Tuan Presiden ABIM, ini adalah satu cabaran terbuka untuk saudara:
Sila nyatakan pendirian rasmi NGO Islam yang saudara terajui iaitu ABIM (Angkatan Belia Islam Malaysia) secara tegas dan terang-benderang tentang status negara Malaysia dari segi Perlembagaan – adakah Malaysia sebuah negara Islam atau negara Sekular?
Sebagai sebuah NGO Islam yang tulang belakangnya (hingga sekarang) adalah mantan Timbalan Perdana Menteri Malaysia, NGO pimpinan saudara sudah pasti mempunyai ramai ahli yang pakar dalam bidang perundangan untuk menasihati anda tentang status negara malaysia dari kacamata ABIM.
Menyuruh atau membidas mana-mana NGO Islam lain (yang tidak didedahkan identitinya) supaya menghentikan polemik berkenaan adalah satu strategi selamat (tetapi tidak matang) bagi sebuah NGO yang meletakkan Islam sebagai teras perjuangannya. Masyarakat akan keliru dengan pendirian sebenar ABIM di dalam isu ini. Atau adalah kekeliruan ini akan sengaja dibiarkan begitu sahaja tanpa penjelasan tentang pendirian rasmi ABIM?
Kenapa baru sekarang gesaan itu dibuat oleh saudara Presiden?
Kenapa bidasan dan kenyataan yang serupa tidak disuarakan ketikamana Ketua Menteri Pulau Pinang, Joseph Lim Guan Eng “menuntut” supaya penganut Kristian dibenarkan menggunakan kalimah Allah di dalam Bible Bahasa Melayu?
Atau ketikamana terdapat ura-ura sebahagian pihak untuk menggantikan Akta Hasutan dengan 3 Rang Undang-undang baru yang lebih parah kesan dan akibatnya terhadap kedudukan Islam dan kepentingan umat Islam di tanahair?
Atau ketikamana pendesak-pendesak tuntutan Comango bermukim selama lebih kurang dua bulan di Geneva untuk melobi supaya Malaysia menerima tuntutan-tuntutan Comango tersebut, termasuk yang bercanggah dengan Islam dan melanggar Perlembagaan Malaysia?
Atau ketikamana pihak Gereja Malaysia masih berdegil, keras kepala dan tidak menghormati keputusan Mahkamah berhubung kes kalimah Allah baru-baru ini?
Adakah membuat satu pendirian dan ketetapan tentang status negara Malaysia – sama ada Islam atau Sekular itu satu proses yang begitu rumit sekali bagi ABIM?
Atau perlu mendapat perkenan sesiapa atau mana-mana tokoh politik?
Masyarakat Islam tertanya-tanya kepentingan siapakah yang ingin dibela dan dipertahankan oleh ABIM dan kepimpinannya.
ABIM memang terkenal dengan sikap dan pendirian “non-partisan”nya satu masa dahulu. Akan tetapi ketidaktentuan sikap dan pendirian ABIM tentang status negara Malaysia ini secara tidak sedar telah menghakis kredibiliti ABIM sebagai satu organisasi yang bersifat Ummah-Centric yang bersifat Wasatiyyah.
Umat Islam tidak boleh dibiarkan terumbang-ambing atau berkecamuk minda dan hati mereka bila berhadapan dengan dilema untuk menentukan sikap terhadap status negara yang sangat asasi bagi kehidupan berugama mereka.
Umat Islam dewasa ini sangat-sangat memerlukan kepimpinan Islam yang akan membela kepentingan mereka hari ini dan mempertahankan kelangsungan generasi selepas mereka pada masa hadapan. Banyak perbezaannya antara hidup/mati dalam sebuah negara Islam dan hidup/mati dalam sebuah negara Sekular.
Penyelesaiannya bukan terletak pada kritikan dan bidasan terhadap pihak yang cuba menghidupkan semangat pertahanan terhadap kedudukan Malaysia sebagai negara Islam (meskipun terdapat banyak ruang yang boleh diperbaiki ke arah pencapaian matlamat tersebut).
Untuk berlaku adil, saudara Presiden perlu mengkritik, menegur dan membidas kenyataan-kenyataan biadap dan celupar dari banyak pihak (yang sangat sensitif dan begitu melukakan hati umat Islam) terhadap Islam dan perlaksanaan Syari’ah serta Syi’ar di Malaysia.
Adalah lebih baik bagi ABIM dan kepimpinan saudara Presiden sendiri sekiranya seluruh ahli ABIM dapat digembelingkan supaya bersama-sama umat Islam lain untuk mempertahankan status Malaysia sebagai sebuah negara Islam.
Seandainya saudara Presiden berjaya berbuat demikian, sejarah masadepan akan merekodkan satu testimoni yang cemerlang bagi ABIM.
Muhammad Luttfi Bin Abdul Khalid
Pengerusi iPeguam
Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)
0 Komentar untuk " Malaysia Negara Islam atau sekular: ABIM diminta nyatakan pendiriannya "