JIKA diperhatikan dan diteliti, kemunculan teknologi terkini dalam kehidupan seharian kita seperti teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) membenarkan hubungan tanpa batasan.

Internet dan telefon pintar serta telefon mudah alih mempunyai pelbagai kemudahan, kini mempengaruhi kehidupan sosial masyarakat.

Secara langsung fenomena ini menyebabkan ahli masyarakat terutama dalam keluarga kurang bercakap dan berinteraksi. Internet telah membentuk individu yang kurang bersosial dan mengasingkan diri serta berada di alam sendiri, lantas membentuk corak hidup ahli masyarakat yang tidak ambil tahu persekitarannya.

Tidak hairanlah majlis ilmu seperti ceramah, seminar dan perbincangan menjadi bisu.

Biasanya, golongan penceramah atau pembentang kertas kerja akan bercakap sendirian, manakala hadirin akan melayan telefon pintar dengan berinteraksi dengan orang yang tiada dalam majlis tersebut dengan fikirannya melayang jauh.

Tidak hairanlah juga dalam sebuah rumah si anak yang berada di tingkat atas rumah akan menelefon ibunya di dapur untuk memberitahu sesuatu.

Masyarakat kita sebenarnya belum bersedia dengan kedatangan teknologi baharu ini sehingga melalaikan mereka.

Lihatlah, jika solat di masjid, telefon akan diletakkan di hadapan dan setelah selesai solat tidak kurang yang terus membuka telefon untuk berinteraksi dengan sahabat atau kawan yang berada jauh di luar masjid, walaupun tidak ada perkara yang penting.

Jika diperhatikan inilah perubahan sosial iaitu suatu perubahan yang terjadi pada sistem sosial dan komunikasi yang merangkumi nilai-nilai sosial, sikap, pandangan dan pola perilaku kelompok. Perubahan sosial juga merupakan perubahan dan perkembangan masyarakat semasa mengikut peredaran kemajuan.

Di manakah acuan, adab dan tatatertib kita dalam menghadapi serangan media baharu ini yang menyebabkan ahli masyarakat terlalu bergantung dengan telefon pintar dan teknologi baharu ini?

Sepatutnya, di majlis ilmu, semasa solat, khutbah, serta berbicara dengan kawan telefon dimatikan supaya kita dapat menumpukan seratus peratus kepada majlis tersebut.

Disiplin diri sangat penting dalam menghadapi arus perubahan sosial ini khususnya apabila berdepan dengan teknologi baharu.

Dalam sesuatu masyarakat yang sedang membangun, perlu terjadi suatu perubahan sosial yang dikenali modenisasi. Jika ditinjau modenisasi adalah penerapan pengetahuan ilmiah yang ada pada semua bidang kehidupan, atau semua aspek kehidupan masyarakat.

Secara ilmiah, istilah modenisasi juga merujuk kepada keseluruhan perubahan budaya dan struktur masyakat seiring dengan revolusi industri.

Lazimnya perubahan sosial yang berlaku adalah disebabkan faktor seperti persekitaran alam, demografi, idea baharu dan teknologi terkini.

Justeru, agama berperanan mencipta masyarakat yang bertamadun dan mempunyai nilai-nilai sosial yang baik dan kebudayaan positif ke arah kemajuan.

Sebagai contoh, fungsi masjid yang digariskan oleh Nabi Muhammad SAW bukan sahaja sebagai pusat ibadat, tetapi juga pusat muamalat (kemasyarakatan) dan sosial Islam.

Apa yang berlaku sekarang adalah masjid hanya menjadi pusat ibadat sahaja dan hanya berperanan kecil dari aspek kemasyarakatan dan sosial Islam. Keadaan ini harus berubah menjadikan masjid tempat beribadat dan pusat kegiatan kemasyarakatan dan sosial Islam.

Untuk membentuk masyarakat madani yang mampu menghadapi perubahan sosial akibat teknologi ICT memerlukan ilmu, adab dan disiplin yang tinggi. Perubahan sosial dengan acuan sendiri ini sangat penting iaitu kefahaman tentang penggunaan telefon pintar hanya pada perkara yang penting sahaja.

Elakkan penggunaannya terutama di majlis ilmu, di pusat ibadat dan sebagainya mengikut adab dan acuan kita sendiri dengan berpegang kepada nilai-nilai sosial yang luhur.