WALAUPUN ramai orang bercakap mengenai kenaikan kos sara hidup di negara ini sejak beberapa tahun lalu, ia dilihat tidak menjejaskan jualan semasa musim perayaan Aidilfitri malah peniaga masih mampu mengekalkan harga sama bagi produk mereka.

Ini kerana, menurut peniaga baju dan kuih raya, ramai pengguna telah memperuntukkan wang khusus untuk perbelanjaan raya.

Pekerja Butik Maya SS, Noor Akma Mazlan berkata, kedai itu menerima sambutan menggalakkan sejak mula berniaga dua minggu lalu dan jualan baju raya tahun ini tidak berubah berbanding tahun lalu.

“Biasanya menjelang Ramadan ada pelanggan yang sudah menyediakan sejumlah wang untuk perbelanjaan, dan tiada pengurangan dalam trend pembelian.\

“Tetapi untuk jadikan baju kami mampu milik, kami beri potongan harga 20 peratus,” katanya.

Menurutnya, jualan paling menggalakkan ialah pada hujung minggu.

“Bagi menarik pelanggan, kami menawarkan pelbagai koleksi yang berbeza berbanding kedai lain kerana kesemua baju yang dijual di kedai kami direka dan dijahit sendiri,” kata Noor Akma yang sudah berniaga di Kompleks PKNS di Shah Alam, sejak 14 tahun lalu.

Pekerja Aina Farihah Collection yang menjalankan perniagaan sejak sembilan hari lalu, Atikah Omar berkata, trend jualan tahun ini nampak berbeza berbanding tahun lalu tetapi ia bukan disebabkan kos sara hidup semakin meningkat, sebaliknya persaingan yang semakin sengit.

“Bukan itu sahaja rekaan baju turut mempengaruhi jualan. Banyak baju yang sama dijual (oleh peniaga berbeza), pembeli banyak pilihan,” katanya.

Atikah berkata, butiknya masih mengekalkan harga yang sama bagi koleksi baju rayanya.

Sementara itu, pekerja kedai yang menjual pelbagai koleksi baju Melayu, Koleksi Citra Maju, Norainon Jani berkata, sejak beroperasi 18 Jun lalu jumlah jualan baju Melayu nampak berkurangan.

“Jualan tahun lalu lagi banyak, tahun ini pembeli agak perlahan dan kurang membeli.

“Rata-rata yang datang adalah pelanggan tetap," katanya.

Menurutnya, salah satu faktor  kelembapan jualan itu adalah jumlah peniaga yang semakin banyak di lokasi beliau berniaga.

Mengulas mengenai kos sara hidup yang meningkat, Norainon berkata kedai itu masih mengekalkan harga standard seperti tahun lalu.

“Tetapi banyak pelanggan kami akan turut meminta potongan harga,” katanya.

Jualan biskut raya rancak

Peniaga biskut dan kuih raya, Mohamad Mosa Mohd Baser pula berkata, harga biskut yang dijual pada tahun ini tetap sama dengan harga yang dikenakan kepada pelanggan pada tahun lalu.

“Walaupun kos bahan mentah semakin meningkat, saya tetap dengan harga asal.

“Saya jual biskut dalam kuantiti banyak jadi saya tetap dapat untung walaupun tidak naikkan harga,” katanya.

Beliau yang sudah menjalankan perniagaan biskut raya selama 10 tahun berkata, kebanyakan pelanggannya ialah mereka yang sudah berkeluarga.

“Pelanggan yang datang akan membeli dalam kuantiti yang banyak dan pelbagai jenis biskut raya.

“Kalau pelanggan beli dalam kuantiti banyak, saya akan beri potongan harga kepada mereka,” katanya yang menjual hampir 60 jenis biskut.

Beliau mengakui trend jualan pada tahun ini agak menurun berbanding jualan pada dua tahun lalu, bukan disebabkan kekurangan pembeli tetapi waktu operasi yang terhad.

“Jualan menurun kerana saya diarah menutup gerai pada jam 12 tengah malam,” katanya.

Seorang lagi peniaga biskut raya, Suhaila Muhammad Sanif berkata, trend jualan pada tahun ini semakin meningkat.

“Walaupun kami baru beroperasi, sudah ada biskut raya yang habis dijual dan kami terpaksa membuat stok yang baharu bagi memenuhi permintaan pelanggan.

“Berdasarkan jualan pada tahun lepas, biskut raya akan habis dijual sebelum tiba malam raya,” katanya yang sudah menjalankan perniagaan biskut raya selama sembilan tahun.

Menurut Suhaila, jualan akan lebih meningkat menjelang pertengahan dan penghujung bulan Ramadan.

“Awal puasa kami hanya beroperasi sehingga jam 9 malam.

“Tetapi apabila memasuki pertengahan dan penghujung puasa, kami akan beroperasi sehingga tengah malam memandangkan semakin ramai pelanggan yang akan datang membeli biskut,” katanya.

Menurutnya, gerai itu tidak menaikkan harga produknya kerana hampir 100 jenis biskut dan kerepek yang dijual adalah buatan sendiri dan segala kenaikan harga bahan mentah yang berlaku masih dapat diatasi.

Sementara itu, Mazlifah Othman yang menjual biskut raya berkata, trend jualan pada tahun ini masih perlahan dan kebiasaannya jualan akan meningkat pada pertengahan Ramadan.

Katanya, kenaikan kos sara hidup kini tidak menjejaskan hasil jualan.

“Kebiasaannya pelanggan sudah membuat simpanan awal untuk berbelanja sempena hari raya nanti.

“Tidak jadi masalah bagi pelanggan walaupun kos sara hidup sudah meningkat. Lagipun setahun sekali, apa salahnya,” katanya yang sudah menjalankan perniagaan melebihi 20 tahun.