*HARI ini, 57 tahun dulu, bendera Union Jack diturunkan, digantikan – dan berkibar megah – bendera negara kita. Penjajah pergi, dan lahirlah sebuah lagi negara merdeka.

Dengan keringat, air mata, hatta darah, pengisian kemerdekaan ternyata tidak mudah. Pemimpin dan rakyat tanpa mengira keturunan, warna dan pegangan agama, sama-sama bertungkus-lumus, untuk mencapai apa yang kita nikmati sekarang.

Memang kemerdekaan bererti bebas. Tetapi kebebasan tidak sama sekali bererti kita boleh melakukan apa sahaja atas nama hak peribadi, tanpa mengambil kira hak masyarakat terbanyak.

Kita tidak boleh melakukan sesuatu yang bercanggah dengan undang-undang, juga sesuatu yang terkeluar dari norma adat dan kehidupan manusia biasa. Mereka yang hendak bebas seratus peratus perlu hidup dalam gua, atau dalam hutan bercampur haiwan.

Maka padan mukalah dua orang model separuh bogel yang beraksi dalam kesibukan manusia di Ipoh, juga sekumpulan manusia yang bertelanjang bulat dalam pesta ‘Sukan Bogel Pulau Pinang 2014’. Mereka telah dihadapkan ke muka pengadilan, didenda dan dihukum penjara.

*SETELAH sekian lama beroperasi barulah kerajaan mengesahkan perkhidmatan pengangkutan @ teksi Uber sebagai haram. Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) berkata teksi Uber sama seperti ‘kereta sapu’.

Kata Pengerusi SPAD Tan Sri Syed Hamid Albar, tuan punya kenderaan persendirian yang terlibat dalam kegiatan Uber telah melakukan kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat 2010.

SPAD mendapati sesetengah pemandu Uber tidak mempunyai lesen memandu Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) dan ini melanggar Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Kenderaan yang digunakan oleh Uber juga tidak dilindungi insurans kenderaan komersial dan ini membahayakan penumpang. Ada kemungkinan kenderaan juga tidak melalui pemeriksaan Puspakom.

Pendek kata banyak benda yang dilakukan oleh perkhidmatan tersebut tidak mematuhi undang-undang. Pelik, hanya setelah persatuan pemandu teksi menghebohkan perkara ini di media, barulah SPAD bertindak.

*SEPERTI yang diumumkan Malaysian Airline System Bhd (MAS) merekodkan kerugian bersih RM307 juta untuk tempoh suku tahun kedua yang berakhir 30 Jun 2014.

Bagi kebanyakan orang, termasuk yang tidak arif dengan hal-hal korporat, angka ini bukan mengejutkan, malah memang telah dijangka. Sebenarnya dalam ingatan orang ramai syarikat penerbangan kebanggaan negara itu tidak pernah untung.

Dalam keadaan serba nazak itulah MAS dinyahsenarai, dan Khazanah Nasional merangka penstrukturan baharu yang diharap dapat memberi sinar kepada syarikat terus malap itu.

Tentu sekali penstrukturan tersebut dilakukan oleh mereka yang betul-betul pakar dalam korporat, juga mahir dalam semua aspek penerbangan. Tentu sekali juga semua urusan ini akan memakan belanja yang besar.

Dalam pada usaha dan perkiraan para pakar, ada baiknya juga perhatian diberikan kepada cadangan dan pandangan orang biasa, termasuk para penumpang yang selama ini menjadi pelanggan setia MAS.

Antara pandangan tersebut ialah meminta pramugari Islam penerbangan tersebut supaya memakai uniform yang menutup aurat, termasuk berhijab. Satu lagi pandangan ialah syarikat penerbangan tersebut tidak menghidangkan arak.

Ini cadangan biasa, daripada orang biasa. Mungkin bagi sesetengah orang isu menutup arak dan menjual arak ini adalah sesuatu yang kecil lagi remeh. Tetapi perkara kecil lagi remeh itu mungkin memberi kesan besar. Fikirkanlah.

*AKHIR kalam, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan tarikh penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) N.01 Pengkalan Kubor, Kelantan pada 13 September ini, manakala 25 September pula sebagai tarikh mengundi.

PRK kali ini diadakan berikutan kematian Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) N.01 Pengkalan Kubor, Datuk Noor Zahidi Omar yang mewakili Umno pada 20 Ogos lalu.

Sekali lagi tumpuan akan dihalakan ke Serambi Makkah sebab masing-masing pihak – baik dari BN atau parti-parti pembangkang – mahu membuktikan siapa yang kuat dan berpengaruh di hati pengundi.

Seperti biasa dalam mana-mana PRK, kempen akan merancakkan suasana dengan semua pihak saling serang-menyerang, tuduh-menuduh dan dedah-mendedah. Harap-harap janganlah semuanya dilondehkan, sebab akhirnya yang malu kita juga.

Apa pun yang terjadi di Kelantan, keadaan mungkin tidak sehangat beberapa PRK yang lalu, sebab kali ini ada lagi isu yang lebih hangat, iaitu di Selangor dalam isu pengganti MB. Tungguuu!