Kesan politik Piala Dunia - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Kesan politik Piala Dunia

TEAMWORK Jerman jadi contoh, impak dan drama sebenar menunggu Brazil, negara lain. Brazil gagal mencipta sejarah baharu bola sepak memenangi Piala Dunia bagi kali keenam, sebaliknya menerima aib dibelasah gol 7-1 oleh Jerman kemudian tewas 3-0 di tangan Belanda, kekalahan back- to- back yang tidak pernah berlaku pada negara raja bola itu bagai garam ditabur pada luka; kalah di padang dan di hadapan penyokong tegar sendiri.

Investmen sebanyak 11 bilion Dolar perlu dan wajar tetapi tidak berjaya memberi Brazil kemenangan, keperibadian dan bab baharu dalam sejarahnya yang diharapkan.

Apa pun kita mesti mengakui temasya global, terbesar dan popular telah berjalan dengan baik, ditaksir seluruh dunia  satu bilion penonton dan “kaki bola” terhibur selama lima minggu.

Jika Brazil ke final pun cukuplah! Presiden Brazil Dilma Rousseff diboo dan diejek pada majlis perasmian pertandingan pesta bola Fifa 2014, tetapi tidak menerima ejekan dalam majlis penutup dan penyampaian Piala Dunia kepada Jerman - tanda rakyat sudah akur dan menerima bebanan kewangan mega menjadi tuan rumah temasya tersohor ini.

Jika Brazil menang tidak akan dengar sedikit pun kritikan saya percaya.

 Iktibar bagi Brazil juga negara lain. Jangan berpuas hati dengan sejarah gemilang jika mahu terus maju dan mencapai kejayaan lebih tinggi dalam apa bidang pun.

Sejarah gemilang lampau memang satu kemegahan tetapi kata Speaking, "Brazilians or other people should have no cause to rest on their laurels”.  Kita tidak harus berpuas hati dengan apa yang ada, sebaliknya  mesti melipatgandakan usaha untuk mencapai kejayaan lebih  cemerlang.

Brazil (dan kita juga) jika mahu cemerlang dalam sukan, politik, pendidikan dan pendekatan dalam kehidupan mesti berubah dan segera; tidak memadai dengan wujud stadium mega dan baharu dan lapangan terbang canggih. Brazil dan kita perlu idea baharu dan bakat baharu bak kata mat salih, “both on and off the pitch” - pendekatan dan bakat baharu atas padang juga di luar padang.

Bola sepak adalah identiti atau personaliti Brazil. Sukan ini adalah gam yang melekat dan menggabungkan seluruh rakyat Brazil yang saya dapati mereka seperti orang kita cepat mesra dan amat toleran.

Saya senang di Rio de Janeiro kerana itu.  Bola sepak adalah naratif bangsa dan negara Brazil sebab itulah mereka benar-benar rasa malu gagal masuk final di bumi sendiri.

Lebih sedih dan memalukan seteru ketat dan jiran mereka,  Argentina, masuk final walaupun kalah. Apakah impak pada Pilihan Raya Presiden Brazil Oktober depan dan Sukan Olympic 2016 juga di Brazil?

Saya kira ada (kecilan) dan tidak ada kerana parti pembangkang tidak kuat. Puan Rousseff dijangka menang kalau pun tidak mudah.

Lagi pun rakyat Brazil akan berdepan dengan isu lebih relevan dan genting lagi. Mengikut sejarah pilihan raya lepas, pesta bola kalah atau menang tidak beri impak pada keputusan pilihan raya. Kali ini pun dijangka begitu juga.

Jika Brazil menang Rousseff menang mudah. Sukan bola sepak sebati dengan Brazil dan telah menjuarai lima kali Piala Dunia tetapi  belum ada rakyat Brazil memenangi Hadiah Nobel!

Kita pula belum pernah masuk bertanding dalam Piala Dunia dan tidak kelihatan akan berbuat demikian dalam masa dekat memandangkan taraf permainan yang ada di negara kini. Rakyat Malaysia memenangi hadiah Nobel? Lambat lagi kut!

Ekonomi Brazil ketujuh terbesar di dunia dan ia anggota BRICS- satu pakatan politik dan kewangan terdiri dari Brazil, Russia, India, China dan Afrika Selatan yang perhimpunan bermusimnya berlangsung selepas Pesta Bola tamat.

Hasrat Brazil  untuk menjadikan Pesta Bola Fifa 2014 “showcase” kepada dunia tidak terlaksana sepenuhnya apabila Brazil gagal menjulang  Piala Dunia. Apa pun Brazil adalah sebuah demokrasi yang kian maju dan berkembang, taraf kehidupan rakyatnya seperti kita  terus meningkat dan merebak.

“Jerman mesin manusia.”

Dunia dan saya jarang melihat Chancellor Jerman Angela Merkel senyum lebar - masa dia menang pilihan raya berkali-kali pun tidak-tetapi pada majlis penyampaian Piala Dunia senyumannya melebar bak kata mat salih “from ear to ear” dan mencium pipi  setiap pemain Jerman!

Apa tidaknya - Jerman negara Eropah pertama menjadi juara bermain di negara The Americas (Amerika Syarikat dan Amerika Latin), kemenangan kali keempat semenjak 1990.

Bagi rakyat Brazil negara mana pun menang tidak apa kecuali jangan Argentina! Mereka yakni rakyat Brazil telah bertemasya bersama penyokong Jerman menyambut kemenangan cemerlang Jerman.

Team Jerman bagai “mesin manusia” sehandal dan segagah kereta Mercedes berbanding dengan Argentina sebuah kereta cantik seperti Jaguar tetapi tidak berjaya seperti Mercedes!

Jerman bermain sebagai satu pasukan - semua sama dan setaraf, sama berbakat, sama muda dan sama tekun serta in sync.

Mereka telah bermain sebagai satu pasukan semenjak 10 tahun lepas dan mereka akan menjadi pasukan dan pemain lebih gagah dan berpotensi serta lebih berbahaya dalam Pesta Bola Dunia di Moscow tahun 2018.

Argentina diketuai superstarnya Lionel Messi tetapi dia keseorangan walaupun dia dianggap antara pemain terhandal di dunia. Teamwork jelas lebih berkesan berbanding seorang dua superstar dalam satu pasukan.

Teamwork lebih memanfaatkan dari kecemerlangan individu superstar. Saya mesti adil. Walaupun Jerman "mesin manusia” mereka sebenarnya bernasib baik memenangi dengan satu gol itu pun dalam masa tambahan yang disumbatkan oleh Mario Gotze.

Andainya Argentina menang di Rio de Janeiro Ahad malam 13 Julai, saya tidak terfikir rakyat Brazil dapat menahan keaiban mereka.

Bagusnya Brazil akibat kekalahan teruk di bumi sendiri mesti kalau negara itu mahu memulihkan reputasinya dalam dunia bola sepak segera melancarkan reformasi bukan transformasi - melatih, mentadbir bola sepak dan liga bola sepak negara itu dengan pendekatan baharu.

Sebaiknya, kombinasi antara beautiful football ala Brazil / Argentina dengan disiplin Jerman, mesin manusia dan teamwork. Kurangkan  hiburan, kurang booze dan kurang merokok. Minum air mineral dan milkshake seperti pemain Jerman!

 Saya nampak drama sebenar akan berlaku di Brazil bukan ekoran Pesta Bola Sepak sahaja, bukan kesudahan perlawanan dengan Jerman, Colombia, Chile dan Belanda tetapi, suka-duka, “within itself”.

Kita pula janganlah setelah Pesta Piala Dunia tamat kita pun lupa Brazil. Tolong jangan. The real drama is only beginning in the Amazon Basin yakni drama baharu bermula di lembah Sungai Amazon.

0 Komentar untuk " Kesan politik Piala Dunia "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ