam, penggunaan perkataan revert berbanding convert untuk pertubuhan ini membawa makna yang lebih besar.

Firdaus Waong berkata, kita akan dapati setiap individu yang lahir adalah mengikut fitrah kehambaan kepada ALLAH.

"Jadi, setiap bayi yang lahir adalah seorang Muslim, namun dia dicorakkan oleh ibu bapanya mengikut agama keduanya. Bukankah bayi itu diibaratkan seperti kain putih.

“Jadi, saya gunakan perkataan revert to yang membawa erti "kembali kepada" Islam, iaitu agama fitrah setiap manusia kerana ia lebih menepati maknanya. Sedangkan kata convert to yang bererti "bertukar kepada" agama Islam kurang tepat  sebenarnya," katanya di akhir bicara.